PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan mengkaji semula komponen Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai keadaan sebenar keupayaan rakyat berbelanja.
Perdana Menteri berkata, perkara akan diumumkan sebaik saja hasil kajian semula secara menyeluruh itu selesai.
"Ada hujah kukuh mencadangkan supaya ia dikaji semula kerana IHP sekarang dikatakan tidak menggambarkan situasi sebenar. Kita mengkajinya secara berhati-hati, kita tidak mahu membuat kesilapan.
"Pada masa ini, saya tidak boleh menyatakan apakah gambaran atau hasil kajian itu... yang pasti ia lebih baik dan memberi gambaran keadaan sebenar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kebangsaan mengenai Golongan Miskin dan Berpendapatan Rendah di Bandar, di sini, semalam.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menjelaskan ucapannya mengenai kajian semula IHP itu untuk menjadikannya lebih relevan dan membantu, terutama yang tinggal di bandar.
"Saya sudah mengarahkan kerajaan melihat semula pelbagai komponen IHP, termasuk menilai semula komposisinya, membahagikan inflasi kepada komponen seperti inflasi makanan dan bukan makanan serta mengeluarkan penerbitan kadar inflasi berbeza dan bagi bandar serta luar bandar," katanya.
Beliau berkata, kajian semula IHP itu antara langkah diambil kerajaan berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan gas kerana ia membebankan terutama golongan miskin di bandar.
Kerajaan juga katanya, pada peringkat akhir menyusun semula pakej jaringan keselamatan sosial, yang akan diumumkan ketika pembentangan Bajet bulan depan, bagi membantu mereka yang menerima kesan besar daripada kenaikan harga minyak.