Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 Januari 2009

Senario menghias kereta


Oleh Azrul Affandi Sobry


KERETA perlu diperiksa dengan teliti sebelum kerja mengecat dimulakan.

Pemilik bengkel mengecat kini peka perubahan trend semasa bagi penuhi cita rasa orang ramai

KERETA umpama kekasih hati, malah ada yang lebih ekstrem melabelkannya sebagai aset paling disayangi, seakan sama seperti seorang isteri. Jika isteri dibeli emas bertatah berlian bernilai ribuan ringgit, ramai juga pemilik kereta yang tidak kedekut menghabiskan jumlah yang sama untuk menghias kereta mereka supaya sentiasa kelihatan anggun meredah jalan raya.

Bercerita mengenai senario menghias kereta, bukan sekadar memasang aksesori bagi menyerlahkan penampilannya, aspek yang selalunya lebih menjadi keutamaan ialah rupa luarannya yang sudah pasti menjadi tarikan pertama bagi sesiapa saja yang pertama kali memandangnya.


Tidak guna menggunakan enjin berkuasa tinggi atau memasang set audio yang boleh memekak di jalan raya, bagai sistem joget lambak bergerak, ia tidak akan menyerlahkan sebarang tarikan jika luarannya atau lebih tepat warna catnya sudah pudar serta tiada seri.

Malah, sesebuah kereta itu akan lebih mampu membuatkan sesiapa saja berpaling berkali-kali melihatnya jika warnanya menarik, ditambah dengan penggunaan rim ranggi, sekali gus membuktikan aspek luaran adalah paling utama dalam aspek perhiasan kereta.

Justeru, sekarang ini, semakin ramai pemilik kenderaan mengambil keputusan untuk mengecat kereta mereka dengan warna lebih menonjol, meskipun cat asal masih elok semata-mata untuk tampil lebih bergaya.

KERJA menyimen adalah peringkat yang paling susah dan memakan masa lama.

Pemilihan warna cat ketika ini juga sudah menampakkan sedikit kelainan dan kebanyakan pemilik kereta sudah semakin matang memilih warna supaya ia tidak kelihatan ganjil atau memburukkan lagi rupa luarannya.

Jika satu ketika dulu, warna ekstrem seperti oren dan jingga menjadi kegemaran ditambah pula dengan corak yang ceria, kini kebanyakan pemilik kereta lebih suka memilih warna asas seperti putih dan hitam supaya kereta mereka lebih kelihatan eksklusif serta sesuai untuk bergaya ranggi.

Semua gambaran itu menunjukkan industri cat kereta bukan lagi terpaksa menyediakan perkhidmatan mengecat tetapi juga perlu pakar dan mahir dengan perubahan trend semasa supaya sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terkini mengikut cita rasa orang ramai.

Wartawan Berita Harian mengunjungi sebuah bengkel mengecat kenderaan, Bengkel Setia Kawan, yang beroperasi di Batu 12, Jalan Cheras, Kajang, bagi melihat sendiri dan mengetahui bagaimana proses mengecat dijalankan serta menceduk maklumat bagaimana pemilihan warna sesuai boleh dilakukan.

BENGKEL Setia Kawan yang terletak di Jalan Cheras, Kajang.

Pemilik bengkel itu, Azman Rasman, 48, berkata bagi memenuhi permintaan dan kemampuan pelanggan, setiap bengkel cat kebiasaannya menawarkan pelbagai jenis warna dan kualiti cat bergantung kepada apa yang pelanggan mahukan.

“Ada yang murah, ada yang mahal. Ada yang biasa dan ada yang sangat berkualiti. Teknologi kini juga semakin hebat. Dulu, warna cat biasa saja. Kini, warnanya lebih ekstrem sekali gus menjadikan prosesnya semakin sukar.

“Kualiti cat juga pelbagai. Kebiasaannya syarikat kami menggunakan cat berjenama Nippon, Autocolor, TOA dan yang paling berkualiti ialah Glasurit dari Jerman. Pemilihan jenis dan kualiti cat ini bergantung kepada pelanggan kerana semua perlu sedia maklum, lebih mahal harganya, lebih berkualiti dan jaminannya pun lama,” katanya.

