Lebih sebulan sudah berlalu, kita kian terlupa Hari Kemerdekaan. Pada ketika tarikh 31 Ogos itu semakin dilupai, elok saya ceritakan tentang seorang rakan saya, Mogammat Toffar. Mogammat tinggal di Cape Town, Afrika Selatan.
Saya kenalinya ketika membuat liputan di negara tersebut pada pertengahan Mei lalu. Usia Mogammat kini 46 tahun, tetapi suatu ketika dahulu, Mogammat tidak dapat membayangkan dari manakah asal-usulnya.
Mogammat dilahir dan besarkan bersama 60,000 orang penduduk District Six. Itulah kawasan petempatan masyarakat kulit berwarna, yang disebut sebagai Melayu Cape. Melayu ini pula bukanlah Melayu seperti yang kita fahami di negara ini. Tetapi Melayu Cape bermaksud kaum pendatang dari Malaysia, Indonesia, India, Madagascar dan Arab.
Setelah itu, mereka yang berbeza latar belakang, warna kulit dan asal keturunan ini berkahwin, lalu membentuk sebuah komuniti baru bersilangan darah. Yang menyatukan mereka adalah satu perkara - Islam. Maka, Mogammat beridentitikan Melayu, Islam dan warga Afrika Selatan jati.
Bagaimana pun, apabila usianya meningkat, Mogammat tertanya-tanya, kalau dirinya tidak berkulit hitam seperti pribumi negara tersebut, maka dari mana asal-usul keturunannya yang Melayu itu?
Ibu bapanya bertutur bahasa Inggeris dan Afrikaans, tetapi datuknya seringkali bercakap dengannya menggunakan satu bahasa yang dia tidak fahami.
Menurut bapanya, Toffar Gassan, nenek moyangnya berasal dari Makasar. Makasar letaknya di Pulau Sulawesi, Indonesia. Ibunya, Aminah Hartley, pula menceritakan, nenek moyangnya berasal dari Melaka, letaknya di Malaysia.
Mereka adalah cucu-cicit kepada hamba abdi masyarakat kulit putih yang datang menjajah Afrika Selatan sejak zaman berzaman, sampailah perhambaan dihapuskan oleh Inggeris pada 1834.
Di kalangan masyarakat Melayu, khususnya di District Six, Mogammat sering mendengar cerita yang sama, iaitu keturunan asal mereka adalah dari Indonesia, Malaysia, India, Madagascar dan benua Arab. Mereka adalah Melayu.
Tetapi Mogammat tidak dapat membayangkan bagaimanakah yang dikatakan rupa masyarakat Melayu yang sebenar, yang hidup di Malaysia dan kepulauan Nusantara. Bagaimanakah adat budaya mereka?
Mogammat hidup pada zaman Apartheid sedang berleluasa sejak diperkenalkan pada 1948. Pada zaman Apartheid itu, Mogammat merasakan dirinya seperti pendatang haram. Hina. Masyarakat kulit berwarna sepertinya ditindas, walaupun tidak sekejam penindasan terhadap masyarakat kulit hitam.
Disebabkan kulitnya berwarna sawo matang, dia hanya mula dimasukkan ke sekolah Tadika ketika berusia tujuh tahun dengan kemudahan pelajaran yang sederhana, sedangkan anak penduduk kulit putih, bermula pada usia empat tahun. Kemudahan pelajaran serta guru mereka yang terbaik.
Paling buruk
Kanak-kanak kulit hitam lebih teruk. Mereka hanya dibenarkan ke - Tadika ketika berusia 10 tahun, dengan kemudahan pelajar dan guru yang paling buruk.
Mogammat aktif dalam sukan. Dia adalah pelari pecut Cape Town. Tetapi disebabkan kulitnya sawo matang, tempatnya diambil oleh anak warga kulit putih, biarpun dia dan kawan-kawannya yang berkulit hitam, menewaskan anak kulit putih itu semasa ujian pecut.
Kemudian, Mogamat tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University of Cape Town, walaupun layak. Tempatnya diambil oleh anak warga kulit putih.
Disebabkan berkulit sawo matang juga, adik Mogamat, namanya Abu Bakar, dibiarkan tanpa rawatan secukupnya apabila diserang trauma yang kritikal selepas menyaksikan suatu kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian.
Ketika itu Abu Bakar berusia empat tahun. Trauma itu menyebabkan Abu Bakar tidak boleh bertutur kerana terlalu panik, sampailah sekarang, walaupun asalnya dia seorang yang petah bercakap.
Apa yang menyakitkan hati Mogamat, selepas Apartheid runtuh pada 1994, seorang doktor memberitahu, adiknya itu pasti takkan menjadi bisu jika diberikan rawatan secukupnya sejurus selepas kemalangan.
Kezaliman Apartheid tidak perlu diceritakan lagi. Mogammat telah menyaksikan segala penindasan itu, termasuk keluarganya dan masyarakat Melayu District Six, Simonstown dan sebagainya dihalau dari kediaman mereka.
Apabila Apartheid runtuh dan demokrasi bermula di Afrika Selatan pada 1994 dengan Nelson Mandela menjadi pemimpinnya, Mogammat makin mengerti hakikat kebebasan dan kemerdekaan yang sebenarnya.
Pada 1993, sebuah rombongan dari Malaysia datang ke Cape Town untuk mencari masyarakat Melayu di Afrika Selatan. Rombongan itu terdiri daripada cendekiawan, budayawan, ahli politik serta wartawan. Kedatangan rombongan itu menggembirakan seluruh masyarakat Melayu di negara tersebut.
Ketika itu, mereka dapat merasakan diri mereka benar-benar Melayu. Mereka dapat melihat sendiri orang Melayu yang mereka cari-cari selama ini. Mereka juga dapat merasakan persaudaraan serta kasih sayang antara dua komuniti yang dipisahkan oleh laut dan benua itu.
Begitulah juga dengan Mogammat, yang ketika itu menjadi wartawan akhbar Argus.