Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 Disember 2008

Kempen membaca perlu sokongan media


CADANGAN Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon bagi menggerakkan kempen membaca di kawasan luar bandar dari pintu ke pintu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan bagi sesetengah pihak. Keyakinan Boon Soon yang diutarakan pada 11 Disember 2008 hanya dapat dinilai keberkesanannya sepanjang tahun depan.

Realitinya, tanggungjawab ini akan dipikul oleh kakitangan perpustakaan melibatkan 1,089 buah perpustakaan desa di seluruh negara. Sebagaimana dinyatakan oleh Boon Soon, petugas akan pergi dari rumah ke rumah menawarkan buku-buku perpustakaan untuk dipinjamkan.

Ia kelihatan idealistik dan mencabar, sekalipun dapat diusahakan secara kolektif, idea ini dianggap satu pendekatan gerila bagi menyemai semangat membaca di peringkat luar bandar. Idea ini pasti membawa kepada penambahan dari segi kos operasi bagi merealisasikannya.

Dari satu sudut, meningkatkan keupayaan perpustakaan bergerak perlu menjadi salah satu keutamaan bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat luar bandar. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dapat membantu memperkasa fungsi perpustakaan desa dengan mengenalpasti jumlah sebenar perpustakaan bergerak yang diperlukan pada ketika ini.

Usaha menggalakkan masyarakat menggunakan perpustakaan desa sangat berkait rapat dengan peranan media menyampaikan mesej ini secara bersungguh-sungguh. Keperluan ini perlu didukung oleh televisyen bagi menyediakan wahana yang bersesuaian untuk mencipta persekitaran ini.

Pendekatan

Sehingga ke hari ini tidak ada satu pendekatan bersungguh-sungguh daripada kerajaan menjadikan televisyen sebagai bahan gerakan kempen membaca yang berkesan. Rancangan Resensi di rangkaian RTM masih kekal dengan format lima minit siaran pada awal pagi digandingkan bersama rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Pada Disember 2005, Datuk Zainuddin Maidin selaku Timbalan Menteri Penerangan ketika majlis Pelancaran Siaran Citra DBP berkata, "Kita mengharapkan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyebarkan tiga fungsi terasnya kepada masyarakat iaitu bahasa, sastera dan penerbitan diperluaskan dengan memaparkan bahan berguna di televisyen. Pihak kami melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan memberikan ruang kepada DBP untuk menyiarkan segmen resensi buku yang akan ke udara selama lima minit di kaca televisyen".

Komitmen selepas tiga tahun perlu dipertingkatkan dari segi waktu siaran, jumlah slot yang diperuntukan dan pendekatan baru dalam memaparkan buku sebagai satu elemen kehidupan.

Hakikatnya, menjelang 2009 Resensi RTM masih kekal dengan format lima minit dan dalam waktu yang begitu terhad ia mengharapkan impak yang besar, apatah lagi mahu mendukung aspirasi yang dibawa sepanjang kempen membaca.

Para penerbit dan penulis tempatan memerlukan lebih ruang bagi memperkenalkan karya mereka secara meluas. Kerjasama Kementerian Penerangan dan KEKWA secara bersama diperlukan bagi menjadikan kempen ini sebagai satu kempen yang diangkat secara serius. Komitmen penerbit dan penulis tempatan jelas mahu mendukung usaha ini jika kementerian bersedia memberi ruang dan peluang untuk melaksana serta menilai idea yang disarankan.

Semasa persidangan Dewan Negara 21 Disember 2004, Datuk Yaakob Mohammed menyifatkan apa yang dilaksanakan RTM dalam apa jua bentuk paparan berkaitan pengetahuan, ikon dan seumpamanya sebagai, "…amat membosankan sambil lewa dan tidak memberi sebarang kesan".

Kritikan empat tahun lalu jelas memerlukan penambahbaikan bukan sahaja kepada pengenalan konsep baru kepada rancangan berkaitan dunia buku malah apa jua yang seumpamanya. Pastinya kumpulan penerbitan Resensi RTM sendiri mahukan ruang yang lebih luas bagi membawa rancangan ini ke satu tahap yang membanggakan. Idea mereka perlu diberi ruang untuk berkembang.

Diyakini

Budaya Oprah di negara ini iaitu menjadikan buku sebagai elemen penting dalam siaran media perdana masih belum tercapai. Meskipun terdapat karya-karya yang baik dapat diangkat menjadi bahan media yang bernilai komersial, perkara ini masih tidak diyakini pengendali televisyen tempatan. Buku menjadi agenda selingan bagi sesetengah program berdasarkan keperluan pada waktu-waktu tertentu.

Di beberapa buah perpustakaan sudah ada inisiatif menghasilkan bicara semasa menggandingkan penulis buku, pengulas dan pengamal dalam topik yang disentuh. usaha proaktif yang digerakkan oleh Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah mencantumkan kesemua elemen ini dalam satu program bicara yang diadakan pada pertengahan Disember ini.

Pendekatan ini memerlukan bukan sekadar hebahan, tetapi sentuhan visual untuk dijadikan sebagai satu program televisyen yang dapat dimanfaatkan para penonton. Televisyen masih berfungsi mencetus rasa ingin tahu dan menggerakkan manusia menggali sedalam-dalamnya bagi memenuhi rasa itu. Melalui buku, rasa ingin tahu itu dapat dipenuhi.

Perpustakaan desa di seluruh negara tidak dapat berdiri sendiri dalam usaha menggerakkan kempen membaca sekiranya hidangan dalam media tidak merangsang minda penonton untuk menggilai buku. Kesedaran masyarakat luar bandar sangat dipengaruhi melalui apa yang ditonton di kaca televisyen setiap hari. Jika kempen membaca dari pintu ke pintu tidak disinergi dengan peranan efektif media kerajaan secara agresif, perpustakaan desa kekal dalam situasi yang dihadapi hari ini.