Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Oktober 2008

Perginya pejuang demokrasi Singapura


SEBUT saja apa yang tidak pernah beliau hadapi sebagai seorang pejuang politik. Beliau pernah di saman, dipenjara dan diisytihar muflis.

Bagi kebanyakan kita, melalui salah satu pengalaman yang disebutkan tadi sudah cukup untuk membuat kita berasa pasrah bagi meneruskan kehidupan apatah lagi untuk berhadapan dengan kesemua episod hitam tersebut.

Namun itulah kehebatan seorang yang bernama J.B Jeyaretnam, pejuang politik legenda Singapura.

Terlalu banyak kepayahan dan penderitaan yang terpaksa beliau tempuhi semata-mata untuk memperjuangkan prinsip demokrasi yang beliau pegang dan percaya selama ini di bumi Singapura yang sememangnya terkenal dengan dasar politik sempitnya.

Terlalu banyak impian dan perubahan yang ingin dibawa dan diperjuangkan oleh beliau demi rakyat Singapura malah Jeyaretnam sanggup mengorbankan segala harta, kerjaya malah dirinya sendiri dengan sanggup disumbat ke dalam penjara semata-mata bagi memperjuangkan kewujudan negara yang benar-benar memperjuangkan demokrasi tulen.

Bagaimanapun semua ini kini tinggal kenangan. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 30 September lepas pada usia 82 tahun.

Kematian Jeyaretnam mengejutkan ramai penyokong beliau di bumi Temasik malah turut mendapat perhatian global terutama rakan-rakan dan anggota media yang bersimpati dan menyokong perjuangan beliau selama ini.

Sesungguhnya ketabahan dan semangat lelaki yang dilahirkan dengan nama Joshua Benjamin Jeyaretnam atau lebih dikenali sebagai JBJ ini memang sangat dikagumi dan dihormati oleh kawan dan lawan.

JBJ dikagumi dengan perjuangannya untuk mewujudkan kebebasan dan demokrasi yang lebih terbuka dan tiada suara yang lebih lantang mengkritik dan menegur parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) selain beliau.

Malah tiada apa yang dapat menutup mulut lantangnya dari terus bersuara dan mengeluarkan pendapat. Ini kerana jika kebanyakan ahli politik mudah gelap mata dan terpesona dengan sebarang habuan kemewahan termasuklah wang ringgit namun bagi JBJ, beliau lebih sanggup diisytiharkan muflis dari menggadaikan prinsip dan perjuangannya.

Sepanjang 37 tahun dalam politik, JBJ menghabiskan berjuta-juta dolar Singapura dan seluruh keringat bagi memperjuang dan membetulkan kebobrokan di negara yang terkenal dengan kisah legenda ikan todak yang mengamuk membunuh penduduknya.

JBJ dilahirkan pada 5 Januari 1926 di Sri Lanka ketika keluarganya, berketurunan Jaffna sedang bercuti di sana.

Bapanya bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya Johor dan mempunyai seorang abang dan dua orang kakak yang menetap di Malaysia namun kesemuanya telah meninggal dunia.

Beliau bersekolah di sekolah Saint Andrew Singapura sebelum melanjutkan pelajaran di University College in London dalam jurusan undang-undang dan berjaya memperoleh ijazah dalam undang-undang pada 1951.

Berkahwin

Di sana beliau bertemu isterinya, warga Britain, Margaret Cynthia Walker dan berkahwin pada 1957. Mereka dikurniakan dengan dua anak lelaki Kenneth, pakar ekonomi dan Philip seorang peguam dan juga penulis terkenal.

Selepas menamatkan pengajian dengan cemerlang, JBJ kembali ke tanah airnya dan mula berkhidmat dalam bidang kehakiman.

Pada awal kerjayanya, JBJ sangat cemerlang dalam bidang undang-undang dan pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Rendah satu jawatan yang sangat berpengaruh dan berkedudukan tinggi.

Namun beliau meletak jawatan pada 1963 ketika berusia 37 tahun akibat terlalu kecewa dengan keadaan politik dan badan kehakiman ketika itu terutama dengan pembabitan kuasa politik dalam pelantikan hakim.

Beliau sangat berpendirian jelas bahawa badan kehakiman perlu bebas dari pengaruh politik supaya demokrasi dapat dilaksanakan dengan lebih subur.

