Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 September 2008

Industri ICT lebih mencemar alam sekitar?


Percayakah anda industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) menghasilkan pembebasan karbon dioksida (CO2) yang cukup tinggi.

Malah kepesatan penggunaannya di seluruh dunia akan menyebabkan penghasilan CO2 dari industri ini terus meningkat malah menjelang 2012, ia dikatakan akan melangkaui jumlah CO2 yang dibebaskan dari pembakaran bahan api industri penerbangan.

Fakta ini dipetik dari edisi terkini jurnal The McKinsey Quarterly.

Untuk cuba membayangkan jumlah penggunaan bahan api oleh industri penerbangan, penulis menghubungi seorang pegawai syarikat penerbangan antarabangsa Perancis, Air France.

Beliau mengesahkan bahawa pesawat memang menggunakan bahan api yang tinggi terutama semasa proses berlepas. Misalnya bagi pesawat Airbus A320 sebanyak 3,000 liter bahan api diperlukan hanya untuk berlepas.

Diwaktu kita merasakan industri ICT adalah industri yang moden dan bersih berbanding mana-mana industri lain termasuk sistem pengangkutan, tentu ini mengejutkan.

Meskipun teknologi ini bersih, operasi untuk industri ICT sebenarnya memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang amat banyak.

Tenaga elektrik di Malaysia didapati dari stesen penjanaan yang menggunakan bahan api hidrokarbon dan sudah tentu pembakaran bahan api jenis ini menghasilkan banyak CO2 selain gas-gas rumah hijau yang lain.

Realitinya, sebarang peralatan elektrik sudah pasti memerlukan tenaga, komputer begitu juga sistem jaringan yang menghubungkan server utama dengan semua peranti komputer yang mudah panas.

Ini memerlukan rangkaian sistem tersebut ditempatkan di dalam ruang dengan sistem penyejuk udara bagi memastikan ia boleh terus digunakan dengan efisien.

Proaktif

Operator telefon bimbit DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) mungkin merupakan pemain ICT tempatan yang paling awal menyedari isu ini dan bersikap proaktif bagi mengatasinya.

Bagi DiGi, penggunaan tenaga yang diperlukan untuk bilik server yang terletak di semua menara pemancarnya amat kritikal. Bagi menanganinya, Digi tanpa ragu-ragu sentiasa berusaha mendapatkan teknologi terkini dunia dan memasang sistem yang lebih berkesan dan kos efektif.

Kata Pengarah Perhubungan Korporat dan Strategi DiGi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, statistik menunjukkan penggunaan tenaga DiGi untuk sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 100 Gigawatt, yang mana kebanyakannya berpunca daripada rangkaian server.

Bayangkanlah, jumlah tenaga tersebut boleh menampung penggunaan elektrik untuk sepanjang Sukan Olimpik 2008 Beijing, bukan sekadar satu kali malah tujuh kali penganjuran.

Ini baru satu bahagian daripada kesedaran DiGi. Matlamat DiGi, jelas Tunku Alizakri ialah untuk mengurangkan separuh daripada jumlah keseluruhan pelepasan CO2 dalam tempoh tiga tahun.

Inilah cabaran untuk pasukan Climate Champions.

Lebih bermakna, mereka memulakannya dari tempat kerja. Bak kata Tunku Alizakri, apa sahaja bentuk kesedaran perlu bermula dari rumah.

‘‘Memandangkan kita meluangkan lebih banyak waktu berjaga di pejabat berbanding di rumah, maka pejabatlah rumah kita,’’ ujarnya.

DiGi telah mengambil satu langkah yang sangat proaktif dengan menubuhkan pasukan Climate Champions yang mewakili setiap jabatan dalam syarikat yang menghasilkan program kesedaran dengan tema Feel The Heat, Time To Change.

Program berbentuk sukarela ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran perubahan cuaca di kalangan pekerjanya di seluruh negara serta menjadikan mereka sebagai individu model contoh bagi mengembangkan pengetahuan perubahan gaya hidup dalam masyarakat.

Antara yang diusahakan ialah Climate Change, program penggalakkan kakitangan bagi menilai semula gaya hidup mereka dan membantu mereka mencari cara terbaik untuk menjimatkan penggunaan tenaga, wang dan juga menjadi lebih mesra alam.

Terbaru, Digi menganjurkan satu program kesedaran selama tiga minggu di ibu pejabat mereka, D‘House di Shah Alam yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu perubahan cuaca, kecekapan tenaga serta kitar semula dan pengurusan sampah.

Menariknya, kesungguhan kakitangan Digi dapat dilihat jelas memandangkan kebanyakan aktiviti memerlukan penglibatan secara sukarela dan memerlukan mereka mengorbankan masa rehat tengahari. Namun ia tetap mendapat sambutan hangat.

Antara acara menarik ialah usaha Digi menjemput seorang pakar mengenai perubahan cuaca, Gilbert Rochecouste untuk bengkel Turn up the Heat: Call to Action bagi membincangkan secara interaktif akan cara menghadapi isu pemanasan global secara efektif.

Speed dating

Antara kejayaan lain, Climate Champions telah menghasilkan sistem yang cukup menarik bagi menggalakkan pekerjanya berkongsi kereta ke pejabat.

Caranya, kakitangan yang mendaftar dibahagikan dalam kumpulan- kumpulan kecil berdasarkan lokasi tempat tinggal mereka. Seterusnya cara speed dating digunakan bagi membolehkan mereka berkenalan dan memilih rakan sekerja yang sesuai dengan laluan harian mereka.

Inisiatifnya, kemudahan tempat letak kereta berbumbung disediakan khusus untuk pengamal kongsi kereta.

Contoh lain penjimatan yang diamalkan Digi ialah dengan mengurangkan keperluan perjalanan jauh dan penjimatan elektrik.

Syarikat tersebut menyediakan komputer bimbit dengan kemudahan sistem telepersidangan kepada setiap kakitangannya yang membolehkan mereka bermesyuarat secara jarak jauh tanpa perlu bertemu.

Bangunan D‘House pula dilengkapi dengan sistem penjimatan elektrik automatik yang memadamkan semua lampu dan penyaman udara pada waktu rehat tengahari dan selepas jam bekerja iaitu pukul 6.30 petang.

Amalan lain termasuk aktiviti pejabat tanpa kertas, kitar semula telefon bimbit, aksesori dan baterinya serta kertas.

Digi, kata Tunku Alizakri mahu berkongsi pencapaian mereka dengan ahli masyarakat yang lain malah bersedia berkongsi maklumat dan membantu mana-mana badan yang berminat menggunakan rangka tindakan Climate Champions tanpa sebarang caj.

Maklumat lanjut mengenai pelbagai aktiviti berkenaan kempen Digi tersebut boleh dilayari di laman web www.feeltheheat.net.my.

Kesimpulannya, cara terbaik mengatasi isu perubahan cuaca ialah ubah minda anda.