Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Disember 2008

Apabila manusia terlalu rakus


SETAKAT ini tragedi tanah runtuh yang menumbangkan sebuah blok Highland Towers di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, 15 tahun lepas mencatat rekod paling ramai terkorban. Tragedi 11 Disember 1993 meragut 48 nyawa. Apakah kita bergerak ke arah bersedia melihat satu lagi tragedi tanah runtuh yang mangsa korbannya boleh memadam rekod pilu itu?

Berdasarkan percambahan pembangunan di kawasan cerun dan tanah tinggi yang kelihatan berisiko terutama di Lembah Kelang, kita seolah-olah bersedia untuk itu. Kita kelihatan sangat sukar belajar daripada musibah terbabit seolah-olah kita melihat kes Highland Towers yang mengerhanakan banyak kehidupan sebagai kes terpencil sahaja.

Lantas, satu demi satu projek yang secara fizikal lokasinya kelihatan berisiko dimajukan. Sudah tentu perkembangan itu menggambarkan kadar permintaan orang ramai kepada hartanah sedemikian rupa.

Benar, pemaju hartanah tiada masalah untuk memasarkan projek yang mereka bangunkan di kawasan tanah tinggi manakala pengguna pula boleh bersandar kepada situasi 'itulah trend' terutama di kawasan yang nilai tanahnya meningkat tinggi yang sering meningkat bersama tahap kepesatan pembangunan sesebuah kawasan seperti sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di negara kita.

Tumpuan dan permintaan kepada pembangunan di kawasan tanah tinggi tiada salahnya, jika ia tidak berisiko. Namun, amatlah sukar diterima akal jika kita, selaku pengguna, bergelut untuk mendabik dada megah jika dapat memiliki hartanah di lokasi sedemikian sedangkan pada masa yang sama satu demi satu kes yang menceritakan tidak semua pembangunan hartanah di tanah tinggi berakhir dengan cerita indah.

Baik untuk rumah kediaman mahupun projek kemudahan asas yang lain seperti jalan raya, sudah banyak bukit menunjukkan pembanguan serupa itu di negara kita yang terdedah kepada hujan tropika, sentiasa berdepan dengan risiko tanah runtuh.

Rekod menunjukkan kira-kira 20 kes tanah runtuh yang memberi impak besar berlaku di negara ini sejak tragedi Highland Towers. Jika diagihkan kejadian mengikut bulan, lima kes berlaku pada bulan Disember, dua kes pada akhir November, masing-masing tiga kes pada bulan Januari, Februari dan Mei. Dua kes dalam Oktober dan satu kes pada Jun dan Ogos.

Pecahan kes-kes itu sedikit sebanyak mencerminkan kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku ketika negara kita menerima kadar hujan yang banyak seperti sekarang ini.

Dan, setiap kali selepas kejadian tanah runtuh, setiap kali itu jugalah kajian dilakukan, seolah-olah kita tidak pernah belajar langsung daripada kes-kes terdahulu. Dan, bagi kes-kes tanah runtuh di Malaysia, rasanya kajian pakar dan agensi-agensi yang terbabit rasanya sudah lebih daripada mencukupi -- kesemuanya mengarah kepada pandangan bahawa pembangunan di lereng-lereng bukit yang berisiko wajar dielakkan. Dan, secara realitinya pembangunan di sekitar Bukit Antarabangsa, jika kita belajar daripada petunjuk alam di kawasan itu, sama sekali tidak wajar diteruskan lagi. Apatah lagi ia tergolong dalam kawasan tadahan air.

Sebenarnya, selepas kes Highland Towers, kita sudahpun mempunyai peraturan yang cukup jelas berhubung pembangunan di kawasan sedemikian. Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002/2005 antara lain secara jelas melarang pembangunan projek di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dengan berkecerunan lebih 35 darjah. Menurut laporan, terdapat projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor dikenalpasti melanggari peraturan berkenaan.