Namun beliau tetap meneruskan kariernya sebagai peguam dan pada masa yang sama bergiat aktif dalam politik melalui Parti Pekerja.

Alasan utama kenapa beliau ghairah ingin berjuang dalam politik ialah kerana beliau pernah menjadi penyokong PAP pada ketika parti itu menjadi pembangkang pada sekitar 1950 an.

JBJ begitu mengagumi bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew yang ketika itu dilihat sebagai pemimpin liberal yang berjuang ke arah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara, mempertahankan hak golongan pekerja dan menentang keras sebarang penahanan tanpa perbicaraan.

Bagaimanapun JBJ masih berkhidmat dalam bidang kehakiman ketika itu yang menjadi penghalang untuk beliau bergiat cergas dalam politik namun beliau menghormati pandangan Kuan Yew yang dilihat berkongsi visi dan matlamat yang sama dengannya.

Namun keadaan berubah sama sekali apabila PAP memenangi pilihan raya pada 1959 dan JBJ sangat tidak berpuas hati dengan keadaan ini.

Ini juga menjadi antara alasan kenapa beliau meninggalkan bidang kehakiman kerana berpendirian bahawa badan kehakiman perlu bebas dari campur tangan politik.

Tambah menyulitkan keadaan sebagai sebahagian dari perancangan untuk menyertai Malaysia pada 1963, PAP bertindak menahan lebih 100 anggota pembangkang dalam satu operasi yang dinamakan “Operation Coldstore” yang kebanyakan mereka yang ditahan terdiri daripada bekas anggota PAP yang bertindak keluar dari parti itu dan menubuhkan parti Barisan Sosialis.

Langkah penahanan ini mengakibatkan aktiviti pembangkang lumpuh sama sekali, keadaan yang sangat tidak boleh diterima oleh JBJ.

Beliau mula bergerak aktif dalam politik setelah dilantik sebagai pemimpin untuk Parti Pekerja pada 1971 yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri David Marshall pada pertengahan 1950 an.

JBJ turut bertanding dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun itu namun tewas disebabkan keadaan ketika itu tidak menyebelahi pembangkang kerana kekangan dan kawalan yang dikenakan oleh PAP. Namun beliau masih terus bertanding dalam setiap pilihan raya.

Semangat tidak menyerah kalah beliau ini akhirnya berbaloi apabila memenangi pilihan raya kecil pada 1981 menerusi kerusi Parlimen Anson dengan mengalahkan calon PAP, Pang Kim Him dengan majoriti 51.9 peratus.

Kemenangan ini mencatat sejarah kerana inilah kali pertama dalam sejarah politik Singapura pembangkang berjaya memenangi satu kerusi dalam pilihan raya sejak keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Kehidupan beliau berubah setelah kemenangan ini dan mula menjadi perhatian umum terutama setelah perdebatan hangat dengan Perdana Menteri di Parlimen yang disiarkan secara langsung di televisyen.

JBJ dipilih semula sebagai ahli Parlimen di kawasan sama pada 1984 dengan majoriti lebih baik iaitu sebanyak 56.8 peratus.

Namun dua bulan kemudian bermulalah episod hitam dalam karier politik beliau apabila didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat perisytiharan palsu mengenai akaun partinya.

JBJ dipaksa menyerahkan kedudukan sebagai ahli Parlimen pada 1986 setelah didapati bersalah dan dipenjarakan selama sebulan dan didenda sebanyak 5,000 dolar Singapura.

Komplot ini dikatakan telah dilakukan dengan sengaja oleh PAP bagi menidakkan keupayaan dan pencalonan semula beliau dalam pilihan raya akan datang kerana hukuman yang dihadapinya telah cukup untuk menafikan haknya untuk bertanding selama lima tahun.

Keputusan mahkamah ini bagaimanapun tidak melemahkan semangat beliau untuk berkempen membantu calon-calon pembangkang lain dalam pilihan raya 1988 namun ia juga menjadi jalan pembuka kepada lebih banyak lagi kes saman membabitkan beliau.

Kehangatan

Namun dalam kehangatan kempen pilihan raya tersebut, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan telah melakukan siasatan bagaimana Menteri Pembangunan Kebangsaan, Teh Cheang Wan memperoleh ubat yang dikatakan menjadi punca kes bunuh diri beliau yang pada ketika itu berhadapan dengan siasatan tuduhan rasuah.

