Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 September 2008

Pencemaran alam di bandar sering tidak dipedulikan



DUA gambar ini jelas menunjukkan sikap kurang prihatin pengusaha restoran yang menyalurkan serombong asap dan saluran paip membasuh mereka terus ke dalam longkang.


SERING Bidai menulis mengenai kejadian kemusnahan alam sekitar di tempat lain terutama kawasan hutan, pantai, laut dan juga pelbagai kawasan indah lain di luar Kuala Lumpur.

Mungkin ini disebabkan sayangnya Bidai dan juga pencinta alam lain yang mahukan alam sekitar itu tidak lagi dinodai dengan pelbagai aktiviti yang mampu melenyapkan keindahan yang tercipta secara asli beribu tahun yang lalu.

Ye lah, dalam sekelip mata, kemusnahan boleh dilakukan tanpa disedari kerana dikaburi oleh wang ringgit yang berjuta-juta.

Dan ini juga disebabkan tidak semua yang prihatin dengan kejadian alam yang pada hemat mereka terjadi dalam sekelip mata.

Sebagai contoh, kejadian di Pulau Sipadan, Sabah beberapa tahun lalu di mana tongkang pengangkut bahan binaan melanggar sebahagian kawasan terumbu karang di pulau yang menjadi rebutan banyak negara itu.

Tidak ramai yang percaya bila Bidai mengatakan terumbu karang memerlukan ribuan tahun untuk membesar di mana, ada sesetengah spesies, ia hanya membesar hanya satu sentimeter setahun.

Tapi bagi mereka yang tidak mempunyai akal yang panjang atau lebih mudah dipanggil bodoh, melanggar dan meratakan terumbu karang di situ tanpa rasa bersalah.

Malah ada pula yang mengatakan tindakan itu tidak memusnahkan keseluruhan kawasan terumbu karang itu dan tempat itu masih boleh dilawati.

Ye lah, Bidai tak mengatakan pulak terumbu karang sebanyak satu peratus yang hancur itu membawa bencana kepada Pulau Sipadan, tetapi yang satu peratus itulah yang kena jaga. Tau ke mereka yang satu peratus itu memerlukan ratusan atau mungkin ribuan tahun untuk membesar?

OK tutup bab itu, dan kali ini Bidai ingin membawa pembaca ke bandar pula.

Dalam sedar atau tidak sebenarnya warga kota merupakan spesies pemusnah paling utama di dunia dan tanpa disedari, mereka menjadi antara masalah yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar secara total.

Sebagai contoh sebuah restoran terkenal di Taman Melawati, Selangor menyalurkan serombong asap masakan mereka terus masuk ke dalam longkang.

Mungkin pada mereka, elakkan asap masakan itu dilepaskan ke udara dan lebih baik disalurkan ke dalam longkang, gamaknya.

Namun bagi Bidai, kedua-dua anggapan itu memang memusnahkan alam sekitar tidak kira di udara atau di darat dan seharusnya, pengusaha restoran itu boleh memasang penuras asap dan ia bolehlah dilepaskan ke udara.

Ini tidak, mereka mengambil jalan mudah dengan menyalurkannya ke longkang.

Ye lah, pada mereka longkang adalah satu tempat yang kotor yang boleh dibuang sebarang benda termasuklah asap atau sebagainya.

Pada mereka, asap tidak mendatangkan sebarang masalah kepada alam sekitar tapi pada hakikatnya, asap yang dilepaskan itu membawa bersama minyak masakan yang dalam tempoh yang lama mampu menyekat laluan air dan mengotorkan aliran air yang sudah semestinya akan mengalir terus ke dalam sungai.

Tidak ambil pusing

Pada mereka gamaknya asap yang dialirkan ke longkang itu adalah penyelesai masalah pencemaran asap yang dilakukan.

Tidak ambil kisah, tidak ambil pusing. Semuanya dilakukan dengan mudah tanpa memikirkan akibatnya.

Pada Bidai tak perlulah kita fikirkan apa yang bakal terjadi pada akhir aliran air dalam longkang tersebut, cukup sekadar apa yang berlaku di penghujung serombong itu sahaja.

Bayangkan, operasi restoran itu setiap hari dan waktu puncaknya adalah tengah hari dan aliran asap dari serombong itu Bidai pantau tidak henti-henti dan segala minyak dan juga jelaga akan memasuki longkang.

Selepas itu Bidai dapat perhatikan, ada aliran dari sinki membasuh pinggan mangkuk turut dialirkan ke dalam longkang bersama-sama serombong asap itu juga.

Bayangkan selepas segala asap dengan minyak dialirkan ke longkang itu, sisa-sisa makanan, basuhan sabun dan juga kotoran lain turut sama dimasukkan ke dalam longkang. Aliran itu tadi Bidai lihat teramatlah kotor sehingga bau busuk boleh dirasai dengan hanya berada 10 meter dari longkang berkenaan.

Yang hairannya, tidak pula pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap perkara ini.

Kalau kenderaan yang tidak cukup waktu atau tidak memperaga bayaran letak kereta sibuk pula disaman sana-sini.

Inilah yang sering Bidai katakan, sikap untuk menjaga alam sekitar itu tidak ada, baik pada pengusaha, baik pada penguatkuasa.

Pada Bidai penguatkuasa tak perlulah sampai perkara ini dihebahkan ke dalam akhbar, ada mata sendiri pun boleh tengok apa yang terjadi.

Amaran patut diberikan dan pada Bidai, pengusaha restoran itu perlulah bertanggung jawab dengan membersihkan saliran longkang berkenaan hingga bersih.

Dengan keadaan kotor tu Bidai dapat rasakan bukan hanya lalat, segala macam spesies tikus, gagak dan juga lipas amat tertarik untuk berada di situ yang akhirnya menyebabkan segala macam penyakit datang.

Ketika itu barulah PBT sibuk nak suruh orang ramai bersikap bersih dan membersihkan dan bagi Bidailah, pada waktu tu tak guna lagi nak menyesal.

Dalam era moden ni Bidai percaya pelbagai cara dan langkah terbaik boleh diusahakan oleh sesiapa untuk mengelak pencemaran alam sekitar dan bukan mengambil sikap sambil lewa dan mementingkan diri sendiri dengan melakukan perkara yang bakal membawa bencana kepada orang lain.

Fikirkanlah...