Apabila menatap cerita rahsia Wook Kundur yang berusia 106 tahun menjaga suami mudanya Mohd. Noor Musa, 37 tahun yang seusia dengan umur cicitnya, rasa terkesan di hati penulis dengan perasaan kagum terhadap karismanya yang boleh dianggap sebagai wanita hebat!
Apakah kehebatan Wook? Banyak! Kehebatan Wook ini jarang terdapat dalam diri wanita lain. Antaranya rahsia panjang umur Wook yang berusia 106 tahun itu sendiri cukup mengagumkan, pernah memiliki berbelas-belas suami dan mampu mengahwini lelaki yang enam hingga tujuh kali ganda lebih muda daripada usianya!
Ia cukup hebat kerana lelaki muda yang kelihatan tampan dan cukup sifat itu terpikat kepada Wook dan sanggup mengahwini wanita berusia 106 tahun berbanding wanita-wanita muda yang cantik, bergetah dan bergaya di luar sana.
Jika kita renung kembali dengan fikiran yang rasional dan bukan emosional, cerita Wook bersuami muda dan mampu menjaga suami lebih muda ini adalah satu tanda simbolik kepada pasangan suami isteri masa kini yang berkahwin suka sama suka, muda sama muda seperti pinang di belah dua tetapi penuh dengan kisah duka lara dan banyak menghadapi permasalahan hidup berkeluarga.
Bila kita menatap pelbagai cerita dan masalah rumah tangga yang tersiar di akhbar dan majalah serta pelbagai media elektronik lain, kita akan terkesan dengan masalah rumah tangga hari ini. Suami isteri bercerai-berai hanya dengan pelbagai masalah semasa, hubungan suami isteri yang menjadi pudar kerana isteri atau suami tidak pandai melayan pasangan, hubungan sulit, masalah kewangan dan sebagainya.
Kalau kita bandingkan pasangan suami isteri masa kini yang kebanyakannya berpendidikan, ada sumber kewangan kukuh, sama cantik sama padan dan pelbagai kemudahan hidup tetapi menghadapi masalah dalam perkahwinan.
Kita bandingkan pula dengan pasangan Wook dan suaminya yang jika dilihat secara fizikalnya jauh berkurangan dengan pasangan suami isteri masa kini yang moden dan serba-serbi cukup, tetapi di mana silap kita?
Wook mampu bercakap mengenai rahsia menjaga suami seperti memasak, membasuh dan membuat kerja rumah lain. Kita jangan lupa, semuanya dibuatnya sendiri di usia 106 tahun dan bagaimana dengan wanita yang bersuami dan berada di usia 26 atau 36 tahun dan sebagainya? Wook masih mampu bercakap mengenai layanan suami di tempat tidur dan sebagainya dan berkata beliau tidak akan berkahwin jika tidak mampu melaksanakan tugas sebagai isteri. Ini satu perkara yang hebat dan perlu dirujuk pakai oleh semua isteri?
Apakah sebenarnya rahsia kewanitaan Wook yang begitu hebat dan masih memiliki aura dan aroma hebat sebagai seorang wanita sedangkan wanita yang berpuluh tahun lebih muda daripada Wook pun ada yang tidak mampu menjaga suami dengan baik (seperti mana tersiar dalam cerita masalah rumah tangga).
Ada isteri-isteri moden dan berkerjaya masa kini yang tidak mahir dalam tugas sebagai isteri seperti memasak, mengemas, melayan suami, menyapu, menggosok pakaian dan pelbagai tugas lain yang menjadikan para isteri sering diserang 'migrain' kerana kepenatan dengan tugas di rumah, di pejabat, dalam masyarakat dan sebagainya.
Membaca cerita Wook memberikan semangat dan motivasi kepada ramai kaum wanita bahawa wanita mampu menjadi hebat sebagai isteri dan ibu jika ia berfikiran positif terhadap dirinya.
Rahsia wanita adalah terletak kepada keperibadian wanita itu sendiri yang perlu pandai menjaga penampilan diri dan mesti sentiasa kelihatan anggun di mata suami. Selain itu, wanita perlu mampu menghargai diri sendiri dengan mempunyai strategi dalam membangunkan diri agar disayangi dan dihormati oleh orang lain.
Sesungguhnya cerita Wook ini memberi sumber inspirasi yang hebat kepada kaum wanita di Malaysia keseluruhan. Tahniah Wook!