Berdegup kuat jantung rakyat Malaysia apabila mendapat tahu konglomerat Sime Darby berhasrat mengambilalih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN). Walaupun ada jaminan bahawa IJN akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial sebagaimana sekarang, banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan dan pemimpin politik, membantah dan skeptikal. Reaksi orang ramai lebih ketara misalnya melalui bancian Utusan Online yang mendapati 90.3 peratus membantah, 5.8 peratus menyokong dan 3.9 peratus tidak kisah.
Mujurlah kerajaan melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, kelmarin menangguhkan cadangan penswastaan IJN sehingga satu kajian mendalam selesai dilakukan. Langkah tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan orang ramai.
Awang percaya kerajaan akan mengambil langkah dan semangat yang betul dalam kajian yang dilakukan itu nanti. Telah terbukti, akhirnya dalam apa sahaja keadaan, kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain dan itulah tradisi Barisan Nasional (BN) berbanding kebanyakan kerajaan negara lain. Kerajaan kita juga sentiasa prihatin dan responsif kepada pandangan serta keluhan rakyat.
Dalam isu ini, Awang percaya tiada keperluan mendesak untuk menswastakan IJN dalam tahun-tahun terdekat ini. Lagipun untuk apa IJN diswastakan sedangkan statusnya kini banyak memanfaatkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah kerana masih mengekalkan kadar caj berpatutan dan munasabah.
Malah kerajaan sepatutnya sudah memikirkan untuk menambah satu atau dua lagi hospital pakar jantung untuk ditempatkan di luar Kuala Lumpur berdasarkan permintaan yang kian meningkat. Jika perlu nilailah semula mana-mana projek kerajaan yang kurang relevan bagi membolehkan peruntukan mencukupi bagi tujuan tersebut.
Kepada Sime Darby, adalah lebih baik dibatalkan sahaja rancangan pengambilalihan itu. Sebaliknya adalah lebih bijak untuk membangunkan sendiri sebuah pusat dan hospital jantung bertaraf lima atau enam bintang. Dengan cara tersebut, konglomerat itu boleh mencari keuntungan berdasarkan industri pelancongan kesihatan yang sedang pesat berkembang.
Realitinya, isu penswastaan hospital dan bidang kesihatan awam adalah amat sensitif dan lebih sukar berbanding penswastaan telekomunikasi, air dan elektrik. Cadangannya sahaja umpama menjolok sarang tebuan.