Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 September 2008

Tujuh sungai diancam pencemaran teruk



KOTA KINABALU 29 Julai - Empat sungai di Johor, dua di Pulau Pinang dan satu Melaka dikenal pasti berhadapan dengan tahap pencemaran yang tinggi melalui kajian yang dilakukan terhadap 184 sungai di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, kajian terhadap lembangan sungai yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mendapati pencemaran adalah berpunca daripada pelepasan sisa kumbahan.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana tiada sistem rawatan kumbahan yang lengkap di kawasan kediaman dan perumahan menyebabkan sisa buangan manusia termasuk najis dialirkan ke sungai sewenang-wenangnya.

''Kajian mendapati sungai yang tercemar pada tahap terancam itu hampir semuanya berlaku di kawasan berpenduduk padat termasuklah sungai di Johor.

''Selain itu, biasanya pencemaran sungai berlaku kerana penerokaan tanah sehingga menyebabkan lumpur mengalir ke sungai dan akhirnya mengancam tahap kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi pertandingan Debat Alam Sekitar Institut Pengajian Tinggi Kali Ke-18 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibrahim dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon.

Maznah berkata, pihak kementerian hanya boleh memberi nasihat kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kaedah menangani pencemaran.

Selain itu katanya, cadangan dan usul dikemukakan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang mempunyai kuasa berkaitan dengan sistem kumbahan di sesuatu kawasan.

"Selain tujuh sungai itu yang dikenal pasti dalam keadaan terancam, sebahagian sungai lain dikategorikan separuh bersih manakala beberapa sungai di Lembah Klang dikenal pasti pada tahap sederhana bersih.

"Kajian akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan 146 sungai adalah terletak di bawah JAS dan bakinya di bawah pengawasan JPS," ujar beliau.

Beliau turut memberi jaminan Sungai Kinabatangan yang merupakan antara lokasi pelancongan di Sabah dikenal pasti bersih daripada pencemaran meskipun terdapat dakwaan terdapat kilang kelapa sawit melepaskan sisa buangan ke dalam sungai.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata, kementerian akan terus memperluas aktiviti kesedaran mengenai alam sekitar kepada golongan pelajar sekolah rendah melalui pelbagai aktiviti berkaitan.

Menurut beliau, aktiviti tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk JAS, JPS dan Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perhutanan.