Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Ogos 2008

Batik Malaysia


Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar


SENTUHAN PELUKIS: Azizi Yahya (kanan), Safinawati Samsudin dan Nor Laila Abdul Razak menghayati keindahan batik ela.

Merempuh arus globalisasi tembusi pasaran London

SEJARAH pengaruh batik sebagai tekstil Malaysia yang menjadi jati diri bangsa Malaysia sebagai tekstil warisan, tetapi mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman sehingga kepentingannya tidak luput, sebaliknya bertahan ditelusuri secara berseni pada Pameran Batik Malaysia: Suatu Warisan.

Pameran anjuran Galeri Petronas yang berlangsung di Muzium dan Galeri Seni Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, sehingga 31 Ogos ini, membuka peluang kepada peminat batik menyaksikan evolusi batik negara ini yang bermula dari tradisi seni rakyat, tetapi berjaya menyesuaikan diri dengan tuntutan manusia kontemporari.


Menerusi pameran ini juga, peminat batik disogokkan dengan maklumat berhubung keupayaan batik tampil sebagai jenama global dalam bentuk tekstil lukisan tangan apabila berjaya menembusi pasaran antarabangsa di London, dua tahun lalu.

Pameran yang menampilkan Kurator Jemputan, Raja Fuziah Raja Tun Uda dan akan dirasmikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada majlis Konvokesyen USM pada 13 Ogos ini, disifatkan kuratornya sebagai koleksi yang mendokumentasikan setiap kemuncak perkembangan dan transformasi terkini berhubung seni warisan itu.

“Karya batik seawal 1930-an hingga kini dan pelbagai perubahan penting yang sudah berlaku membabitkan reka bentuk, aplikasi teknik dalam pembuatan serta penggunaan warna yang menampilkan gaya hidup tuntutan semasa turut dipamerkan pada pameran ini,” katanya dalam wawancara dengan Galeri di sini, baru-baru ini.

ISAN: Lukisan batik yang menggunakan motif asal.

Raja Fuziah menjelaskan, evolusi batik dibahagikan kepada enam bahagian iaitu batik sarung yang popular sekitar 1930-an hingga 1950-an, batik ela (1960-an), batik tren baru (bermula 1970-an hingga 1980-an), fesyen seni batik (1990-an), sebelum disusuli batik untuk acara khas serta lukisan batik.

“Batik sarung biasanya berukuran dua meter dan berjahit dipakai oleh kaum lelaki dan wanita di negara beriklim tropika.

Batik sarung mempunyai bahagian tengah atau dipanggil kepala ikan, pinggir kain atau kaki kain dan badan kain,” katanya.

Batik ela pula mula diperkenalkan pada 1960-an dan diterima pakai masyarakat Malaysia walaupun ia masih dianggap produk baru manakala batik tren baru diperkenalkan pada 1970-an hingga 1980-an hasil kerjasama pembatik selaras dengan polisi dan strategi kerajaan untuk memperkenalkan batik lukisan tangan.

Fesyen seni batik pula mula menjengah industri busana negara pada 1990-an dan bahantara ekspresi baru ini diteruskan dengan batik untuk acara khas sehingga tampil sebagai peristiwa penting tanah air dan dunia luar membolehkan pembatik merakam serta mengilhamkan ciptaan mereka dalam kerangka pemikiran lebih luas.

Antara pencapaian membanggakan batik Malaysia ialah apabila ia sedia diterima pakai sebagai pakaian seragam rasmi kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia selain pelancarannya turut membabitkan Industri Getah Malaysia, Kemenangan Peperangan, Rekod Keamanan dan Kemakmuran.

Lukisan batik di negara ini yang dipelopori Datuk Chuah Tehan Teng pada 1950-an, merangsang pelukis lain untuk terbabit sama dan antara mereka yang berkarya dalam medium ini ialah Khalil Ibrahim, Tay Mo leong, Fatimah Chik dan Ismail Mat Hussein.