BETAPA politik penuh dengan prasangka dan ketidaktentuan, harus terserlah pada hari-hari terakhir menjelang pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti, Mac depan.
Kepada Perdana Menteri, tempoh 12 hari sejak mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno, 26 September lalu, yang memutuskan untuk menganjakkan tarikh Perhimpunan Agung Umno, Disember ini, ke Mac depan, dengan pengumuman yang dinanti-nantikan daripadanya sendiri pada Rabu lalu, harus amat singkat.
Ia berkisar kepada baki ikhtiar pembaharuan yang hendak dilaksanakannya dan tentunya memerlukan sedikit masa untuk perancangan dilakukan sebagai ‘buah tangan’ terakhirnya.
Namun, kepada sesetengah yang lain pula, kelengahan Abdullah untuk mengumumkan pendirian sebenarnya dalam tempoh 12 hari itu, dirasakan mereka teramat panjang hingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan kebimbangan.
Perdana Menteri memilih tarikh 8 Oktober itu dalam menyatakan pendirian muktamadnya, sama ada akan mempertahankan jawatannya atau tidak, sebagai menghormati tarikh bermula mesyuarat bahagian Umno keesokannya.
Menjelang pengumuman itu, bermulalah penawaran diri daripada kalangan pemimpin pelapis Umno terhadap pelbagai jawatan, dengan tumpuan utama kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden, dengan jangkaan Abdullah akan berundur dan Datuk Seri Najib Razak akan mengisi kekosongan itu.
Didahului oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu disusuli pula oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang seterusnya dikejutkan pula oleh penampilan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, bagi perlumbaan sama.
Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mengumumkan kesediaan masing-masing untuk jawatan itu kemudian - pada ketika spekulasi meniupkan cerita rekaan yang sama sekali berbeza.
Kononnya semua itu adalah rekaan Abdullah sendiri dalam menampilkan seramai mungkin calon untuk menimbulkan perebutan yang bakal memporak-perandakan Umno jika dibenarkan berlaku.
Maka, tersebar dengan meluas juga SMS kononnya, ia adalah helah terbaru Abdullah untuk terus berkuasa sambil pengumumannya pada Rabu lalu itu dijangka untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno - menidakkan sama sekali apa juga pelan peralihan kuasa, baik yang terbaru pada Mac 2009 atau yang asal pada Jun 2010.
“Jika Pak Lah benar-benar sudah memutuskan untuk berundur, beliau harus sudah mengumumkannya seiring dengan keputusan MT menangguhkan perhimpunan agung ke Mac depan, pada 26 Oktober lalu,” demikian antara persoalan yang dibangkitkan.
“Tempoh 12 hari itu tidak lain untuk beliau mengakses dan menilai sokongan untuknya jika memutuskan untuk mempertahankan jawatan Presiden dan kemungkinan untuk beliau dipilih semula, tanpa mengira siapa pun yang jadi pencabar.”
Sesetengah blog turut tidak ketinggalan membuat ramalan bahawa Perdana Menteri tidak akan memilih untuk berundur, dengan satu daripadanya mendakwa dimaklumkan sumber-sumber sahih kononnya beliau membuat keputusan itu selepas perbincangan dengan penyokongnya yang membawa ke dinihari.
Memang benar Abdullah ada menemui sekumpulan penyokong di kediamannya pada malam sebelum pendiriannya diumumkan. Benar juga mereka hanya beredar dari Seri Perdana menjelang subuh.
Petang Rabu lalu, bagaimanapun, menangkis sebarang tanggapan sedemikian apabila Perdana Menteri memilih sidang media selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk mengumumkan tidak mempertahankan jawatan.
Pun begitu, ada pula cerita lain yang terkeluar. Kononnya Abdullah berbuat demikian bukan pun atas kerelaannya sendiri melainkan atas keterpaksaan semata-mata.
Sekonyong-konyong juga Perdana Menteri teramat kecewa kerana dipermainkan tangan-tangan tersembunyi - mahupun yang nyata - di kalangan mereka yang berkata lain di depannya dan berlawanan pula di belakangnya, hingga mendorongnya mengambil keputusan itu.
Mereka yang mengenali rapat keperibadian Abdullah akan menyetujui bahawa beliau bukan jenis yang suka memburukkan orang lain. Kalaupun benar demikian, ia akan dipendam di dalam hatinya daripada menjadi hebahan.
Dalam pada itu, segala-galanya ada di depan mata untuk pengamatan ramai. Masing-masing boleh membuat kesimpulan di sebalik kata-kata Abdullah, Rabu lalu, yang tidak pun tersirat sebarang kiasan atau bayangan.
Perdana Menteri tidak pun berselindung dalam menyatakan kemerosotan prestasi BN pimpinannya pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu, sehingga kehilangan tambahan empat negeri, selain gagal mengekalkan majoriti dua pertiga buat julung kali, adalah antara sebab beliau membuat keputusan berundur lebih awal.
“Kepentingan negara dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatan saya selama 45 tahun sebagai penjawat awam dan wakil rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.
“Saya tidak mahu melihat Umno dan BN berpecah-belah. Umno dan BN perlu bersatu bagi menangani cabaran global supaya kita berjaya menjadi negara maju dan menjamin kesejahteraan serta adil untuk semua. Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada Mac 2009,” katanya.
Semalam pula, beliau mengulangi: “Keputusan itu tidak mengganggu saya. Satu keputusan sudah dilakukan dan saya menimbangkannya dengan amat teliti. Saya berasa selesa mengenainya dan itulah sebabnya saya ceria.”
Apapun, adalah tidak adil sama-sekali untuk menghakimi Abdullah sudah gagal dalam tempohnya selaku Perdana Menteri kelima, apatah lagi ketelusan dan keterbukaan yang diterapkannya bakal menjadi antara warisan.
Malah, kepemimpinannya masih jauh daripada berakhir. Tempoh lima bulan berikut masih memungkinkan banyak perubahan seperti tiga keutamaan yang digariskan Perdana Menteri sendiri dalam menggerakkan pembaharuan.
Jika pada 12 bulan terakhirnya dulu Tun Dr Mahathir Mohamad bekerja dan berbicara seolah-olah mahu menidakkan persaraan, apakah bersalahan untuk Abdullah memanfaatkan sedikit masa yang berbaki untuk melakukan yang sama?
Lagipun, Abdullah - di sebalik segala kelemahan dan kekurangannya - selama ini sudah terserlah sebagai pengikut yang setia untuk disudahi sebagai pemimpin yang berhati besar.
Tidak pernah beliau menggunakan kedudukannya untuk mempermainkan sesiapa atau memutarbelitkan kata-katanya di sebalik sesekali dirinya sendiri tidak terhindar daripada diperkotak-katikkan.
Kesudahannya nanti sejarahlah yang akan mengukur segala sumbangannya daripada didorong prasangka semata-mata.
Mengapa harus beliau berbeza? Sebabnya beliau adalah Abdullah Ahmad Badawi.