Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 September 2008

Memaknakan merdeka ke-51


AHAD lalu adalah 31 Ogos kali ke-51. Ini bermakna kita sudah 51 tahun mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Selepas melewati setengah abad menjadi rakyat yang menghuni negara merdeka, sesetengah daripada kita mungkin terlupa bahawa kemerdekaan bukan bererti terus merdeka. Malah mencapai kemerdekaan daripada penjajah ketenteraan seperti British, Jepun atau Portugis bukanlah satu jaminan penjajahan tidak akan datang lagi kepada kita dalam bentuk yang berbeza.

Mungkin benar kita tidak dijajah atau belum lagi dijajah seperti yang berlaku di Iraq. Tetapi dengan langit tanpa sempadan seperti sekarang ini, tanpa mempunyai kecintaan yang tinggi kepada negara dan nilai-nilai yang membudayakan hidup kita, itulah ruang untuk dijajah pada abad baru ini. Proses pembudayaan berlaku dengan pesatnya dan dengan langit terbuka juga penjajah baru membina persepsi tersendiri tentang budaya dan nilai hidup yang menjuruskan kepada materialisme.

Sesiapa saja tidak mungkin dapat menghalang nilai-nilai baru menyusup masuk ke dalam masyarakat atau negara. Apa lagi dengan teknologi komunikasi yang menjadikan dunia ini terlalu kecil, apa yang berlaku di hujung dunia sana, diketahui dengan pantas di hujung dunia sebelah sini. Tetapi kalau sesebuah masyarakat mempunyai serta membina ketahanan budaya mereka, penjajahan mungkin agak sukar berbanding negara yang tidak mempunyai daya ketahanan budaya yang tinggi.

Selepas 51 tahun merdeka, adakah kini kita boleh berbangga dengan sekian banyak karya yang menjuruskan kecintaan rakyat kepada negara ini? Berapa banyak karya yang mengingatkan tentang alam tanah air ini adalah hamparan permaidani dan tidak ada di negara lain? Sama ada kesusasteraan, perfileman atau muzik, patriotisme harus difahami sebagai menyuburkan kecintaan kepada tanah air yang satu ini. Patriotisme tidak boleh lagi hanya mengitar semula paparan perjuangan menentang penjajah seperti yang banyak kita saksikan sebelum ini. Maknanya kar- ya-karya yang lahir menjuruskan kepada membina kecintaan kepada negara selain mengitar semula kisah-kisah sejarah perjuangan menentang penjajah.

Bukan pula ini bermakna tidak boleh mengangkat kisah-kisah sejarah tetapi selain bertolak daripada sejarah juga kita boleh menghasilkan karya-karya yang mempunyai nilai patriotik. Kerana itu kita perlu meluaskan definisi patriotik, salah satunya untuk memberitahu bahawa apa yang kita lakukan atau fikir setiap hari mempunyai hubungan dengan kecintaan kepada negara. Orang yang sayangkan negara, sama sekali tidak ada menjual atau menggadaikan negara dengan apa cara sekali pun.

Membiarkan tanpa berusaha mengimbangi kemasukan budaya luar dengan nilai-nilai setempat adalah satu tindakan yang tidak patriotik. Ini kerana perbuatan itu samalah dengan membuka tembok sempadan supaya penjajah boleh menjajah dengan mudah. Maka nilai setempat harus seimbang dengan kemasukan pengaruh dari luar.