Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Oktober 2008

Siapa yang sebenarnya gila?



SEKARANG ini dah bertambah jenis orang atau manusia gila. Iaitu gila politik, gila pangkat, gila bintang, gila ke England, gila ke universiti, gila bintang filem, gila mengarang, gila kahwin, gila makan gaji, gila berniaga dan macam-macam gila lagi.”

Begitulah petikan dari novel Siapa Gila? karya Allahyarham Cikgu Shaharom Hussein yang dihasilkannya pada tahun 1967. Siapa Gila? merupakan novel beliau yang ke-15 dan yang terakhir. Shaharom yang dikenal sebagai novelis, dramatis, ahli sejarah dan penulis rencana meninggal dunia minggu lalu pada usia 89 tahun (1919 - 2008). Beliau akan diingat kerana sumbangannya yang bukan kecil pada perjuangan kebangsaan dan dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan.

Novel setebal 239 halaman ini sebenarnya tidak banyak mendapat perhatian pengkaji dan pengkritik. Tetapi ia merupakan sebuah karya satira yang sama tarafnya dengan novel Anak Mat Lela Gila karya Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) atau Anak Titiwangsa karya Kamaluddin Muhammad (Keris Mas). Novel ini sarat dengan sindiran bagi menyedarkan anak bangsanya.


Seperti juga sasterawan zaman istana Melayu yang menyindir secara halus, menggunakan kiasan dan bidalan serta gubahan cerita untuk menegur dan menyindir, tradisi ini dilanjutkan oleh banyak pengarang Melayu sebelum dan selepas merdeka. Shaharom dan kawan-kawannya menggunakan unsur wit dan humour untuk menyampaikan mesej mereka. Kadang-kala kias ibarat dan sindiran lebih berkesan sebagai alat mengajar dan memberi ingat dalam masyarakat Melayu.

Novel ini berlatar belakangkan bandar Johor Bahru pada tahun-tahun 60-an. Tetapi bandar itu hanya lokasi sebuah persekitaran yang sebenarnya mencerminkan puluhan bandar-bandar lain di negara ini. Walaupun pembangunan belum sehebat pada tahun-tahun 80-an dan 90-an di negara ini, tetapi bandar-bandar ini mulai membesar dengan pertambahan jumlah penduduk dan kesesakan yang merimaskan.

Apa yang lebih ketara ialah kesan pembangunan ke atas bandar-bandar ini yang mulai menghilangkan karektor dan wajahnya. Bandar itu berkembang dengan cara yang menakutkan dan bagaikan tanpa kawalan. Menurut novel itu, “Segala bukit ku ratakan. Tanah lopak, paya, gaung guntung dan lurah diratakan. Tebing, lereng dan kaki bukit dikerukratakan.”

Ingat, cerita kemusnahan alam sekitar dan perihal bukit digondolkan yang menjadi agenda pembangunan rakus tahun-tahun 80-an dan 90-an belum lagi muncul. Shaharom sudah menulis mengenainya pada tahun 60-an lagi! Kesedaran terhadap alam sekitar belumpun menjadi agenda besar waktu itu. Mengapakah semua ini berlaku? Novel itu mempunyai jawapannya: “Itu semua kerenah manusia moden pandai mengubah, meminda, memadan dan mematutkan untuk mendirikan rumah dan bangunan-bangunan baru, walaupun terpaksa meminda kejadian semula jadi yang dianugerahi oleh Tuhan Seru Sekian Alam.”

Tidak cukup dengan itu, ada korban lain pada pembangunan Johor Bahru pada masa itu - orang Melayu sendiri. Akibat pembangunan yang tidak berhemah, malang menimpa orang Melayu. Mereka tersingkir dari bandar. Harta orang Melayu terjual kepada kaum lain. Mereka hanya memerhatikan sahaja pembangunan pesat di hadapan mata sedangkan mereka semakin jauh terpinggir dari arus perubahan.

