Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 September 2008

Berbuka puasa, dulu dan sekarang



Berbuka puasa dewasa ini berbeza sekali dari kelaziman dalam masa perang dulu apabila Malaysia diduduki oleh tentera Jepun yang menewaskan Inggeris.

Tidak ada iklan hotel yang menawarkan berbuka berharga RM85 bagi setiap orang dewasa. Tidak ada warung menjual kuih atau nasi beriani dan lain-lain keenakan. Tidak ada kelab mengadakan majlis berbuka yang boleh disertai oleh bukan Islam, sesuatu pembaharuan yang molek jua adanya.

Bagi tukang catat ialah pengalaman berbuka puasa di Masjid Tanjung Malim, Perak semasa pemerintahan tentera Jepun, iaitu perlu berjalan kaki dari seberang Selangor melintasi sempadan dan sungai.

Kebiasaan bagi saya dan seorang dua teman ialah membawa serba sedikit makanan. Tidak ada yang mampu membawa bungkusan nasi dan lauk setiap hari. Menggantikannya ialah pisang, ubi kayu atau ubi keledek rebus dan sedikit lauk. Dalam perjalanan ke masjid, kami mengambil kesempatan mandi di sungai yang jernih dan mengambil wuduk.

Lalu semasa berbuka di masjid, para hadirin dapat menikmati makanan yang dibawa oleh makmum lain, apatah lagi jika ada nasi. Tidak ramai sebenarnya datang dan seterusnya sembahyang maghrib, isyak dan tarawih, iaitu satu saf saja.

Hubungan mesra terjalin antara kesemua, terutama yang datang setiap hari, antara lain, bertukar berita dan maklumat. Kerana diwaktu itu tidak ada surat khabar dan radio di rumah untuk mendengar warta berita.

Waktu balik ke rumah, mereka yang melintasi sempadan perlu berhati-hati bila lalu di hadapan askar Jepun yang berkawal di bawah pohon rendang. Tiap seorang perlu mengesahkan kehadirannya dalam keadaan gelap dan tunduk memberi hormat. Jika ini tidak dilakukan, yang melintas akan dimaki hamun, ditampar atau dipukul dan dihentak dengan senapang.

Keadaan berbeza dari masa sebelum perang. Kenduri moreh diadakan di masjid oleh yang mampu dan berada. Bilangan makmum hingga empat, lima saf. Empat orang dewasa berkongsi menikmati dulang berisi nasi, kari daging atau ikan dan lain-lain. Mewah sekali hidangan tersebut dibandingkan dengan bungkusan nasi atau ubi kayu dan ubi keledek semasa pemerintahan tentera Jepun.

Lain hal berlaku manakala ada pemuda yang dikerah berkhidmat ala-tentera Jepun. Tiada majlis berbuka puasa. Khabarnya juga ketika itu ada orang Islam tidak bersetuju berbaris panjang untuk tunduk memberi hormat ke arah Istana Tennohoika atau Maharaja Jepun di Tokyo. Ia dianggap sebagai amalan menyembah.

Pengalaman

Dengan pengalaman sedemikian, maka tidak diduga sama sekali, setelah sekian lama tamat perang, tukang catat ini menerima hadiah al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Jepun. Hampir 900 muka tebalnya. Ini kerana beransur-ansur meningkatnya bilangan orang Jepun memeluk agama Islam. Sebuah masjid telah dibina di Tokyo.

Dewasa ini ada masjid mengadakan kembali kenduri moreh. Semoga ia mendapat sokongan daripada makmum dengan memberi sumbangan derma wang pada hari Jumaat dan hari-hari lain juga.

Antara makmum ialah pekerja-pekerja asing yang mencari nafkah di negara kita, dari mana juga mereka adanya, termasuk Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

Semoga turut hadir ialah makmum kita sendiri. Sebagaimana sesetengah daripada kita mahu sembahyang di masjid negara lain, jauh dan dekat.

Molek dicatat ialah secebis daripada kisah seorang Amerika, bernama Michael Wolfe yang memeluk agama Islam dan kemudian menulis buku mengenai pengalamannya menunaikan haji di Mekah. Beliau sebelum itu singgah di Maghribi pada bulan Ramadan dan menunaikan solat di sebuah masjid lalu menulis antara lainnya:

“Bilal menyampaikan azannya. Pada kebanyakan masjid di Maghribi dikibarkan bendera biru untuk memberitahu mereka yang pekak. Mata saya menuju ke arah ratusan manusia yang sedang sujud. Kalau ketenangan yang aku cari, maka aku menemuinya di sini di sebuah masjid penuh dengan manusia yang tidak dikenali.”

Bukunya berjudul The Hadj: An American’s Pilgrimage to Mecca (Gove Press New York).

Kepada yang berbuka puasa di Mekah, termasuk sebilangan warga kita, disampaikan ucapan selamat.