Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 September 2008

Apabila dua ujian menjadi satu



DR. Ahmad Shukri menjalankan prosedur EUS di Jerman beberapa hari lalu dalam sesi kursus kemahiran teknologi EUS selama tiga bulan.


KEBANYAKAN daripada kita pasti sudah biasa mendengar tentang ujian ultrasound dan endoskopi. Namun pasti tidak ramai yang tahu terdapat teknologi baru yang menggabungkan keduanya menjadi satu ujian yang lebih cepat dan tepat. Bersempena ketibaan Ramadan 1429 Hijrah dan juga sambutan Kemerdekaan Negara Ke-51 hari ini, Kesihatan berkongsi pengalaman dan ilmu baru seorang anak bangsa yang mengorbankan peluang menyambut ketibaan Ramadan dan sambutan kemerdekaan tahun ini untuk membawa pulang teknologi baru yang dapat meningkatkan tahap kemajuan dan mutu bidang perubatan tempatan.

Dikenali sebagai endoskopi ultrasound (EUS), teknologi ini baru bagi dunia perubatan Malaysia tetapi menjanjikan diagnosis yang lebih tepat untuk pesakit. Walaupun bunyinya ringkas, teknologi baru ini memerlukan tahap kemahiran tinggi untuk menjalankan prosedur dan meneliti maklumat yang diperoleh. Selain memerlukan kemahiran di dalam mengendalikan prosedur endoskopi, pengetahuan dan pengalaman turut diperlukan bagi meneliti dan menghuraikan imej ultrasound yang diperoleh.

Untuk itu, Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh kini berada di Interdisziplinare Endoskopie, Universitatsklinikum Hamburg Eppendorf, Jerman bersama pakar EUS yang terkenal di dunia, Professor Nib Soehendra dan Professor Stefan Seewald untuk menjalani kursus EUS selama tiga bulan.

Beliau berharap supaya dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya bersama doktor tempatan dan juga sebagai makluman kepada orang ramai tentang wujudnya teknologi diagnostik dan terapeutik baru seperti EUS.

Konsep EUS mula diilhamkan sekitar awal 1980-an sebagai satu alat untuk penyelidikan yang dapat menggunakan bunyi berfrekuensi tinggi bagi menyampaikan imej dan maklumat tentang salur penghadaman serta tisu dan organ di sekitarnya. Kini, teknologi ini telah berkembang maju dan mendapat tempat dalam ujian klinikal untuk pemantauan peringkat kanser dan juga diagnosis penyakit.

* Manfaat EUS

Menurut Dr. Ahmad Shukri, tujuan utama EUS dicipta bukanlah melihat organ di dalam abdomen, tetapi lebih kepada lapisan dinding dan kelenjar yang berhampiran organ-organ tersebut yang bengkak disebabkan kanser.

“Kanser peringkat awal hanya melibatkan lapisan dalam dan dinding sebelum merebak secara berperingkat ke kelenjar atau organ berdekatan.

“Kaedah sedia ada tidak dapat melihat kanser di peringkat paling awal ini, bila mana ia hanya melibatkan lapisan dinding dalam salur penghadaman,” katanya.

Beliau menegaskan peringkat paling awal ini merupakan peringkat paling kritikal untuk dikesan kerana ia lebih mudah dirawat dan peluang sembuh lebih tinggi.

Tambahnya, ujian imbasan lain seperti imbasan CT dan MRI juga sukar mengesan tanda kanser pada peringkat tersebut.

EUS yang mula dicipta sekitar 1980-an kini banyak digunakan di negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan benua Eropah.

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan belum ada program latihan EUS yang khusus di Malaysia dan beliau berharap kursus berkenaan dapat diadakan pada masa akan datang.

“Walaupun alat yang sama digunakan (seperti endoskopi), penggunaannya telah diluaskan untuk rawatan pesakit yang sakit abdomen kronik disebabkan kanser dan radang pankreas. EUS juga mempunyai pelbagai kegunaan lain, oleh itu turut memerlukan latihan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Beliau memberi contoh penggunaan EUS untuk mencari punca salur pundi hempedu tersumbat di mana ultrasound (luar) abdomen tidak dapat mengesan penyebab masalah tersebut.

Tambahnya, dengan menggunakan EUS, batu hempedu yang kecil juga dapat dikesan.

l Risiko EUS kepada pesakit

Pesakit diberikan suntikan pelali sebelum prosedur EUS dijalankan. Oleh itu, mereka tidak perlu bimbang akan berasa sakit ketika menjalani prosedur berkenaan.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan bahaya atau tidak sesuatu prosedur itu bergantung cara dan jenis prosedur yang dilakukan.

“Sekiranya perlu mengambil biopsi pada pankreas, maka terdapat sedikit risiko radang pankreas dan pendarahan.

“Tetapi ianya terlalu rendah untuk dibimbangkan berbanding dengan manfaat yang diperoleh dengan menjalani prosedur tersebut,” ujarnya.

Kata beliau, sekiranya sekadar prosedur diagnostik, maka boleh dikatakan tiada bahaya atau komplikasi akan berlaku.

* Membawa teknologi pulang

Dr. Ahmad Shukri berharap prosedur EUS dapat diaplikasikan di kalangan pesakit di Malaysia kerana ia dapat mempercepatkan diagnosis, mengurangkan kos rawatan dan juga pemantauan perkembangan penyakit lebih tepat dan pantas.

“Prosedur ini hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit sementara tahap ketepatan hasil ujian juga sangat tinggi sehingga dapat mengesan struktur abnormal yang kecil.

