Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Disember 2008

Perkenalkan semula pemberian susu rumusan bayi percuma



PENGGUNA perlu bijak dalam memilih produk tenusu yang baik. - Gambar hiasan


"HARGA susu rumusan bayi agak mahal lebih RM30 setin membebankan ibu bapa kerana mereka perlu menanggung kos penjagaan bayi seperti lampin, kesihatan dan makanan lain.

"Golongan terasa kesannya tidak lain ialah yang bergaji sederhana dan kecil," kesal Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman.

Menurut Yusof, harga produk susu rumusan bayi dijual di negara ini yang kebanyakan diimport dari New Zealand dan Australia akan meningkat setiap satu atau dua tahun sekali.

"Punca kerana kurang pengeluaran susu semasa ekoran fenomena cuaca global menyebabkan lembu kurang menghasilkan susu. Ini tidak logik kerana negara itu harus ada simpanan cukup untuk jangka panjang," katanya.

Katanya lagi, mungkin sudah tiba masanya negara kita mengeluarkan susu lembu cukup untuk keperluan negara termasuk untuk menghasilkan susu rumusan bayi.

"Negara kita ada ramai pakar universiti. Kajian menyeluruh dan teliti serta kerjasama jabatan kerajaan dapat merealisasikan perkara ini walaupun mungkin mengambil masa.

"Kita boleh melakukan pemindahan teknologi dan lawatan ke negara maju yang mempunyai kepakaran untuk mengetahui 'ilmunya' sebelum melaksanakan di negara ini," ujarnya.

Beliau berpendapat, penternak di negara ini hanya menumpukan penternakan lembu secara tradisional pada skala kecil semata-mata.

"Dengan tanah luas dan bumi yang subur, perkara ini tidak mustahil dapat mengurangkan pergantungan kepada import dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," yakin Yusof.

Dia juga memberi cadangan pengenalan kupon susu rumusan bayi percuma di hospital kerajaan kepada golongan miskin.

"Bukan mentaliti subsidi tetapi sikit sebanyak meringankan beban. Dulu terdapat pemberian susu rumusan bayi percuma di hospital kerajaan tetapi telah lama tidak kedengaran.

"Kita buat serampang dua mata kempen penyusuan ibu secara agresif dan bagi golongan yang layak ada opsyen sendiri," katanya.

Langkah lain yang dapat dilakukan kerajaan ialah bekerjasama dengan syarikat pengeluar untuk memperkenalkan harga susu rumusan bayi yang lebih berpatutan.