Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Oktober 2008

Kerajaan kini lebih terbuka untuk dikritik


Ada pihak mengatakan bahawa berikutan pembaharuan yang Datuk Seri laksanakan dalam pentadbiran, wujud lebih banyak kebebasan. Malah, ada pihak mengatakan sikap terbuka Datuk Seri inilah yang menjadi punca kejatuhan Datuk Seri. Apakah Datuk Seri menyesali perkara ini?

ABDULLAH: Setiap manusia ada pendapat masing-masing, tapi biarlah kita bersikap realistik tentang perkara ini. Pada era ini, di mana manusia mempunyai akses kepada maklumat melalui begitu banyak sumber, logik bagi perkembangan ini ialah seseorang itu wajar mengamalkan sikap terbuka. Jangan kongkong akhbar. Jika ada akhbar tertentu membuat penapisan yang terlalu ketat terhadap subjek tertentu, orang masih boleh mendapatkan maklumat berkenaan melalui sumber lain. Jadi, akhbar akan berasa bimbang mereka dituduh tidak menyatakan perkara sebenar. Itulah bentuk keterbukaan yang perlu kita akui dan terima ( zaman ini).

Kini, telah muncul satu generasi baru yang berpendidikan tinggi, muda dan lebih bermaklumat. Orang tidak lagi bodoh atau kurang maklumat, oleh itu BN perlu berkebolehan untuk memberi penerangan mengenai dasarnya dengan lebih berkesan. Perkara paling penting ialah mengakui wujudnya perkembangan ini. Sebelum ini pun, saya memang berpendapat bahawa kita perlu beri lebih banyak ruang dan kebebasan kepada perjalanan demokrasi.

Masalah yang dihadapi sebelum ini ialah kami (kerajaan) tidak mampu memberi penjelasan secara lebih berkesan tentang dasar kami dalam usaha menangani keadaan yang wujud. Keadaan ini adalah sesuatu yang baru bagi kami, termasuk saya sendiri, kerana setelah kami memberi kebebasan terhadap sikap terbuka, kami perlu mampu menanganinya dan rakyat pula telah memberi reaksi yang cukup mengghairahkan terhadap kebebasan ini, hinggakan mereka berpendapat, kebebasan bererti mereka boleh berkata apa saja seperti yang berlaku dalam blog.

Saya tak kata semua orang menyalah gunakannya, tapi saya rasa peratusan yang terdorong menyalah gunakannya, cukup besar untuk menimbulkan kebimbangan dan masalah.

Kesimpulannya, kita masih memerlukan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi?

ABDULLAH: Ya, kita memang perlukan semua Akta yang ada itu.

Sebagai alat mengawal dan menegur?

ABDULLAH: Ya, bagi mengawal dan menegur. Tapi, dalam melaksanakan akta ini, kami perlu bersikap bijak. Ia bukanlah undang-undang yang patut disalahgunakan. Kami tak boleh menyalahgunakan undang-undang yang ada. Ia sebenarnya bertujuan mencegah berlakunya perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Bagaimanapun, saya tetap berpendapat bahawa kebebasan sepenuhnya memang tidak boleh diterima. Kita tak boleh biarkan orang menyebarkan perkara bohong dan memfitnah dengan sesuka hati, seperti yang kadangkala dilakukan oleh media alternatif. Saya cuba minta mereka menilai persekitaran yang ada, secara objektif. Saya rasa, sekarang, kerajaan lebih terbuka untuk dikritik, berbanding sebelum ini.

Kita akan ada badan seperti Pemudah, di mana orang boleh mengkritik jentera kerajaan secara langsung dan berterus terang kepada pegawai kanan kerajaan, dan kritikan ini akan diambil tindakan. Saya percaya, sekiranya rakyat menilai perkara ini secara objektif, mereka akan nampak wujudnya ruang yang begitu luas untuk melahirkan pendapat yang membina.

Adakah Datuk Seri bermaksud untuk menyatakan, kerajaan perlu tahu cara menangani keterbukaan dan kebebasan ini, yang sebenarnya merupakan fenomena global?

ABDULLAH: Daripada satu segi, memanglah ini satu fenomena global. Ini kerana kita boleh mendapat lebih banyak maklumat daripada pelbagai sumber, manakala orang pula belajar berkomunikasi antara satu dengan lain melalui pelbagai cara seperti SMS, YouTube atau Facebook, bukan lagi melalui cara sebelum ini. Teknologi baru dalam bidang komunikasi memberi kebebasan kepada kita untuk menyebarkan maklumat dan kebebasan untuk menerimanya.

Adakah Datuk Seri yakin banyak hasil yang boleh dicapai dalam tempoh lima bulan akan datang? Apakah perancangan Datuk Seri? Adakah terdapat perkara lain dalam minda Datuk Seri, yang ingin Datuk Seri laksanakan sebagai asas bagi generasi akan datang?

ABDULLAH: Saya kena terus beri fokus terhadap apa yang ingin saya capai. Setakat ini, kami laksanakan beberapa langkah dan kami menghadapi beberapa masalah untuk memastikan ia berjalan lancar. Bukannya tak buat apa-apa.

