Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Ogos 2008

Kerjasama perlu agar pilihan



PILIHAN raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah ditetapkan pada 26 Ogos ini, manakala tempoh berkempen selama 10 hari dikira mencukupi untuk calon yang bertanding mendekati dan mempengaruhi pengundi. Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mencalonkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding, sekali gus berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN) yang akan diketahui dalam tempoh terdekat. Pilihan raya kecil Permatang Pauh pastinya akan mendapat tumpuan, termasuk pada peringkat antarabangsa kerana selain ia menjadi medan Anwar untuk kembali semula ke Dewan Rakyat, beliau juga akan bertanding ketika menghadapi kes mahkamah atas tuduhan liwat buat kali kedua. Apa yang kita harapkan pilihan raya kecil itu berjalan lancar dengan kedua-dua pihak mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Mungkin ramai tidak berpuas hati dengan langkah SPR menetapkan tarikh pengundian pada hari kerja, iaitu Selasa berbanding kebiasaan pada Sabtu atau Ahad. Namun, sekiranya kita melihat tempoh berkempen selama 10 hari, selain negara baru saja melepasi pilihan raya umum, pemilihan hari bekerja bagi pengundian tidak akan menjejaskan secara keseluruhan proses pilihan raya kecil kali ini. Apa yang penting jangan ada mana-mana pihak cuba menakut atau mengugut pengundi sehingga mereka takut untuk keluar mengundi seperti yang berlaku pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Kita berharap semua pihak memberi perhatian kepada proses berkempen secara sihat kerana tohmahan dan fitnah boleh menimbulkan ketegangan. Perkara negatif perlu dielakkan kerana ia boleh mencalarkan proses demokrasi yang kita amalkan selama ini. Apa yang penting, menang kalah adalah adat bertanding dan kedua-dua pihak harus akur dengan keputusan pengundi kawasan berkenaan.

Walaupun ramai menjangkakan PKR yang mengetuai jentera kempen Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi berkenaan, BN pastinya tidak akan memberi laluan mudah. Oleh itu, kedua-dua pihak selain perlu mengikut peraturan bagi memastikan proses berkempen dan mengundi berjalan, perlu mengawal penyokong mereka daripada bertindak secara keterlaluan. Walaupun semua pihak mahu menang, cara mendapatkan kemenangan itu akan turut diperhatikan oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Sebarang kejadian buruk tentunya mencalarkan lagi imej negara pada mata dunia dan jika itu berlaku, ia tentunya tidak membantu negara menangani masalah lebih besar, iaitu krisis ekonomi yang semakin mencengkam sekarang.