Mengenai jenis cat yang boleh dipilih oleh pelanggan ialah seperti cat biasa yang kebiasaannya digunakan untuk kereta lama, van atau lori. Cat itu tidak mempunyai lapisan luar yang berperanan melindungi ketahanan catnya. Harganya pun murah iaitu sekitar RM800 hingga RM900 saja.

Namun, kelemahannya ialah cat itu seperti mudah tanggal dan jika tangan menyentuh badan kenderaan itu, warna cat akan melekat pada tangan.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan cat biasa yang diletakkan lapisan luar bagi menjaga ketahanannya, namun kos lebih tinggi iaitu antara RM1,600 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz dan proses pembaikan yang perlu dibuat.

Jenis cat yang paling popular dan selalunya digunakan bagi kereta persendirian termasuk kereta mewah ialah cat metalik sama ada dengan taburan kesan mutiara atau tidak. Harganya pula dianggarkan antara RM1,500 hingga RM3,000.

Satu lagi jenis cat yang sering menjadi pilihan penggemar gaya ‘sporty’ ialah warna tiga dimensi iaitu cat yang mempunyai gabungan beberapa jenis warna bagi menampilkan kesan lebih menarik dan eksklusif.

Kereta yang dicat dengan warna tiga dimensi akan kelihatan seakan-akan berubah warnanya setiap kali dilihat dari sudut berbeza. Cahaya juga memainkan peranan mengubah warna kereta itu. Kos untuk mengecat kereta dengan warna sebegitu ialah antara RM2,500 hingga RM3,500.

Mengenai kaedah memilih warna cat yang sesuai dengan jenis kereta, Azman berkata, sekiranya kereta jenis mini seperti Perodua Kancil, warna terang perlu digunakan untuk menampakkannya lebih besar, tetapi jika pemilik kenderaan itu mahukan imej comel, warna gelap perlu menjadi pilihan.

“Bagi kereta berbentuk petak seperti Proton Iswara, warna yang lebih sesuai ialah putih kerana ia adalah warna sesuai untuk semua keadaan. Kereta yang berbentuk bulat pula seperti Perdana dan Mercedes, warna terang atau gelap perlu menjadi pilihan. Jangan pilih warna yang kelihatan suram. Jika suka gelap, pilih saja warna hitam. Jika terang, pilih putih.

“Kereta berbentuk bulat juga sangat sesuai menggunakan warna tiga dimensi. Lebih ketara kesannya tetapi cara mengubah suai kenderaan itu mestilah ‘sporty’. Jangan pula cat tiga dimensi, tetapi digayakan secara eksklusif. Tak kena langsung,” katanya.

Proses mengecat kereta membabitkan beberapa peringkat dan ia bergantung kepada keadaan kereta yang dihantar kerana sekiranya banyak kesan kemek atau berlubang, ia memerlukan pemulihan lebih teliti terutama ketika peringkat menyimen.

Biasanya, pekerja bengkel akan cuba memastikan kenderaan yang dicat di situ akan kelihatan seperti baru tanpa sebarang kesan kemek dengan memeriksa dan memulihkan setiap bahagian dengan pelbagai teknik.

Bagi kereta yang hanya memerlukan cat di bahagian luar, prosesnya mengambil masa hanya empat hari kerana tidak ada komponen besar yang perlu ditanggalkan.

Namun, sekiranya warna asal mahu ditukar dan proses mengecat membabitkan semua bahagian termasuk rangka kereta, ia akan mengambil masa sehingga dua minggu kerana semua komponen termasuk kerusi, panel pintu. bonet dan beberapa bahagian dalam enjin perlu ditanggalkan.

“Proses paling lama ialah ketika menyimen. Lagi banyak kemek, lagi lama masa diambil. Proses pemulihan dan persediaan itu yang memakan masa. Nak cat sekejap saja. Dua atau tiga jam sudah siap. Tambahan pula kami menggunakan bilik vakum, lagi cepat kering.

