Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Oktober 2008

AIM bantu penduduk miskin di bandar


Oleh Ziauddin Sharuddin





PENDAPATAN isi rumah antara RM1,000 hingga RM1,500 mungkin mencukupi untuk hidup selesa di bandar kecil dan kampung, tetapi dengan jumlah yang sama di bandar besar, anda terpaksa mengikat perut.


Mulai Oktober tahun lalu, Paras Garis Kemiskinan (PGK) di bandar diseragamkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada kadar RM660 bagi setiap isi keluarga terdiri dari lima orang, manakala PGK bagi Sarawak ialah RM780 dan Sabah RM880.

Mereka yang berpendapatan RM1,000 hingga RM1,500 mungkin melepasi paras berkenaan, tetapi realitinya mereka menghampiri kemiskinan kerana kos sewa rumah saja hampir separuh daripada pendapatan bulanan.

Berikutan itu, mereka terpaksa mencari pendapatan tambahan dengan pelbagai cara antaranya mempunyai dua pekerjaan dan suami isteri bekerja. Senario ini menyebabkan ibu bapa dibelenggu tekanan perasaan, manakala anak yang kurang pengawasan menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Pilihan yang ada? Berniaga kecil-kecilan, tetapi untuk mencari modal walaupun RM1,000 atau RM2,000 bukan mudah. Meminjam daripada peminjam haram seperti ‘along’ ibarat menyerah leher untuk dirantai.

Bagaimanapun, penduduk berpendapatan rendah bandar kini mempunyai harapan baru. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sinonim dengan program pembasmian kemiskinan di luar bandar sejak 1980-an kini menggunakan landasan sama di bandar.

Bermula April lalu, Program Kewangan Mikro Bandar diperkenalkan dengan pembukaan cawangan AIM bandar pertama di Sentul, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan AIM, Zabidah Ismail, berkata kejayaan di luar bandar menyebabkan Kementerian Kewangan menawarkan program sama dilaksanakan di bandar dengan dana awal RM100 juta.

Katanya, program ini membuka peluang kepada golongan berpendapatan RM2,000 ke bawah sebulan mengusahakan projek yang boleh meningkatkan pendapatan.

“Ini berbeza dengan syarat menjadi Sahabat AIM luar bandar, iaitu isi rumah berpendapatan kurang daripada PGK semasa kerajaan,” katanya.

Beliau yakin pengalaman AIM selama 21 tahun memberi bantuan modal dan pengukuhan disiplin membuktikan golongan miskin bukan setakat mampu keluar dari belenggu kemiskinan, malah menjadi golongan berharta.

“Kajian impak 2006 oleh AIM dan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pendapatan purata Sahabat AIM yang sebelum ini hanya RM321 meningkat kepada RM1,904 sebulan.

“Perubahan ini tidak berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun. Biasanya mengambil masa kira-kira 10 tahun. Secara purata, mereka berjaya melepasi PGK selepas tiga kali pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada Sahabat AIM kini tidak lagi tergolong sebagai golongan miskin.

Zabidah berkata, Sahabat AIM bermula dengan jumlah pinjaman yang kecil dan secara berterusan hingga perniagaan berjaya, pinjaman maksimum adalah RM50,000.

Katanya, ada Sahabat AIM luar bandar mampu membayar balik pinjaman RM50,000 dalam tempoh setahun dengan membayar RM1,100 setiap minggu. Apabila pinjaman langsai, boleh meminjam lagi sebanyak RM50,000.

Beliau berkata, pendekatan di luar bandar diterapkan di bandar dengan menggunakan potensi wanita untuk menjana pendapatan tambahan kepada keluarga tanpa perlu keluar rumah.

“Wanita di bandar juga mempunyai kemahiran dan boleh mengusahakan perniagaan dari rumah seperti menjahit dan membuat kuih,” katanya.

Program Kewangan Mikro Bandar dilancarkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Jun lalu.

Permohonan menjadi Sahabat AIM bandar dibuka kepada mereka yang pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 dan mempunyai aset tidak melebihi RM50,000 serta tinggal di sesuatu kawasan kediaman melebihi dua tahun. Setakat ini, 85 orang menjadi Sahabat AIM.

Pada peringkat awal, AIM berkempen di rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur kerana sudah pasti di situ ada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kunci kejayaan Sahabat AIM sejak 21 tahun lalu adalah disiplin mengendalikan projek dan membayar balik pinjaman.

Sehubungan itu, katanya disiplin sama diterapkan kepada peserta di bandar dengan membentuk kumpulan lima orang, menjalani latihan asas pembiayaan selama lima hari (sejam sehari) dan menubuhkan pusat.

Katanya, mereka juga perlu menghadiri mesyuarat pusat setiap minggu dan kumpulan ini penting kerana mereka saling membantu serta mewujudkan rangkaian yang lebih besar.