“Kos untuk alat khas EUS adalah hampir mencecah satu juta ringgit Malaysia, tetapi kos pemeriksaan kepada pesakit adalah rendah di hospital kerajaan hasil subsidi perubatan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Secara peribadi, beliau menyatakan pengalaman kursus di Jerman setakat ini menunjukkan prosedur EUS lebih mudah, berkesan dan pantas di dalam mengenal pasti dan mengesahkan sesuatu penyakit.

Dr. Ahmad Shukri menegaskan peralatan teknologi baru ini boleh dibeli tetapi kemahiran menjalankannya perlu diusahakan dan memerlukan pengorbanan diri, masa dan wang.

“Saya berterima kasih kepada keluarga kerana memahami dan menyokong hasrat diri untuk memajukan lagi bidang perubatan negara.

“Saya juga berterima kasih di atas usaha Kementerian Kesihatan Malaysia menghantar kepakaran tempatan menjalani kursus sebegini yang pasti mendapat permintaan tinggi di kalangan pesakit kelak,” ujarnya.

Aplikasi EUS

Bahagian abdomen mempunyai ruang kosong yang diisi organ (hati, pankreas, buah pinggang, uterus) dan salur penghadaman seperti perut, usus kecil dan usus besar. Kesemua organ ini ‘dipadatkan’ dengan rapi secara teratur. Ujian endoskopi seperti gastroskopi dan kolonoskopi membolehkan kita melihat ke dalam salur penghadaman ini untuk diagnosis ulser, polip dan juga kanser.

Memandangkan organ seperti pankreas dan pundi hempedu sukar dicapai endoskop, ujian imbasan lain seperti sinar-X, ultrasound, MRI dan imbasan CAT digunakan. Namun, teknologi imbasan ini tidak dapat mengesan luka kecil pada organ kerana sukar mencapai organ yang berada jauh di dalam abdomen dan dikelilingi organ lain.

Bagi mengatasi masalah ini, kaedah endoskopi dan ultrasound digabungkan untuk memanfaatkan kelebihan kedua-duanya. Endoskopi ultrasound (EUS) menggunakan endoskop untuk memasukkan kamera, prob ultrasound dan jarum biopsi secara serentak (pada hujung endoskop). Frekuensi tinggi digunakan untuk membentuk imej sekitar salur penghadaman sementara kamera endoskop menunjukkan keadaan permukaan dinding dalaman salur gastrousus.

EUS juga terbahagi kepada dua jenis iaitu radial dan linear. Radial diselaputi oleh belon yang akan mengembang di hujungnya bagi melihat keadaan sekeliling dinding dan kelenjar serta organ berhampiran salur penghadaman dan pankreas. Sementara alat Linear EUS pula lebih kepada terapeutik di mana ia mempunyai lubang yang memberi laluan kepada jarum bagi tujuan pengambilan sampel tisu (biopsi) sekiranya terdapat kawasan yang tidak normal untuk pemeriksaan lanjut.

Teknologi terkini ini membolehkan doktor membuat pemeriksaan lebih mendalam keadaan sistem penghadaman pesakit dan juga organ-organ berhampiran. Dengan EUS, kedudukan prob ultrasound di dalam esofagus, perut atau usus boleh dikawal untuk mendapatkan imej imbasan terbaik struktur sekeliling. Perbezaan utama EUS adalah imbasan ultrasound dijalankan dari dalam badan.

Sebagai contoh, pankreas atau salur pundi hempedu boleh diimbas dari dalam badan kerana hanya berada beberapa sentimeter dari perut dan usus kecil. Selain itu, banyak salur darah dan nodus limfa juga mudah diimbas kerana berada berhampiran salur penghadaman.

EUS dilihat lebih berkesan daripada imbasan berkala sinar-X, ultrasound (luaran), imbasan CAT dan MRI. Bagaimanapun, memandangkan prosedur ini memerlukan tahap kepakaran yang tinggi, pakar gastroenterologi yang menjalankan EUS perlu menjalani latihan khas dalam bidang ini.

Kelebihan EUS

Dalam situasi tertentu, EUS dapat membantu dalam diagnosis tumor di dalam ruang kosong abdomen. EUS dapat mengesahkan keabnormalan kasar yang dikesan melalui imbasan sinar-X di samping dapat mengambil biopsi untuk pemeriksaan lanjut.

Biopsi permukaan luka kecil dalam salur penghadaman juga selalunya akan menunjukkan bacaan normal sedangkan lapisan bawahnya mungkin mempunyai tumor malignan (kanser). Dengan EUS, imbasan di lapisan bawah luka dapat diambil untuk mendapatkan gambaran lebih jelas sebelum biopsi lapisan bawah ini dapat diambil.

EUS juga dapat menunjukkan sempadan tumor merebak bagi menentukan saiz, tahap ketumbuhan dan jika ia sudah merebak ke nodus limfa dan salur darah. Memandangkan teknologi ini masih terus berkembang, penemuan baru kelak mungkin dapat meningkatkan keberkesanannya.

Prosedur EUS

EUS, sama ada di bahagian atas (mulut) atau bawah salur gastrousus (dubur), dijalankan hampir serupa seperti endoskopi tetapi mengambil masa lebih lama sedikit kerana lebih banyak maklumat yang perlu diperiksa doktor.

Sebagai persediaan, pesakit hanya berpuasa selepas pukul 12 tengah malam pada malam sebelum prosedur dijalankan. Pesakit juga diberikan bius untuk mengurangkan rasa tidak selesa apabila skop EUS dimasukkan melalui mulut ke dalam salur gastrousus.

Imbasan ultrasound pada bahagian sasaran akan dijalankan menggunakan prob di hujung skop EUS dan imejnya akan dipaparkan pada monitor yang boleh dirakam, dilihat dan diperiksa doktor dalam masa sebenar.