“Banyak proses yang memerlukan ketelitian. Pelanggan perlu faham bahawa prosesnya sangat banyak kerana ia membabitkan enam lapisan. Selalunya, jika pelanggan beri kami peluang bekerja mengikut tempoh yang sepatutnya, hasilnya juga akan memuaskan hati,” katanya.

Bengkel sedia khidmat terbaik

BENGKEL Setia Kawan yang sudah dibuka lebih 20 tahun di Kajang boleh dilabelkan sebagai pusat sehenti kepada pemilik kenderaan yang mahukan pelbagai perkhidmatan termasuk membaiki dan mengecat kenderaan.

Lebih utama ialah pemilik kenderaan tidak perlu risau dengan keselamatan kenderaan ketika dicat kerana bengkel itu bukan saja pakar dalam servis mengecat, malah mampu memastikan sebarang prestasi kenderaan tidak terjejas sepanjang proses itu dijalankan.

Ini kerana, kebiasaannya untuk mengecat keseluruhan kenderaan termasuk di bahagian dalam, banyak komponen perlu dibuka dan ia turut membabitkan pendawaian. Justeru, kepakaran yang dimiliki bengkel terbabit boleh memastikan pelanggan menarik nafas lega dengan hasil penyudahnya kerana semua itu dikendalikan oleh mekanik di situ tanpa membabitkan pihak luar.

Pemilik bengkel, Azman Rasman berkata, bagi bengkel mengecat yang tidak menyediakan kemudahan pembaikan kenderaan, mereka selalunya mengimport pekerja dari bengkel lain dan proses itu boleh mendatangkan masalah serta memakan masa.

“Di Setia Kawan, semuanya dilakukan di sini oleh mekanik kami. Justeru, pelanggan boleh merujuk semua permasalahan mengenai kenderaan serta-merta tanpa perlu menunggu lebih lama. Sedang kereta menjalani proses mengecat, mungkin kerosakan kenderaan yang lain boleh dibaiki serta merta.

“Pelanggan perlu faham. Mengecat kereta ada ketikanya membabitkan banyak komponen lain, apatah lagi kereta yang menggunakan enjin turbo. Jika tak kena caranya, masalah lain pula akan berlaku pada enjin. Di sini, semua itu dijamin tidak berlaku kerana kami menyediakan kepakaran dalam semua hal itu.

“Kami juga biasanya menepati tempoh dijanjikan, malah ada ketikanya lebih cepat. Jika ia dijanjikan siap dalam masa dua minggu, tepat dua minggu ia akan siap. Lainlah kalau ada masalah teknikal seperti ketiadaan elektrik atau air. Itu pun jarang berlaku,” katanya.

Bengkel itu mempunyai dua pakar yang bertugas sepenuh masa mengecat kenderaan dengan dibantu lima lagi pekerja separa mahir. Setiap kepakaran itu mampu menyiapkan sebuah kereta seminggu jika mahu dicat sepenuhnya.

Malah, kebanyakan cat yang digunakan di bengkel itu berkualiti tinggi dan boleh bertahan sehingga 10 tahun, bergantung kepada kaedah penjagaan oleh pemiliknya. Namun, bengkel itu memberikan jaminan selama tiga tahun atas sebarang masalah kecuali yang berlaku kerana kecuaian pemilik kenderaan sendiri.

Lebih menarik lagi, Bengkel Setia Kawan turut menawarkan perkhidmatan servis percuma iaitu penukaran minyak enjin dan pemeriksaan bahagian enjin untuk kenderaan yang selesai dicat di situ.

Bengkel Setia Kawan beroperasi dari Isnin hingga Rabu bermula jam 9 pagi hingga 7 petang, terletak di Batu 12, Jalan Cheras - Kajang dan sebarang pertanyaan atau tempahan boleh menghubungi Azman di talian 03-87371577 atau 019-3699334.