Oleh Md Shukri Shuib
KESAN rantaian kepada krisis ekonomi global yang dikatakan secara teorinya melanda dunia setiap 10 tahun memperlihatkan bahawa dunia perlu berbelanja besar sebagai mekanisme untuk ‘menyelamatkan’ pasaran daripada terus merudum.
Amerika Syarikat (AS) kelihatan dibelenggu dan dicengkam masalah kewangan yang mungkin menyebabkan banyak syarikat milik rakyat negara itu beralih tangan ke pihak asing. Untuk itulah, maka tindakan menyelamatkan syarikat dan institusi sama seperti dilaksanakan Malaysia pada 1997/98 turut dijadikan sebagai tindakan rangsangan ekonomi Washington bertujuan ‘menjaga kepentingan nasional’ mereka.
Dana rangsangan yang dijangka dibelanjakan Kesatuan Eropah (EU) dan AS mungkin melebihi AS$3 trilion, dan dengan belanja dana yang besar untuk memulih semula keyakinan pasaran bagi merangsang ekonomi dilihat sebagai satu keadaan terdesak, bertujuan mengalirkan sumber kewangan ke pasaran bagi mengaktifkan proses perdagangan yang dilihat membantutkan status kuasa besar ekonomi kedua-dua pasaran terbesar dunia itu.
Jika dulu negara di Pasifik dan juga negara membangun yang dilanda krisis dikatakan berpunca daripada segala elemen ketidakcekapan pengurusan negara dan menuduh kepemimpinan negara di rantau membangun ini termasuk Malaysia sebagai rasuah, nepotisme dan tidak pandai mengurus ekonomi, kini apa yang berlaku di AS dan juga pasaran EU menggambarkan kebejatan pengurusan mereka juga ‘seteruk’ negara membangun.
Sebab itulah alasan yang diadakan dan tidak bersifat benar seperti yang dituduh kepada pimpinan negara membangun termasuk Malaysia adalah jelas tidak berasas. Malaysia jelas cekap menguruskan ekonominya.
Dalam beberapa fasa krisis sejak 1980-an lagi, rekod menunjukkan Malaysia cekap dan menangani tekanan ekonomi yang tercetus bukan kerana ketidakcekapan pentadbiran negara, sebaliknya kerana aktiviti spekulasi dan putaran ‘wabak’ dalam sistem kapitalis liberal itu sendiri.
Rekod menunjukkan kecemerlangan prestasi pengurusan ekonomi negara mampu menerjah kejayaan. Buktinya jelas, iaitu pada 1985 negara yang juga berada dalam keadaan gawat dengan kadar pertumbuhan hanya pada negatif satu peratus, kemudian mampu diatasi dan pertumbuhan meningkat kepada 1.2 peratus (1986) serta terus meningkat hingga mencecah 8.7 peratus (1988).
Pengulangan krisis ekonomi yang kemudian melanda negara dan rantau Pasifik pada 1997-98, sekali lagi Malaysia mempunyai model tersendiri. Susutan pertumbuhan mencecah negatif 7.5 peratus pada 1998, Malaysia melalui model ‘Mahathiriskonomic’ yang menggabungkan elemen Mahathir dan risiko ekonomi, berjaya melonjakkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus (1999), iaitu peningkatan 13.3 peratus dari tahun sebelumnya.
Kini, dengan anggaran pertumbuhan masih pada kadar lima peratus tahun ini dan pada kadar 3.5 peratus tahun depan, negara dilihat masih kukuh dan mampu mendepani krisis yang dirasakan tidak seteruk pada 1997-98 lalu.
Krisis ekonomi yang melanda dunia jelas bukan berpunca daripada Malaysia, tetapi ia berpunca daripada keruntuhan ekonomi yang dikatakan berkapasiti besar. Malaysia perlu berbangga kerana tidak pernah dalam sejarah negara menjadi penyebab krisis ekonomi, malah Malaysia pula menjadi kapsul uji kaji dan membekalkan modul serta ‘penawar’ kepada ekonomi yang bermasalah.
Kini kebijaksanaan pimpinan Malaysia diterajui Barisan Nasional dan umat Melayu Islam yang diwakili Umno sebagai teras jelas berjaya membawa Malaysia bertaraf antarabangsa. Ini membuktikan kecekapan dan minda pengurusan umat Melayu Islam juga bukan saja setanding malah lebih cekap berbanding Barat.
Keupayaan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan juga latar belakang pengurusan Islamisasi yang utuh, jelas membawa rahmat kepada negara. Dengan kerencaman masyarakat di negara ini, kita mampu menjadi hab kewangan antarabangsa.