JBJ turut mempersoalkan sama ada Kuan Yew telah membalas balik surat yang ditulis oleh Cheang Wan yang ditujukan kepada beliau.

Selepas pilihan raya berakhir, Kuan Yew mendakwa JBJ dengan menyatakan bahawa beliau menuduh Perdana Menteri terbabit dalam jenayah dengan terlibat dalam kes bunuh diri Cheang Wan atas tujuan menutup kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Hakim Lai Kew Chai yang mendengar kes itu mendapati JBJ bersalah dan mengarahkan beliau membayar gantirugi kepada Kuan Yew sebanyak S$260,000 (RM617,788).

JBJ turut dikenakan tindakan sama pada tahun 1995 dan 1997 dan terpaksa membayar beratus ribu dolar Singapura sebagai denda. Bagi beliau tindakan parti pemerintah ini dilakukan semata-mata bagi memastikan peluang beliau untuk bertanding dalam pilihan raya disekat serta melumpuhkan kesuburan demokrasi di negara ini.

Namun beliau akhirnya diisytiharkan bankrap pada 2001 setelah terlewat hanya sehari untuk membayar bayaran denda atas saman fitnah yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini.

Ini mengakibatkan beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pemimpin Parti Pekerja pada Oktober tahun yang sama.

Namun ini tidak mematahkan semangat beliau malah JBJ bertindak menjual buku nukilannya seperti Make it Right for Singapore dan The Hachet Man of Singapore di kaki lima serta memberi ceramah untuk meneruskan usaha memberi kesedaran kepada rakyat Singapura tentang pentingnya amalan demokrasi yang lebih adil dan telus.

Akhirnya beliau membebaskan diri dari pengisytiharan bankrap pada Mei 2007 setelah berjaya membayar denda tertunggak berjumlah S$233,255.78 (RM554,076.74).

JBJ turut menyatakan beliau telah membayar sebanyak S$600,000 (RM1,425,385) dalam semua kes saman yang dihadapinya tidak termasuk kos perbicaraan dan peguam.

Semangat juang beliau sememangnya tidak pernah luntur malah hingga hari-hari terakhir hayatnya beliau masih sibuk dengan penubuhan parti baru bagi membolehkannya terus menyuburkan demokrasi di negara itu.

Penubuhan

Pada 18 Jun 2008, Parti Pembaharuan telah diluluskan penubuhannya oleh pendaftar syarikat dan beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama parti itu.

Namun kematian beliau sedikit sebanyak menjejaskan usaha pembangkang untuk meneruskan usaha penyuburan demokrasi di negara itu.

Malah boleh dikatakan kumpulan prodemokrasi Singapura kini ketandusan pemimpin berwibawa dalam perjuangan menentang parti pemerintah berikutan kematian tokoh pembangkang, JBJ.

Ini kerana tidak ada ahli politik lain yang dilihat memiliki kewibawaan dan karisma seperti beliau.

Beliau merupakan antara segelintir pemimpin pembangkang yang berani bersuara menentang PAP dan sanggup menghadapi hukuman penjara dan disaman fitnah kerana keberaniannya itu.

Malah jika beliau masih hidup, JBJ merupakan orang yang berpotensi memainkan peranan menyatukan seluruh kem pembangkang bagi menentang pemerintahan PAP walaupun sistem politik Singapura begitu banyak memihak kepada kerajaan.

Bagaimanapun keupayaan dan kecekalan beliau dalam mengharungi sepak terajang politik di negara yang sememangnya tidak memberi ruang kepada pembangkang sepertinya pastinya akan dikenang dan disanjungi.

Seperti mana kata-kata mengejutkan oleh Perdana Menteri Lee Hsein Loong pada sambutan hari kemerdekaan tahun lepas kerana menyangka rakan seperjuangan Jeyaretnam dalam Parti Pekerja dulu iaitu Francis Seow dan Tang Liang Hong akan terus bertahan dan berjuang namun mereka melarikan diri dari berhadapan dengan pelbagai kesukaran yang dihadapi, tetapi JBJ tetap bertahan dan terus menetap di negara itu.

“Beliau merupakan contoh terbaik seorang warga negara sejati Singapura kerana di sebalik semua perbezaaan pendapat beliau masih tetap bertahan dan tidak pernah meninggalkan negara ini,” kata Hsein Loong.