Saya masih ada kuasa eksekutif sampailah hari saya membuat keputusan menyerahkan tanggungjawab kepada pengganti saya. Apa yang ingin saya laksanakan adalah baik dan penting bagi negara. Oleh itu, saya yakin mereka yang cuba menghalang kejayaannya, bererti mereka bertindak bertentangan dengan kepentingan negara dan rakyat. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya ingin pastikan pembaharuan berjaya dilaksanakan dan jika saya perlu bawa masuk orang lain untuk membantu saya, saya akan berbuat begitu.

Kerana sebab-sebab tertentu, banyak orang tidak tertarik terhadap langkah melakukan pembaharuan terhadap sesuatu institusi. Tetapi, saya percaya perkara ini amat penting bagi Malaysia, terutama, jika kita ingin menjadi sebuah negara yang matang dan maju. Sejak sekian lama, persepsi terhadap institusi kita telah terhakis. Tidak kiralah sama ada persepsi ini betul atau salah, ia merupakan persepsi negatif dan jika perkara ini tidak diatasi, akhirnya, ia akan menjadi suatu realiti.

Apabila orang sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi, maka negara tidak dapat berfungsi dengan baik. Rakyat perlu mempunyai keyakinan terhadap badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan. Apa yang saya cuba lakukan ialah melaksanakan perubahan ini secara rasmi. Dalam bidang ekonomi, saya sering menyatakan bahawa pertumbuhan dan kemakmuran kita perlu dikongsi dengan lebih sama rata, di pelbagai peringkat — antara komuniti, antara golongan kaya dan miskin, antara wilayah. Jaring keselamatan sosial perlu diperluaskan dan ditambah baik bagi membela golongan yang kurang bernasib baik.

Inisiatif pembangunan koridor amat penting kerana ia memberi ruang untuk mengagihkan peluang yang berkualiti secara sama rata di seluruh negara, dan tidak hanya bertumpu di pusat bandar. Saya tahu, orang sering bertanya, “mana hasilnya?”. Tapi, kita kena sedar bahawa ia adalah pelan jangka panjang, yang akan mengambil masa yang panjang untuk dilaksanakan sepenuhnya. Bagaimanapun, saya harap kami akan mencapai hasil yang ketara dalam tempoh enam bulan lagi.

Datuk Seri yakin akan mendapat sokongan Kabinet terhadap beberapa pembaharuan itu?

ABDULLAH: Orang ada pelbagai pendapat, perbezaan pendapat pun akan ada, tapi Insya-Allah, saya yakin akan mendapat sokongan yang diharapkan itu. Kalau tidak, saya kena cari orang yang boleh memberi sokongan terhadap perubahan yang saya cadangkan ini.

Datuk Seri yakin akan mendapat sokongan pembangkang?

ABDULLAH: Kenapa tidak? Terpulanglah kepada mereka. Kalau mereka nak main politik, mereka tidak akan menyokongnya. Mereka boleh anggap perkara ini sebagai sesuatu yang menguntungkan mereka kerana sekiranya kerajaan tidak dapat melaksanakan cadangan ini, maka ia akan menjadi modal bagi mereka menempelak kerajaan bahawa kami tidak lakukan ini dan itu. Ia akan dijadikan isu dalam kempen politik mereka, tapi saya tidak fikir ia akan menguntungkan rakyat. Kalau itulah pendekatan yang akan mereka ambil, maka saya akan berasa sedih. Mereka menafikan peluang rakyat untuk mendapat apa yang mereka mahu. Tapi pembangkang memang ingin melakukan sesuatu mengikut cara mereka dan kami pula ada cara kami. Namun demikian, kami sedia mendengar apa yang ingin mereka katakan.

Cadangan ini baik untuk rakyat. Kedua-dua pihak perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mendapat segala-galanya, tapi kami perlu sampai kepada titik persetujuan untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan. Saya tak fikir pembangkang akan menghalangnya hanya kerana politik. Kalau mereka buat begitu, mereka tidak berlaku adil kepada rakyat. Saya harap akan wujud ruang persetujuan yang secukupnya. Sekurang-kurangnya kami telah melakukan sesuatu. Undang-undang bukanlah sesuatu yang kaku, kita boleh memindanya. Marilah kita berjuang untuk rakyat. Seruan ini juga ditujukan kepada mereka yang ada dalam kerajaan pimpinan saya. Kalau mereka tidak menolong saya melakukan perkara ini atau menentangnya, saya kena cari orang lain.

Maksudnya, kurangkan politiking dan banyak bekerja?

ABDULLAH: Ya, tepat sekali.

Ada pemerhati berpendapat BN tetap akan mengalami masalah pada pilihan raya, biar siapa pun yang memimpin?

ABDULLAH: Saya tak tahu. Saya tak mahu kata apa-apa, saya tak pernah berfikir tentang perkara itu. Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah tidak bercakap tentang apa yang telah berlaku atau siapa lebih layak menjadi ketua, tapi kami telah mengambil iktibar daripada pengalaman pilihan raya umum lepas. Apa yang perlu dilakukan pada pilihan raya umum akan datang ialah berusaha dengan lebih gigih. Apa yang jelas ialah kami perlu amati apa yang rakyat mahu dan melaksanakan untuk mereka.