Sungguhpun mereka yang membuat kajian-kajian terbabit mengharapkan anjakan dilakukan dengan mengambil kira hasil penemuan dan saranan-saranan tertentu, manusia yang rakus dalam keadaan tertentu sentiasa mencari rasional untuk 'melangkaui' penemuan/saranan berkenaan.

Lantas, lihatlah masih terdapat pembangunan hartanah di kawasan yang tiada jauh bezanya daripada kawasan yang telahpun memberi petunjuk-petunjuk yang sebenarnya alam menolak pembangunan sedemikian. Namun, manusia sentiasa menang dan dalam semua kes, alam sentiasa mengalah, memberi laluan kepada keinginan manusia yang tidak mahu menerima realiti hukum alam.

Kalaupun, pihak-pihak yang berkepentingan mampu memberi rasional sehingga pembangunan di kawasan berisiko dapat dimajukan seperti dirancang, mereka biasanya gagal memberi jaminan sedemikian secara berterusan kepada pihak berkuasan dan dalam kes hartanah, kepada pembeli dan pemilik hartanah terbabit.

Secara jelas, banyak kajian bagi kes-kes tanah runtuh di kawasan yang telah dimajukan antara lain menunjukkan pihak-pihak yang berkepentingan dengan projek-projek terbabit gagal mengawal selia secara berkesan. Akibatnya, bahana alam menanti!

Pematuhan kepada keperluan Jabatan Alam Sekitar dan peraturan-peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebenarnya bukanlah bermakna sesuatu projek itu dapat dilaksanakan tampah wujud kemungkinan risiko kemudian. Perkara yang sering dilupakan ialah apa akan terjadi selepas projek itu siap. Apa yang patut dilakukan dan siapa yang patut melakukan sentiasa menjadi perdebatan bagaikan cerita 'bangau oh bangau'. Dalam kes-kes lebih teruk, saling tuding jari antara pihak-pihak yang berkepentingan semacam satu trend.

Sekadar untuk renungan, satu kajian yang dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Cerun tahun ini menunjukkan kestabilan cerun dan lereng bukit tidak disenggara dengan baik dan bagi kes di sekitar Ampang/Hulu Kelang, kajian itu mendapati kelemahan penyenggaraan sistem perparitan di kawasan cerun dan lereng termasuk kerja-kerja pembaikannya amatlah kritikal.

Berdasarkan hasil kajian itu, amatlah relevan kalau kita lihat kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi acapkali memperkatakan secara serius peri pentingnya rakyat Malaysia membudayakan segmen penyenggaraan. Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan, kita sebenarnya telahpun berada pada landasan yang betul termasuklah dalam pembangunan infrastrutur. Tetapi, soal penyenggaraan masih terbelakang. Kita mempunyai prasarana kelas pertama tetapi elemen penyenggaraan masih di kelas tiga.

Justeru sudah sampai masanya, penekanan diberikan kepada soal penyenggaraan kepada infrastruktur yang kita ada, yang kita miliki. PBT perlu memberi keutamaan pengurusan dan inventori cerun-cerun di kawasan yang ia luluskan projek pembangunan supaya pemantauan profil kecerunan dapat dibuat secara berkesan. Ia tiada kompromi lagi.

Dalam konteks penyenggaraan bangunan seperti pangsapuri, perlu diberi penekanan kepada soal mengurus dan mengawal selia serta menyenggara. Yang pasti, dalam apa juga projek pembangunan hartanah, tumpuan penguatkuasaan bukan setakat isu-isu sebelum pembinaan dan semasa pembinaan tetapi yang juga penting ialah penguatkuasaan dan pemantauan selepas sesuatu projek itu siap.

Adalah amat malang negara kita yang tidak terletak dalam rangkaian berisiko bencana alam seperti gempa bumi, terdedah pula kepada risiko-risiko ciptaan kita sendiri seperti tanah runtuh, yang sebenarnya dapat kita elak.