Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Ogos 2008

Usahawan Malaysia digalak rebut peluang di Zambia


Oleh Ismail Mat

DARI segi mutu penganjuran, Dialog Antarabangsa Selatan Afrika Global (G-SAID) yang berakhir di Lusaka, Zambia Khamis lalu, mungkin tidak mampu menandingi kelancaran berlangsungnya Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) yang dianjurkan Malaysia sejak 1995.

Kehadiran G-SAID yang turut dikenali sebagai Dialog Mulungushi di Pusat Persidangan Antarabangsa Mulungushi, Lusaka, berlangsung tanpa sebarang kemeriahan yang dirasai penduduk ibu kota Zambia itu, meskipun menghimpunkan lebih 400 peserta dari 14 negara termasuk Malaysia.

Jika sesuatu persidangan penting peringkat antarabangsa berlangsung di Malaysia, sering kali dimeriahkan dengan kibaran bendera negara peserta dan kain rentang serta disedari oleh semua lapisan rakyat, namun tiada suasana seumpama itu ketika Lusaka sedang menjadi tuan rumah kepada persidangan yang membincangkan hala tuju dan masa depan rakyat masing-masing.


Ketiadaan bilik kecil untuk sesi perbincangan kumpulan menyaksikan peserta yang dibahagikan kepada empat kumpulan berkumpul di empat sudut dalam dewan ketika sesi perbincangan topik yang berbeza. Keadaan itu menjadikan Dewan Mulungushi bagaikan sebuah pasar besar.

Bagi media Malaysia yang membuat liputan pula, perjalanan dialog yang tertutup membuatkan tidak banyak maklumat mampu diperoleh mengenai perbincangan yang berlangsung. Tiada jurucakap dialog yang memberi maklumat mengenai perkembangan dialog yang berlangsung setiap hari. Malah, laman sesawang rasmi G-SAID yang dibangunkan juga dibiarkan kosong tanpa dikemas kini.

Lebih malang, kehadiran media bagaikan tidak dialu-alukan hinggakan pada sesi dialog peserta bersama wakil media pun, wartawan tidak dibenarkan masuk membuat liputan.

Justeru, wakil media terpaksa tertumpu kepada delegasi negara masing-masing dengan Malaysia tertumpu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sanggup berada dari pagi hingga lewat petang bagi menyertai dialog.

Apa pun, dialog secara tidak formal itu tetap berlangsung dengan jaya. Bagi delegasi Malaysia yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, yang kebanyakannya baru kali pertama menjejak kaki di bumi Zambia, penyertaan pada G-SAID di bumi yang tidak berpantai ini, membuka pandangan luas mengenai peluang yang mampu diterokai Malaysia di benua Afrika.

Sesungguhnya, kebanyakan negara di Afrika khususnya yang menyertai G-SAID sebenarnya kini semakin memahami kepentingan kestabilan politik dan ekonomi, untuk membolehkan pembangunan yang lebih pesat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat masing-masing.

Kesedaran untuk melihat perubahan dalam negara masing-masing menyaksikan kebanyakan negara peserta G-SAID kini mempunyai wawasan yang ingin dicapai mereka seperti Wawasan 2025 Mozambique; Lesotho (2020); Zambia (2030) dan Botswana (2016).

Namun, sesuatu yang membanggakan delegasi Malaysia, apabila Wawasan 2020 negara menjadi penanda aras kepada semua negara Afrika dalam memenuhi wawasan masing-masing.

Najib mengakui, sepanjang dialog berlangsung, nama Malaysia sering kali disebut oleh peserta sebagai contoh kejayaan dalam melaksanakan sesuatu perancangan untuk kesejahteraan rakyat termasuk misi nasional, dasar penswastaan, mikro kredit dan pembangunan infrastruktur.

"Dalam banyak isu yang dibangkitkan, kejayaan dan pengalaman Malaysia sering menjadi landasan rujukan peserta dialog dan pada masa sama bertanyakan apa dilakukan Malaysia seperti dalam bidang teknologi, tenaga, pertanian, pentadbiran dan sebagainya.

"Nampak gayanya panduan mereka terarah kepada Malaysia, malah dalam rumusan yang dibuat juga banyak perkara disebut berasaskan apa yang dibuat Malaysia. Saya menganggap ia satu penghormatan dan pengiktirafan besar terhadap Malaysia di benua Afrika," katanya.

Katanya, peserta dialog juga sependapat yang setiap negara perlu mempunyai wawasan dan visi yang ingin dicapai tetapi pada masa sama Malaysia menegaskan sebarang wawasan yang dibuat mestilah menjadi visi nasional yang dikongsi dan didukung bersama oleh rakyatnya.

Perhatian tinggi yang diberikan kebanyakan negara Afrika kepada Malaysia, sewajarnya dimanfaatkan oleh sektor swasta negara ini untuk meneroka peluang pelaburan di benua itu, kerana ketika ini banyak negara lain termasuk China mula meningkatkan hubungan dengan banyak negara Afrika menerusi tawaran pinjaman dan geran.

“Persepsi negatif mengenai Afrika yang tersemai sejak dulu, seperti risiko politik dan keselamatan perlu dihapuskan kini kerana ia tidak membabitkan banyak negara seperti dibayangkan. Ekonomi Zambia misalnya sudah bertambah baik kini, daripada kadar faedah mencapai 65 peratus ketika krisis ekonomi sebelum ini, sudah menurun kepada 18 peratus sekarang.

"China kini berusaha bersungguh-sungguh, membuat banyak tawaran kepada negara Afrika seperti pinjaman dan geran kerana akses bahan mentah yang dipercayai boleh diperoleh untuk menjana ekonomi negara itu.

"Kalau Afrika tidak penting, tidak mungkin China akan buat begitu, namun Malaysia mempunyai kelebihan kerana selain hubungan dua hala, LID dan G-SAID menjadikan Malaysia dekat pada hati kerajaan dan rakyat Afrika, keadaan yang boleh dimanfaat usahawan untuk melipatgandakan usaha mereka," katanya.

Dalam lawatan yang turut disertai wakil media Malaysia itu, Zambia memperlihatkan betapa suburnya tanah negara itu yang mempunyai empat musim dengan potensi pengeluaran pelbagai jenis hasil pertanian. Malangnya, pada dialog ini, tiada wakil sektor swasta dari Malaysia yang kelihatan.

Sedangkan, isu keselamatan bahan makanan turut boleh dimanfaatkan syarikat dari Malaysia untuk melabur di Afrika yang mempunyai keluasan tanah luas, bagi membantu rantau itu memenuhi keperluan diri yang secara tidak langsung akan membantu keperluan dan permintaan dunia.

Justeru, Najib berkata, kerajaan mahu sektor swasta negara memainkan peranan lebih besar pada dialog perkongsian pintar yang disertai Malaysia dengan Afrika pada masa depan, khususnya Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) yang akan dianjurkan negara pada 2010.

"LID 2010 adalah kesinambungan dialog yang kita anjur dan sertai selama ini, kita mengharapkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta kerana mereka mampu mendapat pelbagai peluang daripada dialog ini.

"Selama ini, banyak juga sektor swasta tempatan mendapat faedah daripada pembabitan Malaysia dengan LID dan dialog antarabangsa lain. Kita anggap ini sebagai sumbangan Malaysia kepada negara Afrika, kerana kita bantu mereka mentadbir mengikut pengalaman kita," katanya.



Penulis ialah Ketua Biro, Berita Harian Kelantan