Apakah yang perlu dilakukan oleh BN bagi mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat?

ABDULLAH: Formula kami telah membuahkan hasil sejak 50 tahun lepas, pertama sebagai Perikatan dan kemudian, BN. Bagi saya, ia satu model yang baik kerana ia memberi tempat kepada setiap orang. Pembangkang juga telah membentuk satu Perikatan, tapi pada pendapat saya, ia sukar berjaya kerana ideologi mereka begitu berbeza. Tapi, seperti benda lain, formula yang ada pada kami ini perlu dikaji dari semasa ke semasa.

Dalam sesebuah keluarga besar, kerumitan pasti wujud. Sesetengah orang berkata UMNO terlalu dominan. Sesetengah pihak dalam UMNO berpendapat pihak lain menuntut terlalu banyak perkara. Apa yang pasti, kami perlu lebih jelas. Kami perlu berbincang bagaimana untuk menjadikan kerjasama atau gabungan ini lebih berkesan. Sebab itulah saya ingin mengadakan Konvensyen BN awal tahun depan. Mungkin ia tidak akan memberi semua jawapan, tapi ia akan meletakkan kami di landasan yang betul.

Datuk Seri menyebut keadaan hubungan antara kaum dan agama yang semakin merosot. Malah, Datuk Seri sendiri dilihat menangguhkan dialog antara agama. Apa yang tidak kena?

ABDULLAH: Saya bukannya melangkah ke belakang berhubung dialog antara agama. Apa yang saya katakan ialah perbincangan sensitif ini perlu dikendalikan dengan cukup berhati-hati, mungkin diadakan secara tertutup kerana ia merupakan subjek yang penuh emosi dan mudah meledak. Setiap kali ia dibangkitkan, ada orang yang berasa terancam. Mereka merasakan hak dan sensitiviti mereka dipijak-pijak.

Pada pendapat Datuk Seri, apakah cabaran paling besar yang akan dihadapi pengganti Datuk Seri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak kelak?

ABDULLAH: Saya rasa ia adalah perpaduan nasional. Keadaan hubungan antara kaum dan agama yang ada sekarang, tidak begitu baik. Saya berpendapat, kami telah mencapai banyak kejayaan selama ini, tapi kami perlu kembali kepada asas dan menyedari bahawa Malaysia menjadi kuat hasil daripada gabungan pelbagai bangsa dan komuniti yang ada di negara ini.

Kepelbagaian kaum dan agama yang wujud di negara ini merupakan suatu rahmat, bukan petaka. Aset yang ada pada kita tidak sepatutnya ditukar menjadi sesuatu yang negatif. Kita perlu tangani isu ini secara berterus terang, jujur dan penuh kefahaman. Selepas lebih 50 tahun Merdeka, isu ini akan terus kekal bersama kita.

Apabila sesuatu generasi sudah memahaminya, akan muncul pula generasi baru yang perlu dididik dan diberitahu tentang bagaimana mereka patut hidup bersama, tanpa bersengketa. Jadi, mereka akan tahu tentang hubungan kaum dan toleransi beragama. Ia ibarat kehidupan dalam sebuah keluarga.

Apabila lahirnya generasi baru, pada peringkat tertentu, mereka perlu diberitahu tentang keluarga ini, siapa kita, apa yang ingin kita lihat, bagaimana mereka patut mainkan peranan dan tingkah laku yang patut mereka amalkan. Ini amat penting. Jadi, apabila muncul generasi baru, mereka perlu dididik. Isu ini akan terus kekal bersama kita untuk tempoh yang cukup panjang. Inilah cabaran paling besar yang akan dihadapi oleh Najib. Secara luaran, saya rasa ekonomi kita akan terus menghadapi cabaran besar. Ia merupakan kebalikan daripada 1998 kerana daripada segi asasnya, kita masih kuat. Kali ini, masalah bermula di wilayah yang dikenali sebagai pasaran maju. Namun demikian, masalah mereka itu, lambat laun akan memberi kesan kepada kita. Ekonomi kita cukup terbuka. Jumlah dagangan mencapai kadar dua kali ganda KDNK. Saya berpendapat bahawa kami telah berjaya mengurus ekonomi dengan berhemat dan ini meletakkan kami pada kedudukan yang baik.

Bagaimana pula selepas Mac nanti? Apakah perkara utama yang ingin Datuk Seri lakukan sebaik saja bersara?

ABDULLAH: Pada masa ini, saya lebih memberi tumpuan untuk membereskan apa yang perlu saya buat berhubung pembaharuan institusi dan inisiatif ekonomi. Selepas itu, saya ada lebih banyak masa untuk cucu-cucu saya, bermain golf dan memancing.

Bagaimanakah Datuk Seri ingin dikenang orang?

ABDULLAH: Saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan perkara itu. Bagi saya, saya amat bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada tanah air saya sejak sekian lama.