Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Ogos 2008

Sikap pengguna punca ‘ulat’ semakin ligat



CADANGAN Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengehadkan jumlah pembelian tiket bas ekspres oleh orang awam pada musim perayaan bagi menangani masalah 'ulat' (penjual tiket haram) yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan ramai pengguna teraniaya, amat dialu-alukan. Meskipun menterinya, Datuk Noh Omar, belum menetapkan had pembelian tiket dan keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan sebelum musim perayaan Oktober ini, kita rasakan langkah itu perlu dilaksanakan. Misalnya, seseorang pengguna tidak boleh membeli sehingga lima tiket melainkan dia dapat membuktikan empat lagi tiket itu khusus untuk ahli keluarganya. Mungkin seseorang hanya dibenar membeli dua tiket. Ini saja kaedah terbaik untuk menangani masalah ‘ulat’ kerana sekarang ini, tiada had dikenakan ada pengguna yang membeli sehingga 10 tiket bas ekspres, malah boleh membelinya dua tiga kali di kaunter. Kaedah untuk mengawal pembelian dua tiga kali ini juga perlu diawasi. Bagaimanapun, usaha membanteras ‘ulat’ banyak bergantung kepada kerjasama syarikat pengusaha bas ekspres. Ini kerana tanpa kerjasama syarikat terbabit atau lebih buruk lagi mereka ini memberi ‘kerjasama’ kepada ulat, apa cara sekalipun dilakukan untuk membanteras masalah berkaitan, tidak akan berjaya. Bagi mereka, keuntungan menjadi matlamat utama tetapi bagi kerajaan, ia mahu masalah itu diatasi bagi mengelak orang ramai teraniaya. Bayangkan, walaupun musim perayaan belum tiba, gejala ‘ulat’ tiket sudah berleluasa dan dikesan apabila operasi dilakukan dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jumaat lalu di Hentian Puduraya berjaya menangkap 40 ulat termasuk dua warga asing.

Ulat tiket ini membeli tiket bas ekspres dalam jumlah banyak pada harga biasa dan apabila orang ramai pergi ke kaunter bas ekspres, tiket sudah habis. Ketika inilah ‘ulat’ menjual tiket pada harga lebih tinggi dan aktiviti ini sering berlaku pada cuti hujung minggu dan musim perayaan. Kerjasama orang ramai juga perlu untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini. Masalahnya, walaupun sudah diberi peringatan tidak membeli tiket dari luar kaunter, ramai pengguna masih tidak serik mendapatkan tiket bas ekspres daripada ‘ulat’ yang berkeliaran seperti di sekitar Hentian Puduraya biarpun harga ditawarkan lebih mahal. Hakikatnya, sikap orang ramai yang gemar membeli tiket daripada ‘ulat’ menyebabkan mereka makin ligat kerana ada permintaan. Di sinilah peranan pegawai agensi berkaitan untuk memantau keadaan termasuk menyamar sebagai pembeli. Sekiranya ada pemantauan lebih tegas, pasti orang ramai akan membeli tiket di kaunter, sekali gus ‘melenyapkan’ kegiatan ‘ulat’ ini. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga kerap dijadikan ‘sarang’ kegiatan teksi ‘ulat’ sebelum ini tetapi masalah itu berkurangan dengan ketara apabila pelaksanaan langkah penguatkuasaan 24 jam dilakukan sejak Mac lalu.