Keupayaan Malaysia bukan saja menjadi ‘perantara’ pelaburan ke seluruh dunia, bukan saja tertumpu ke AS dan EU semata-mata, sebaliknya mampu mencipta pasaran alternatif terutama ke pasaran di Asia Timur termasuk China dan Jepun, serta ke benua kecil India yang merangkumi Bangladesh dan Pakistan, serta pada masa sama dengan ikatan akidah, Malaysia mampu juga ke Asia Barat yang dihuni masyarakat Islam.
Malaysia dengan potensi pelbagai ini mampu ‘berkomunikasi’ sebagai ‘negara antarabangsa’ dan mengambil kesempatan untuk meneroka peluang ekonomi di sebalik kegawatan yang melanda.
Rahmat di sebalik krisis ekonomi yang berpunca berikutan bencana dalam sistem dan pengurusan ekonomi AS, membolehkan negara kita membuktikan kepada dunia bahawa apa yang berlaku sedekad lalu bukan ‘kesalahan’ pimpinan negara membangun termasuk Malaysia, sebaliknya disebabkan kebejatan sistem kapitalis diterajui Barat itu sendiri.
Dari segi perangkaan, krisis ekonomi membawa dana tambahan kepada dunia, masyarakat dunia kini melihat satu perlumbaan untuk ‘menaburkan wang’ ke pasaran setiap negara. Malaysia hanya menyediakan tambahan RM7 bilion atau hanya berjumlah AS$2 bilion. Jika dibandingkan dengan suntikan dana AS$700 bilion oleh AS dan AS$2.5 trilion, suntikan rangsangan ekonomi Malaysia jelas jauh lebih kecil daripada keperitan yang melanda pasaran Barat.
Malaysia dengan bajet tahunan negara hanya berjumlah lebih RM200 bilion adalah sebagai sebuah negara kental mengharungi gugatan pasaran antarabangsa yang tidak menentu kini. Dengan hanya defisit fiskal pada tahap 4.8 peratus, ia dilihat sebagai satu pengorbanan kerajaan bagi memastikan perancangan pembangunan negara terus dinikmati rakyat, dan tidak terhenti.
Negara akan mengalami ‘kekurangan wang’ di pasaran runcit negara jika langkah pembangkang untuk memotong dan mengurangkan pembiayaan sebanyak RM24 bilion dilaksanakan. Ini bermakna, dalam situasi itu, lebih banyak penangguhan projek akan berlaku, dan pengangguran akan bertambah kerana pasaran tidak mendapat lonjakan untuk menambah kapasiti pembangunan.
Membangunkan negara dengan dana secukupnya adalah satu jaringan berkait dengan ekonomi rakyat. Jika pembangunan rancak, lebih ramai rakyat dapat bekerja dan menambah pendapatan. Inilah fungsi pembiayaan kerajaan dalam putaran ekonomi.
Tugas kerajaan bukan sebagai ‘penyimpan’. Jika ini berlaku seolah kerajaan adalah sebuah bank, dan ini mencabuli urusan kerajaan sebagai pendukung dan dalam konteks negara ini kerajaan juga adalah aktor utama sebagai pelaksana pembangunan.
Jika dana negara dikecilkan, maka dikhuatiri peredaran wang pada peringkat akar umbi juga akan berkurangan. Langkah kerajaan menyuntik dana dalam masa gawat turut diakui dunia antarabangsa. Lihat saja apa yang terpaksa dibelanjakan negara Eropah. Bagi Perancis, dana rangsangan sebanyak AS$407.4 bilion sebagai suntikan kepada bank tempatan dan AS$50.92 bilion bagi menyelamatkan mana-mana bank yang mengalami gugatan.
Jerman pula dilihat menyediakan sejumlah AS$509.28 bilion sebagai jaminan kepada pinjaman yang dikeluarkan bank dalam pasaran dan terpaksa pula menyuntik sejumlah AS$101.85 bilion sebagai tambahan kepada modal di pasaran. Russia yang hampir dua dekad menerima sistem kapitalis membelanjakan AS$200 bilion dalam langkah memperkemaskan sistem kewangan negara bekas komunis itu.
Kini jumlah dana bagi merangsang pembangunan serta menyelamatkan industri kewangan di Barat termasuk AS, EU, Jepun dan Korea Selatan saja dianggar lebih AS$3 trilion. Jika Malaysia bertindak bertentangan, maka penguncupan dana di pasaran tempatan akan berlaku, sekali gus mempercepatkan kemusnahan kemakmuran negara, maka akan berlaku ketidakselesaan sistem sosial negara.
Dengan idea mengurangkan aliran dana awam ke pasaran semasa, ia jelas satu muslihat pembangkang untuk menimbulkan keresahan rakyat dan mudahlah bagi mereka untuk menggalakkan demonstrasi dan permusuhan dengan pemerintah seperti yang pernah dilakukan sedekad lalu.
Penulis ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia