Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Disember 2008

Sepatutnya kita belajar daripada tragedi lampau



PERASAAN sedih dan kecewa, malah marah tercetus selepas kejadian terbaru tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang kelmarin, dengan meragut empat nyawa. Sedih kerana kejadian itu bukan saja menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit berikutan kerosakan harta benda, malah mengorbankan nyawa selain trauma berterusan khususnya di kalangan penduduk di kawasan terbabit dan umumnya mereka yang tinggal di kawasan lereng bukit di seluruh negara. Bagaimanapun, kita tetap bersyukur kerana dalam kejadian ngeri seperti itu, pelbagai bantuan diberikan termasuk penempatan sementara bagi mangsa, bekalan makanan serta kebajikan lain. Malah, kita menghargai pengorbanan mereka yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seperti polis, tentera, Rela, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pelbagai badan lain. Namun, kita tetap kecewa dan marah mengapa insiden seperti itu harus berulang kerana ia nyata berpunca daripada perbuatan manusia. Lima belas tahun lalu, 48 orang terkorban dalam tragedi Highland Towers, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Bukit Mewah dan Taman Bukit Perdana itu. Sejak itu, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri seperti arahan untuk membekukan semua projek perumahan termasuk banglo, kondominium dan pangsapuri di kawasan lereng bukit.

Pemaju juga diwajib menghantar laporan pakar perunding bertauliah mengenai aspek keselamatan projek di lokasi seperti itu. Ketika itu juga, semua kerajaan negeri diminta dan bersetuju untuk menimbang menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi. Namun, selepas tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993, apa yang terjadi? Satu demi satu bencana menimpa penduduk di kawasan lereng bukit. Semuanya membabitkan kehilangan banyak nyawa. Kajian kebolehruntuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Highland Towers dan Taman Hillview selepas tragedi 1993 itu mendapati tanah di ketiga-tiga kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk runtuh. Tanah di situ mengandungi pasir dan kelodak yang tinggi serta tanah liatnya rendah, menyebabkan berpotensi untuk runtuh jika hujan berpanjangan. Mengikut rekod, tidak sampai tiga tahun selepas kejadian, pembangunan kawasan berkenaan sebaliknya semakin rancak dan lebih banyak bangunan, kediaman dan taman perumahan dibina. Mengikut laporan 2006, sekurang-kurangnya tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikenal pasti melanggar peraturan dan membenarkan pelaksanaan projek perumahan di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dan berkecerunan lebih 35 darjah. Oleh itu, kenyataan Datuk Seri Najib Razak kelmarin yang meminta pemaju jangan lagi menekan kerajaan untuk melobi bagi mendapatkan kelulusan projek di kawasan tanah yang curam dan tinggi, sememangnya dialu-alukan. Semua pihak harus belajar daripada kesilapan, ambil iktibar dan elak menuding jari apabila sesuatu tragedi berlaku. Kotakan apa yang dikata, bukan 'hangat-hangat tahi ayam' apabila sesuatu tragedi tercetus saja.