Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Februari 2009

Bidang arkeologi tak boleh terkubur


Oleh Siti Suriani Othman dari Notthingham, England

BARU-BARU ini saintis menemui fosil ular yang amat besar di Columbia, Amerika Tengah. Saiznya sepanjang dinosaur terbesar, Tyrannosaurus Rex dengan panjang 13 meter, berat melebihi 1,000 kilogram dan lebar badan melebihi satu meter seperti dilapor agensi berita Reuters yang memetik daripada jurnal Nature.

Berdasarkan jurnal itu, fosil yang digelar Titanoboa itu hidup lebih 60 juta tahun dulu, apabila dunia binatang sedang cuba mengadaptasi dengan kepupusan dinosaur dan makhluk lain apabila asteroid dari angkasa lepas jatuh di Mexico. Bayangkan saiznya jika Titanoboa boleh makan buaya, ikan besar dan penyu.

Penemuan seperti ini menarik kerana tanpa cabang ilmu yang dikenali sebagai arkeologi, kita tidak akan dapat belajar berkaitan makhluk yang sudah pupus dan tidak dapat mengenali sejarah dunia amnya. Selain kajian mengenai binatang purba, kajian arkeologi juga membabitkan kajian mengenai tempat bersejarah seperti penemuan pelbagai cerita sejarah dalam tamadun Mesir, Iran, Amerika Syarikat, Austria dan tamadun di Eropah.


Arkeologi yang berasal daripada perkataan Greek, archiologia membawa maksud purba atau lama adalah satu bidang sains yang mengkaji budaya manusia melalui penemuan, dokumentasi, analisis dan tafsiran bahan serta data persekitaran termasuk dalam bidang pembinaan, artifak dan landskap.

Tujuan bidang arkeologi ini pelbagai, antaranya untuk dokumentasi dan penerangan mengenai asal dan pembangunan budaya manusia, memahami sejarah budaya, menganalisis evolusi budaya dan mempelajari sikap manusia serta ekologinya berkaitan masyarakat lampau.

Berbanding negara lain di dunia, Mesir adalah antara kawasan yang paling banyak meninggalkan kesan sejarah dan begitu banyak kajian dijalankan dalam bidang arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarahnya. Sehinggakan ada cabang ilmu dalam arkeologi yang juga satu cabang utama arkeologi yang digelar 'egyptologi' khusus mengkaji arkeologi di Mesir.

Pengkaji dalam ilmu egyptologi digelar egyptologis. Egyptologis pertama di dunia adalah orang Mesir � Putera Thutmosis, iaitu Thutmosis IV yang memelihara dan memulihara Sphinx, sejenis binaan berbentuk singa dengan kepala manusia. Satu daripadanya yang terkenal terletak berdekatan piramid Khafre di Mesir.

Yang terbaru, amalan Penilaian Kajian (RAE) mengumumkan University of Durham di United Kingdom (UK) sebagai universiti yang menawarkan pengajian terbaik dalam bidang arkeologi di UK. Selain itu, University of Cambridge, University of Oxford, University College of London dan University of Sheffield adalah antara universiti terbaik yang menawarkan pengajian pada peringkat universiti dalam bidang ini.

Internet Archeology adalah jurnal elektronik antarabangsa untuk bidang arkeologi yang diterbitkan di web sejak 1996. Jurnal ini adalah terbitan Majlis Arkeologi Britain (CBA) dan diuruskan University of Durham.

CBA adalah badan kebajikan berbentuk pendidikan yang melaksanakan kajian di seluruh UK, mendidik dan membabitkan masyarakat dengan kegiatan arkeologi dan memperkenalkan penghargaan kepada persekitaran sejarah untuk generasi kini dan akan datang. Penerbitannya yang popular ialah majalah British Archeology yang diterbitkan dua bulan sekali melaporkan berita terbaru penemuan bidang ini daripada perspektif akademia dan pembaca.

Wujudnya badan seperti ini menjadi antara faktor pendorong yang mendekatkan masyarakat dengan bidang kajian yang kurang mendapat perhatian ini. Benar bidang arkeologi lebih mendapat perhatian di negara Barat berbanding kebanyakan negara Timur. Hal ini mungkin sekali dipengaruhi oleh faktor kos mengkaji yang tinggi.

Kos penerokaan tinggalan sejarah membabitkan kos sehingga berjuta-juta ringgit. Misalnya, satu kajian di Vietnam yang dijalankan oleh Barat menjadi antara penerokaan arkeologi termahal pernah dijalankan membabitkan kajian arkeologi di lautan. Farkland Islander, 53, adalah ahli arkeologi terkenal dan aktif yang khusus mengkaji tinggalan sejarah dalam laut yang menjalankan kajian ini selama 26 tahun.

Selain kos tinggi, kajian arkeologi juga membabitkan komitmen yang kadang-kala menuntut pengorbanan besar. Misalnya, pengkaji perlu menghabiskan masa berbulan-bulan, malah berpuluh-puluh tahun untuk mengkaji sesuatu dan berada jauh daripada keluarga.

Saintis yang mengkaji sejarah Mesir misalnya, meninggalkan keluarga di UK dan perlu menetap di Mesir untuk seberapa lama bagi menjalani proses meninjau (survey), meneroka dan menggali (excavate) serta menganalisis artifak atau penemuan lain yang dijumpai.

Sungguhpun banyak faktor lain mempengaruhi perkembangan bidang arkeologi di kebanyakan negara seperti keyakinan pihak pemerintah, kecenderungan politik, ekonomi dan budaya tempatan, ganjaran yang kadang-kala tidak setimpal dengan usaha dan lain-lain, mengurangkan semangat ahli arkeologi untuk bergerak aktif dalam bidang ini.

Ada yang mengambil ijazah pertama dan kemudian tidak berpeluang belajar dengan lebih mendalam atau bekerja dalam bidang ini, akhirnya menjadi guru sejarah. Sayang sebenarnya jika kita tidak mula perlahan-lahan meneroka zaman silam untuk dipelajari generasi hari ini.

Sungguhpun menyedari pelbagai faktor yang mungkin memperlahankan langkah kita usaha yang sedikit, tetapi berterusan boleh menghidupkan cabang ilmu ini, agar ia tidak mati serta tidak mampu berfungsi sepatutnya.

Apa yang kita lakukan di Malaysia sekarang adalah usaha yang perlu disokong semua pihak, bantuan dalam bentuk material serta promosi kepada masyarakat untuk menarik pembabitan ramai perlu digiatkan dari semasa ke semasa. Jangan lemahkan semangat ahli arkeologi kita.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom