Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Disember 2008

Hotel tidak peka kepentingan sijil halal


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata daripada 2,360 buah hotel yang ada di Malaysia, hanya 18 yang mendapat sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), 31 buah sedang dalam proses mendapatkan kelulusan, sementara terdapat 4 permohonan baru, 64 dalam proses melengkapkan borang dan tiga telah tamat tempoh dan sedang memperbaharui. Bagaimanapun, ini tidak termasuk hotel yang mendapat sijil halal daripada majlis dan jabatan agama Islam negeri.

Situasi yang sedang berlaku ini sebenarnya amat membimbangkan dan mengecewakan khususnya kepada umat Islam di negara kita. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kita sepatutnya tidak berhadapan dengan situasi sedemikian. Keadaan ini menggambarkan kita secara kolektifnya kurang peka dan sensitif dengan isu yang berkaitan halal atau haram dalam penyediaan makanan.

Antara faktor menyebabkan banyak hotel tidak memohon sijil halal itu adalah kerana mereka enggan melakukan pengubahsuaian bagi memisahkan antara dapur makanan halal dengan yang haram. Alasan yang diberikan amatlah mengecewakan dan sangat lemah.

Bukankah kebanyakan pihak pengurusan hotel mendapat keuntungan daripada perkhidmatan sewaan bilik hotel yang disediakan? Nilainya mungkin mencecah ratusan ribu bahkan mungkin juga jutaan ringgit setahun.

Tidak bolehkah wang keuntungan yang diperolehi itu dilaburkan sedikit untuk membuat pengubahsuaian dapur bagi memastikan jaminan makanan halal disediakan kepada pengunjung? Pihak pengurusan hotel tidak boleh hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sosial mereka kepada umat Islam di negara ini.

Selain itu, antara sebab lain pihak hotel tidak memohon kelulusan sijil halal adalah kerana merasakan perkara itu tidak perlu dan tidak penting kepada perniagaan mereka.

Mengecewakan

Sikap yang ditunjukkan ini juga adalah sesuatu yang amat mengecewakan kerana pihak pengurusan hotel lebih mementingkan status tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam di Malaysia. Kenapa Hotel JW Marriot Putrajaya yang berstatus lima bintang boleh mendapatkan pengesahan sijil halal?

Bukankah pihak JW Marriot juga perlu menjaga status mereka dan memastikan mereka diterima di peringkat antarabangsa? Pepatah Melayu ada berkata, 'Hendak seribu cara, tak hendak seribu dalih'.

Pokok kepada segala persoalan yang ditimbulkan ini apabila Dr. Mashitah mendedahkan bahawa pihak-pihak berwajib tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap hotel-hotel terbabit kerana tidak ada sebarang akta atau undang-undang khusus yang mewajibkan pihak hotel untuk mendapatkan sijil halal.

Dengan pendedahan ini, pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu mengambil langkah drastik dan segera bagi menggubal satu undang-undang khas berhubung isu ini. Adakah pihak JPM masih mahu menunggu dan membiarkan perkara ini berlarutan?

Tanggungjawab untuk memastikan makanan yang disediakan di hotel-hotel agar terjamin halalnya adalah menjadi tanggungjawab semua baik di pihak kerajaan mahupun pengusaha-pengusaha hotel.

Ini bagi membolehkan orang ramai membuat keputusan sama ada masih mahu memilih untuk makan di hotel yang tidak memiliki sijil halal atau sebaliknya.

Kenyataan Dr. Mashitah juga amat mengecewakan kerana ujarnya, jika masyarakat mendapati makanan di mana- mana hotel tidak halal, maka jangan makan di sana. Kenyataan seperti ini menunjukkan sikap kurang peka pemimpin yang memegang portfolio agama Islam. Sebaliknya, JPM perlu menyahut seruan ini dengan mengambil sesuatu langkah drastik dalam menangani isu ini dan bukan membiarkan begitu sahaja.