Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 September 2008

Komitmen besar Felcra





IBARAT sebuah keluarga yang besar iaitu dengan kira-kira 93,500 orang ahli, Felcra menggalas tanggungjawab dan ama- nah yang sangat penting dalam meningkatkan taraf hidup pesertanya menerusi pelbagai program pembangunan tanah.

Menjadikan peranan itu lebih utama apabila ia membabitkan penduduk di luar ba- ndar yang rata-ratanya merupakan orang Melayu dan bumiputera, sekali gus berusaha merapatkan jurang ekonomi tidak hanya di antara penduduk di bandar tetapi juga di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Bermula dengan kira-kira 400,000 hektar tanah terbiar yang diusahakan bersama dengan Risda sebagai estet kelapa sawit berkelompok ketika awal penubuhannya pada 1966, Felcra yang dikenali sebagai Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) telah melalui revolusi yang pantas di sebalik peranan asas membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh negara.

Tanggungjawab Felcra juga bertambah besar apabila ia dikorporatkan pada 1997 yang menyaksikan transformasinya kepada Felcra Berhad, sekali gus menuntut badan itu bersaing secara terbuka dan bebas sama seperti syarikat korporat lain.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nasarudin Hashim, Felcra ketika ini bertanggungjawab mengurus dan membangunkan tanah terbiar seluas kira-kira 262,160 hektar di seluruh negara dengan pelbagai projek pertanian yang berdaya saing.

Dengan jumlah keluasan tanah serta peserta yang agak besar itu katanya, ia menuntut komitmen dan pengorbanan yang cukup tinggi di kalangan semua kakitangan Felcra bagi memastikan matlamat badan itu memperkasakan orang Melayu dan bumiputera sentiasa menjadi keutamaan.

"Kejayaan kami adalah kejayaan untuk membangunkan seluruh peserta Felcra, begitu juga dengan kegagalan kami adalah kegagalan merubah nasib mereka. Justeru, peranan setiap kakitangan Felcra adalah sangat besar kerana kami menanggung sebuah keluarga yang besar," katanya.

Menyelusuri peranan dan sumbangan sepanjang 42 tahun usia penubuhannya, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menilai kejayaan Felcra dalam meningkatkan taraf hidup ekonomi masyarakat di luar bandar, malah ia sebenarnya boleh dianggap satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Felcra sejak penubuhannya sehingga kini jelas Nasarudin, sudah mengagihkan dividen kepada ahlinya berjumlah RM3.1 bilion selain membayar cukai korporat kepada kerajaan sebanyak RM144 juta sejak 1997, sekali gus membuktikan bahawa badan itu sentiasa mencatat keuntungan.

Malah, Felcra juga berjaya melunaskan lebih separuh pinjaman kewangan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM1 bilion daripada hutang keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion dalam tempoh sejak 1996.

PotensiSelain membayar dividen kepada peserta, Felcra juga membayar dividen kepada pemegang saham iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) berjumlah RM58 juta daripada modal berbayar syarikat sebanyak RM500 juta dan modal dibenar berjumlah RM1 bilion.

Menyedari potensi pembangunan tanah ketika ini semakin meluas tidak hanya kepada aktiviti perladangan semata-mata, Felcra tambah Nasarudin, turut menggalakkan peserta serta anak syarikat terlibat secara langsung dalam aktiviti guna tanah berimpak tinggi.

Antaranya projek berpotensi besar seperti penternakan kambing dan lembu kerana permintaan daging dan produk tenusu yang tinggi serta projek akuakultur seperti ternakan ikan dan udang di dalam kolam di muara sungai atau di paya.

Aktiviti guna tanah yang menjadi fokus terbaru Felcra itu kini sedang giat diusahakan di beberapa kawasan termasuk di Tuaran dan Selusuk, Sabah selain projek ikan hiasan di Terengganu, Johor dan Perak.

Hakikatnya, peranan Felcra dalam membangunkan ekonomi masyarakat di luar bandar juga tidak hanya tertumpu kepada aktiviti guna tanah semata-mata, sebaliknya lebih meluas mencakupi pelbagai bidang lain.

Mengambil contoh aktiviti pembangunan di sesebuah kawasan misalnya, ia turut membuka peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera untuk mengambil bahagian bersama-sama Koperasi Peserta Rancangan Felcra (KPR) dan Koperasi Peserta Felcra Bhd. (KPFB) yang ditubuhkan.

"Keanggotaan ahli KPR atau KPAB itu sepenuhnya terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera, justeru ia secara tidak lang- sung turut menggalakkan mereka untuk berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

Malah, dalam meningkatkan lagi peluang perniagaan di kalangan usahawan bumiputera ini juga, kita menggalakkan mereka untuk bersama-sama dengan KPR dan KP- FB dalam projek pembangunan tanah yang diusahakan oleh Felcra," ujarnya.

Ketika ditanya strategi Felcra menarik penglibatan tuan tanah untuk projek pertanian di sebalik saingan terhadap projek komersial lainnya, Nasarudin berkata, Felcra perlu membuktikan kepada peserta bahawa badan itu merupakan pengurus yang terbaik.

Tambahnya, apabila diberikan tanggung- jawab untuk menguruskan sesebuah tanah, Felcra akan mengusahakannya secara profesional supaya dipastikan pulangan dividennya yang lebih tinggi kepada peserta.

Namun bagi beliau, ketika peranan asas Felcra untuk memperkasakan orang Melayu dan bumiputera luar bandar berasaskan pembangunan tanah itu sedang bergerak pada landasan yang tepat, tumpuan ketika ini dipertingkatkan pula kepada objektif se- terusnya iaitu membangunkan generasi kedua.

PenguasaanMenerusi peranan yang digalas oleh Yayasan Felcra, tumpuan diberikan untuk membangunkan modal insan di kalangan anak- anak peserta secara memperlengkapkan mereka dengan penguasaan ilmu dan pendidikan.

Antara program yang sedang giat dilaksanakan oleh Yayasan Felcra ketika ini termasuk kemudahan tuisyen di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, biasiswa dan pinjaman pendidikan serta insentif sebanyak RM300 kepada setiap pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam sasaran yang lebih tinggi tambah Nasarudin, Yayasan Felcra turut merintis usaha untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan terutamanya dalam bidang pergigian dan farmasi di kalangan anak- anak peserta serta kakitangan Felcra.

Ia dijalankan secara kerjasama dengan tiga buah universiti terkemuka di Indonesia iaitu Universiti Sumatera Utara, Institut Teknologi Bandung, dan Universiti Panjajaran Bandung.

Dengan peruntukan kira-kira RM4 juta, Felcra mensasarkan untuk menghantar seramai 30 orang peserta untuk mengikuti kursus perubatan di ketiga-tiga universiti terkemuka itu sepanjang tahun depan.

"Sejak program ini dimulakan tahun lalu, kita telah berjaya menghantar tujuh orang pelajar untuk mengikuti pengajian kedoktoran, farmasi dan pergigian di Universiti Sumatera Utara dan dua orang pelajar di Institut Teknologi Bandung.

"Malah, sewaktu saya bertemu dengan rektor ketiga-tiga universiti itu baru-baru ini juga, mereka memberi jaminan untuk memberi lebih banyak ruang kepada anak-anak Felcra selagi mereka menepati standard kelulusan yang ditetapkan," katanya.