Shaharom menggunakan ungkapan ‘meminda kejadian semula jadi’ bagi memperlihatkan sikap rakus manusia. Apa yang lebih penting kegilaan manusia moden bukan hanya setakat meminda kejadian alam semula jadi, tetapi mengubah hukum hakam peraturan dan kerukunan masyarakat. Tetapi sasaran paling besar Shaharom ialah pada manusia yang gila kuasa, selain mereka yang haloba.

Ambil sahaja perbandingan yang digunakan oleh Shaharom mengenai manusia yang memijak satu sama lain untuk mencapai kejayaan. Beliau menggunakan bunga orked dan anggerik sebagai perlambangan. Di sebalik kecantikannya, bunga-bunga ini harus bergantung hidup pada benda lain dan subur di atas junjung. ‘Falsafah orked’ cukup merosakkan. Falsafah yang diterapkan dalam dunia politik sebenarnya. Di sebalik kehebatan, gah dan kemasyhuran, banyak yang terpaksa hidup dengan memijak kepala orang lain. Novel ini menyarankan ‘Falsafah Ubi’ yang ‘diam-diam berisi, hidup kurus subur, rendah tinggi atau mundur maju berdiri di atas dirinya sendiri.’

Persoalan yang dibawakan oleh novel ini sebenarnya masih relevan hingga ke hari ini. Shaharom sebenarnya melihat ke dalam prisma ramalan masa depan bagaimana nasib orang Melayu di kota, bagaimana pembangunan yang memakan korban orang Melayu dan bagaimana orang Melayu tersingkir daripada arus pembangunan dan pembangunan. Shaharom memberikan amaran melalui novel ini nasib malang yang akan menimpa bangsa dan negaranya sekiranya mereka tersilap langkah. Ternyata dalam lima dekad kebelakangan ini, kita membuat terlalu banyak kesilapan bagi mewajarkan ketepatan ramalan Shaharom.

Shaharom nasionalis tulen yang menggunakan karya sastera secara berkesan untuk menyedarkan anak bangsanya, selain menaikkan semangat dan meningkatkan jati diri. Beliau menulis pelbagai genre sastera untuk tujuan itu. Sejak seawal tahun 40-an lagi beliau sudah menggunakan novel sebagai alat mengingat dan menasihat. Novel beliau yang pertama, 10 Julai 1511 (terbit 1947) meriwayatkan melapetaka yang menimpa Kerajaan Melayu Melaka. Banyak daripada novel-novel beliau menggunakan sejarah sebagai latar belakangnya. Terlalu banyak pengajaran daripada kisah Keris Laksamana Bentan, Bendahara Tepok, Seri Nara dan macam-macam lagi. Tiap satunya menyelitkan amanat tentang nasib yang akan menimpa bangsa Melayu sekiranya pemimpin Melayu gila kuasa dan lupa daratan.

Salah sebuah drama beliau yang paling dikenal, malah dianggap senama dengan beliau ialah Si Bongkok Tanjung Puteri. Banyak orang melihat Si Bongkok tidak lebih pemberontak, malah penderhaka. Tetapi Shaharom membangunkan semula tokoh dengan dengan penuh waspada. Si Bongkok bukan lanun dan penderhaka sembarangan. Si Bongkok merupakan penentang atau rebel yang mempunyai matlamat. Matlamatnya ialah untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Shaharom sudah bereksperimen dengan bidang drama untuk tujuan ini sejak sekian lama. Malah beliau dianggap ‘Bapa Sendiwara’ atau orang yang bertanggungjawab mempopularkan genre drama transisi di antara Bangsawan dengan drama moden. Seawal tahun 30-an lagi beliau telah mementaskan drama Pembelot di Kampung Peserai, Batu Pahat. Walaupun pentas yang digunakan pentas bangsawan dan banyak pelakonnya pelakon bangsawan, tetapi beliau memulakan tradisi drama baru yang dikenal sebagai Sendiwara.

Seperti juga Siapa Gila? Pembelot mengingatkan kita tentang bahaya anak bangsa yang bersedia menjual diri, bangsa, agama dan negaranya demi kepentingan diri. Dalam suasana politik semasa, elok sangat kita mengingat semula amaran Shaharom.