Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 September 2008

Isunya 10 September, bukan 16 September


TARIKH 16-9-2008 begitu disebut oleh orang. Di sana-sini, terutama di arena politik tanah air, malah di negara-negara jiran, banyak yang bercakap dan bertanyakan mengenai tarikh itu. Tarikh itu nampaknya sungguh istimewa. Blog-blog pun berkomentarkan mengenainya.

Sepanjang beberapa minggu dan bulan lalu, termasuk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, isu tarikh itu turut dicanang.

Pencanang dan pencetus ilham itu tidak lain dan tidak bukan ialah Brother Anwar Bin Ibrahim. Dengan ekspresi muka yang selamba - dia bercakap dengan yakin bahawa pada tarikh itu "saya akan menjadi Perdana Menteri baru Malaysia".

Ya, beliau yakin pada tarikh itu dia akan berjaya membawa masuk kira-kira 30 orang Ahli Parlimen (MP) ke gagasan perikatannya, Pakatan Rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan baru.

Ada yang yakin, ada yang skeptik - was-was, dan ada yang mencongak-congak secara ilmu hisab, bolehkah percaturan itu berlaku.

Pelbagai andaian menjadi perdebatan selepas itu. Seperti biasa Anwar berjaya dalam permainan perang sarafnya. Beliau tersenyum puas - sekali lagi.

Ternyata, beliau amat mahir bermain dengan perasaan orang ramai. Dengan pendekatan itu juga beliau turut berjaya 'memancing' pengundi Permatang Pauh sendiri. Kaum Melayu, terutama Cina dan India, cukup percaya kata-kata beliau mengenai tarikh itu.

Namun, mahu dijadikan cerita panjang menjadi pendek, Anwar sejak beberapa hari ini sedikit gusar. Beliau mula sangsi apakah cita-cita besarnya itu menjadi kenyataan.

Cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri yang terpendam serta teringin sekian lama, nampaknya sedikit kelabu. Orang ramai pun sudah mula nampak tak begitu yakin, setelah melihat pinangannya ke atas MP-MP dari Sabah dan Sarawak, kurang mendapat sambutan.

Beliau juga sudah nampak, percaturannya itu sukar direalisasi. Selain faktor Perlembagaan Persekutuan dan sistem Dewan Rakyat itu sendiri yang akan menyukarkan proses tersebut.

Sebagai strategis politik yang licin - Anwar menukar taktiknya kepada Pelan B.

Kali ini, pelan itu bukan isu mengenai kisah kira-kira 30 orang MP itu lagi, tapi dengan sedikit 'sentuhan kreatif' beliau bermain mengenai soal pelepasan cuti pula.

Beliau cadangkan tarikh 16 September itu dijadikan cuti umum. Seperti biasa perasaan orang ramai dimainkan sekali lagi. Kali ini di kalangan rakyat Sarawak dan Sabah pula.

Beliau berkata, pada tarikh itu kedua-dua negeri berkenaan telah diisytiharkan merdeka daripada penjajah British dan oleh itu, tarikh tersebut patut diraikan.

Cadangan itu dibuat setelah dua hari kita menyambut sambutan kemerdekaan 31 Ogos. Nampaknya beliau mahu menongkah tabii ke atas perayaan yang semua rakyat Malaysia telah raikan sejak 51 tahun lalu.

Ada orang menghantar SMS kepada saya mengatakan "Anwar memang pakar". Saya terima mesej itu dengan senyuman kecil.

Tapi saya tertanya-tanya mengapa tiba-tiba beliau membuat kenyataan sebegitu. Apa muslihatnya (lagi)? Dari tarikh yang diangan-angankan beliau menjadi seorang Perdana Menteri kepada cuti umum?

Apakah beliau cuba mengalih perhatian umum yang menunggu-tunggu tarikh itu dengan penuh debaran. Adakah rancangannya yang telah diadu-domba itu sudah gagal?

Tiba-tiba isu sejarah menjadi perhatian. "Kita mahu membuktikan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak mahu menipu sejarah," kata Anwar.

Kita keliru bila pula sejarah kena tipu? Siapa yang tipu? Dan, ke mana pula perginya isu lompat parti dan mahu jadi Perdana Menteri itu?

Bagaikan sudah pun menjadi Perdana Menteri, beliau menambah: "Kita harap lima negeri yang kita kuasai sekarang boleh beri cuti umum pada 16 September ini." Semua pemimpin lima negeri itu bersetuju.

Ada seorang rakan memberitahu saya, Anwar terus dengan gimik politiknya. Bagi saya, beliau sebenarnya sedang runsing. Beliau menanggung satu beban yang cukup besar, apabila menjanjikan tarikh itu kepada rakyat dan para pengikutnya.

Jika gagal dengan janji-janjinya dulu bermakna beliau melakukan satu pendustaan yang teramat besar. Malah ada yang akan mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Tapi baginya, itu bukan masalah. Perasaan rakyat harus terus dimainkan bagi membolehkan beliau terus terapung di arena politik dan terus mendapat perhatian.

Nampaknya beliau begitu bimbang mengenai tarikh itu daripada tarikh sebenar iaitu pada 10 September ini, apabila kes tuduhan liwat ke atasnya akan disebut. Apakah beliau mahu cuba mengalih perhatian daripada masalah beliau sendiri, dengan membuat lencongan itu?

Secara moral, sampai bila beliau mahu terus-menerus begitu. Yang pasti, perbicaraan beliau pada hari Rabu minggu depan akan menjadi tumpuan semua. Bukan 16 September itu.