![]() |
KOLEKSI batu-batuan takungan, penutup dan punca yang ditemui semasa penggerudian minyak. |
Kosmo! Ahad: Mengapa anda pilih minyak?
MOHD. ROHANI: Saya sangat meminati subjek Geografi kerana dapat belajar tentang kejadian alam seperti pembentukan gunung-ganang dan lembangan sungai.
Selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditawarkan untuk mengikuti pengajian dalam bidang geologi di Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, walaupun cita-cita asal saya ialah ingin menjadi doktor.
Saya tidak menyesal sekalipun sekadar menjadi ‘doktor batu’ kini kerana saya turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Tugas anda sebagai saintis geologi di ExxonMobil, mencabar?
Misi utama saya ialah untuk mencari serta menentukan saiz medan minyak dan gas yang terdapat di bawah dasar lautan menggunakan pelbagai teknik serta peralatan moden.
Selain itu, sebagai penasihat teknikal Jabatan Geosains, saya perlu memberi pandangan dari aspek teknikal ke atas semua projek pembangunan minyak dan gas ExxonMobil terutamanya yang berkaitan geosains.
Ini termasuklah merit teknikal, aspek keuntungan serta hazad-hazad keselamatan bawah tanah.
Di Malaysia saya terlibat secara langsung dengan pasukan aset untuk memantau dan mengendalikan lapangan minyak yang berada di dalam konsesi ExxonMobil.
Saya pernah bertugas di ibu pejabat Exxon Exploration Company di Houston, Texas, dan membuat kajian tentang potensi lembangan minyak di benua Afrika khususnya Angola dan Nigeria serta Venezuela dan Teluk Mexico.
Di Angola dan Nigeria, lembangan minyak kebanyakannya berada di laut dalam melebihi paras 200 meter berbanding perairan luar pantai Terengganu yang puratanya 60 hingga 70 meter.

Bagaimana anda ‘mengimbas’ kehadiran minyak di perut bumi?
Kajian minyak dan gas bermula dengan membuat tinjauan seismik - proses seperti membuat imbasan sinar-x ke atas tubuh. Melalui gambaran imej struktur bawah bumi, kami dapat membuat ramalan sama ada kawasan yang dikaji ada takungan minyak, gas atau kedua-duanya sekali.
Kami juga akan melakarkan peta rupa bentuk bawah permukaan bumi dan membuat anggaran kuantiti minyak berkenaan.
Kemudian kami akan mengemukakan cadangan untuk menggerudi telaga eksplorasi khusus bagi membuktikan minyak dan gas terdapat di situ serta mengetahui kualitinya.
Jika saiz medan minyak boleh dikomersialkan, kami akan memasuki peringkat pelan pembangunan lapangan.
Jurutera petroleum, jurutera fasiliti dan jurutera projek akan merancang kaedah terbaik membangunkan medan minyak termasuk menentukan saiz platform, bilangan telaga minyak yang diperlukan, saluran paip dan aspek infrastruktur berkaitan.

Sejauh mana hebatnya teknologi cari gali dan gerudi telaga minyak sekarang?
Semasa teknik penyulingan minyak mentah mula diperkenalkan di Pensylvania, Amerika Syarikat pada tahun 1850-an, minyak mengalir dengan sendirinya dari bawah tanah di beberapa lokasi. Malah ia boleh dikutip hanya dengan menggunakan baldi di kaki bukit sama seperti kita mengambil air telaga.
Pada masa ini pencarian minyak dan gas banyak ditumpukan di bawah dasar laut. Kita sudah ada teknologi seismik empat dimensi untuk mengimbas takungan minyak bawah tanah secara lebih terperinci selain penggunaan teknologi baru Enhanced Oil Recovery yang memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan petroleum.
Dalam bidang penggerudian telaga pula, kita mampu menggerudi telaga yang dalamnya melebihi 10 kilometer.
Adakah kos menggerudi minyak boleh mencecah RM1 bilion?
Sememangnya penggunaan kaedah terkini dalam proses membangunkan lapangan minyak dan gas akan menelan kos yang tinggi berjuta-juta, malah berbilion ringgit. Di Malaysia, kos menggerudi sebuah telaga minyak biasanya mencecah puluhan juta ringgit manakala di Afrika ada yang mencecah sampai ratusan juta.
Ada pengalaman lucu dan sukar dilupakan?
Saya berkesempatan membuat kajian tentang batu serta struktur bumi di beberapa tempat di Sepanyol, New Zealand dan Australia.
Selain itu saya juga membuat kajian geologi di beberapa tempat lain seperti di Death Valley, Grand Canyon dan Taman Negara Yellow Stone di Amerika Syarikat serta sekitar Air Terjun Niagara di Kanada.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa ujian simulasi latihan keselamatan khas untuk pekerja yang mengunjungi fasiliti luar pantai yang memerlukan kami menaiki sebuah helikopter yang kemudian diterbalikkan di dalam air, serta latihan terjun ke dalam air dari paras 20 kaki.
Jika tidak bersedia boleh terketar-ketar dibuatnya (ketawa).