Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Februari 2009

Eksport bunga segar


Oleh Hafizah Iszahanid




Teknologi kekal kesegaran bantu pekebun eksport bunga ke Jepun dengan kos pengangkutan murah

KESEGARAN bunga boleh bertahan sehingga empat minggu selepas dipetik. Itulah antara teknologi yang ditemui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi membantu pekebun bunga mengekalkan kualiti dan kesedaran bunga yang mereka eksport ke Jepun, Taiwan dan Hong Kong.

Teknik teknologi berpakej iaitu indeks matang, pengendalian lepas tuai, sistem pembungkusan lepas tuai, sistem pembungkusan, kawalan serangga dan perosak serta penyimpanan berterusan itu mula diperkenalkan Mardi pada 2003. Teknologi ini khusus untuk penghantaran bunga melalui kapal laut.


Teknologi yang terhasil selepas lima tahun penyelidikan itu dilakukan sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Penyelidik Kanan Mardi, Latifah Mohd Noor.

Latifah berkata umumnya, pengeksportan bunga dari Malaysia hanya dilakukan melalui udara kecuali ke Singapura dan Thailand.

Bagaimanapun, kos pengangkutan yang tinggi di samping ruang kargo yang terhad memberi kesan kepada industri bunga.

“Selain itu, eksport melalui udara juga menjejaskan kualiti bunga, malah bunga tidak boleh dihantar dengan jumlah yang banyak dan dihantar lima jam lebih awal ke lapangan terbang untuk pemeriksaan kastam,” katanya.

Beliau berkata, semua masalah itu menyebabkan bunga terdedah pada suhu persekitaran yang tidak menentu sekali gus boleh menjejaskan kualiti bunga dan layu.

Justeru, teknologi ciptaan Mardi memberi pilihan kepada pekebun bunga mengeksport bunga dalam kuantiti yang banyak manakala kualiti dapat dijaga dan kosnya pula murah.

Katanya, teknologi ini adalah yang pertama di dunia sehingga mendapat pengiktirafan dalam satu pertandingan inovasi di Seoul, Korea Selatan pada 2006.

Latifah berkata, menerusi teknologi ini bunga keratan kekwa dapat disimpan dan dikendalikan untuk tempoh selama empat minggu pada suhu dua darjah celsius.

“Bunga yang disimpan selama satu hingga dua minggu pada suhu itu, kekal segar untuk tempoh selama 10 hingga 12 hari. Ini menyamai tempoh jualan di pasaran dan juga tempoh simpanan bagi pengguna,” katanya.

Untuk penyimpanan yang lebih lama, bunga kekwa yang disimpan selama tiga hingga empat minggu pada suhu dua darjah celsius boleh kekal segar sehingga tujuh hari. Tempoh kesegaran bunga ini akan menjadi lebih panjang sekiranya rantaian suhu dingin yang berterusan digunakan ketika pengendalian.

Beliau berkata, tidak dinafikan, operasi penyediaan lebih rumit dan teliti diperlukan bagi penghantaran melalui laut berbanding dengan udara. Ini kerana tempoh perjalanan yang lebih lama yang perlu ditempuhi sebelum tiba ke destinasi pasaran.

“Jika untuk pasaran Jepun dan Taiwan, bunga perlu direndam dalam larutan kimia (sukrosa) selama lapan jam, dibungkus dengan sempurna dan fumigasi (pemantauan serangga dan hama) diperlukan.

“Untuk pasaran Jepun, 100 tangkai bunga disatukan dalam 10 ikatan manakala untuk pasaran Hong Kong, antara 200 hingga 300 tangkai bunga disatukan dalam 10 ikatan,” katanya.

Tempoh pelayaran melalui kapal laut bergantung kepada pelabuhan yang dituju. Untuk ke Jepun, ia mengambil masa antara 10 hingga 12 hari. Pasaran Taiwan pula, tujuh hari diperlukan manakala lima hari untuk ke Hong Kong.

Logiknya, tempoh masa itu memang lebih panjang berbanding penghantaran melalui kapal terbang. Namun, sasaran teknologi ini bagi memastikan kualiti dan kesegaran bunga yang tiba selepas pelayaran yang lama setanding atau lebih baik daripada penghantaran dengan kapal terbang.

Latifah berkata, apabila dihantar menggunakan kapal laut, bunga perlu dikekalkan pada suhu sejuk. Ini bagi mengekalkan kualiti bunga ketika penyimpanan sebelum jualan, pengangkutan dan jualan pada peringkat borong atau runcit.

Penjagaan berterusan bunga perlu pada peringkat jualan dengan meletakkan bunga di dalam air bersih. Air ini perlu ditukar dua hingga tiga hari sekali dan batang bunga dipotong bagi mengelakkan jangkitan kulat serta membolehkan resapan air berlaku berterusan.

Ini katanya, bagi merangsang kesegaran bunga dan daun pada peringkat jualan. Sekiranya amalan ini dilakukan dengan baik kualiti bunga boleh dikekalkan hingga satu minggu selepas dijual.

Dari segi kos, penggunaan kapal laut menjimatkan kos antara 50 hingga 60 peratus daripada kos penghantaran kapal terbang. Misalnya kos penghantaran 40,000 tangkai bunga dari Cameron Highlands ke Jepun lebih kurang RM12,000. Bagi penghantaran menggunakan kapal terbang pula secara umumnya mencecah RM6.80 sekilogram (kg).