Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Februari 2009

Memastikan stok makanan negara sentiasa mencukupi


Oleh Zainab Mohd Yatim

NEGARA kita pernah panik ketika tercetus krisis makanan global pada pertengahan 2007 yang menyebabkan fenomena kenaikan harga makanan sehingga kini.

Jika melihat kepada keluasan tanah dimiliki negara berbanding bilangan penduduk, mungkin krisis makanan itu bukan sesuatu yang wajar. Lihat saja di sekeliling kita begitu banyak tanah terbiar tidak diusahakan.

Namun, hakikatnya tanah pertanian di negara ini terpaksa bersaing hebat dengan sektor hartanah dan industri yang menjanjikan pulangan lebih lumayan kepada pelabur dalam tempoh singkat.


Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencari jalan meningkatkan nilai sektor berkenaan. Usaha berterusan juga dilaksanakan bagi mengurangkan pergantungan kepada import makanan yang kini bernilai lebih RM12 bilion setahun.

Pada 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding RM4.6 bilion pada 1990. Apakah negara kita perlu menghentikan pengimportan itu?

Kerajaan Indonesia membuat sasaran penghapusan import lembu menjelang 2013, tetapi bagi negara kita ia agak mustahil untuk membuat jangkaan menghentikan pergantungan kepada makanan import dalam tempoh singkat

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, begitu optimis untuk melihat negara meningkatkan pengeluaran makanan secara terancang. Langkah ini bukan semata-mata untuk keperluan semasa, malah juga mencukupkan keperluan dalam konteks sekuriti makanan, iaitu bagi memastikan penawaran dan harga makanan yang sentiasa stabil.

Lawatan Mustapa ke Indonesia baru-baru ini, cuba meninjau pelbagai peluang yang boleh dipelajari atau diteroka. Lawatan tujuh hari itu bagi meninjau peluang dari segi penanaman, ternakan dan pengeluaran produk akhir berasaskan pertanian di Jakarta, Lampung, Malang dan Surabaya.

Lawatan yang turut meredah laluan batu kerikil satu lorong memanjat bukit itu menunjukkan komitmen Mustapa untuk berusaha mempelajari apa saja pendekatan bagi memastikan rakyat tidak kekurangan makanan pada masa depan, selain mencari pendekatan menarik membabitkan pembabitan masyarakat desa dalam sektor pertanian secara bersepadu.

Dari kota metropolitan Jakarta untuk bertemu Menteri Pertanian Indonesia, Anton Apriyanto dan Menteri Kelautan dan Perikanan, Fredi Numberi, hingga ke pelosok kampung di Malang, yang jauh daripada kemudahan asas, delegasi dibawa melihat perkembangan sektor pertanian yang juga satu daripada penyumbang terbesar kepada ekonomi negara yang dihuni lebih 200 juta penduduk itu.

Memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani dan MoU dengan Menteri Kelautan dan Perikanan misalnya, dijangka membuka laluan yang lebih besar kepada kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perikanan. Satu lagi MoU yang akan membawa manfaat dari segi kerjasama dalam bidang pertanian yang lebih luas, dijangka dimeterai April ini dengan Menteri Pertanian Indonesia.

Lawatan ke ladang ternakan PT Santosa Agrindo di Lampung, mendedahkan delegasi kepada potensi bekalan daging lembu ke Indonesia. Bagi pengusahanya, ladang yang menempatkan 20,000 lembu pada satu-satu masa, bukan sesuatu yang harus dibanggakan kerana mereka bukan peserta terbesar di Indonesia dan ada lagi syarikat lain yang mendominasi industri berkenaan.

Operasi ladang ternakan di tapak seluas 70 hektar, satu daripada empat lokasi ternakan milik syarikat itu, juga membuka peluang dan punca pendapatan kepada penduduk sekitarnya. Hasilnya, penduduk bukan saja mendapat peluang pekerjaan, malah juga mengusahakan tanaman jagung yang dijadikan sumber utama makanan kepada haiwan ternakannya.

Syarikat itu mengeluarkan sendiri keperluan makanan ternakannya dan bagi memastikan bekalan makanan berterusan, kaedah pemeraman dibuat untuk memastikan stok makanan ternakan yang berterusan dalam apa juga keadaan cuaca.

Delegasi turut dibawa melawat ke ladang tenusu PT Greenfields, milik kumpulan sama. Ladang tenusu itu menempatkan 4,000 lembu yang diimport dari Australia dan mempunyai kapasiti menghasilkan tiga juga liter susu sebulan.

Terfikir sejenak, bagaimana sebuah syarikat berjaya menampung sebahagian keperluan susu di Indonesia yang dihuni lebih 200 juta penduduk itu, selain turut mengeksport produk tenusunya mampu mengendalikan operasi di kawasan pedalaman di Malang dalam keadaan infrastruktur yang jauh lebih mundur berbanding Malaysia.

Ladang yang terletak di tanah tinggi itu turut menanam keperluan makanan haiwannya sendiri dan memproses sendiri keluaran susu menggunakan kemudahan berteknologi tinggi yang dibawa dari Amerika Syarikat.

Syarikat milik Kumpulan Japfa yang juga konglomerat terkemuka Indonesia itu, memulakan operasi pada awal 1990-an dan turut mengusahakan perusahaan makanan ternakan dengan 15 pusat operasi yang sebahagian besarnya dipasarkan ke pasaran domestik.

Satu lagi konsep pertanian yang cuba dicontohi Malaysia dari Indonesia ialah pertanian nukleus, iaitu sebuah syarikat atau agensi induk yang menguruskan operasi tanaman atau ternakan dan bidang yang diceburi akan disokong petani kecil yang beroperasi di persekitaran induk. Kedudukan yang saling berdekatan mengoptimumkan kos operasi.

Lawatan menaiki helikopter ke kompleks ternakan udang milik CP Prima, juga di Lampung, tetapi ke lokasi yang cukup luas berukuran lebih 200,000 hektar benar-benar membuka mata delegasi mengenai kejayaan program nukleus anjuran pelabur swasta di daerah berkenaan.

Kompleks ternakan yang menghasilkan lima bilion udang setahun itu membuka peluang dan mata pencarian kepada penternak udang kecil-kecilan, sekali gus menjadikan syarikat berkenaan satu daripada dua pengeluar udang terbesar dunia dengan penguasaan pasaran dunia kira-kira 30 peratus, selepas Thailand.

Daripada jumlah pengeluaran syarikat itu, 80 peratus dihasilkan oleh 12,000 penternak tempatan dan bagi setiap 0.5 hektar kolam, penternak mampu menjana pendapatan minimum AS$5,000 setahun dengan kolam ternakan disediakan oleh syarikat.

Lawatan tidak berakhir di kompleks udang ini apabila rombongan dibawa melawat kilang membuat barangan kulit yang terletak di Tanggul Angin, Surabaya.

Program ini diselitkan bagi menimba pengalaman bagaimana bidang pembuatan produk kulit meraih manfaat daripada bidang ternakan lembu dan kambing untuk dijadikan barang bernilai komersial.

Mustapa berharap, pengalaman yang diraih daripada lawatan tujuh hari itu dapat dimanfaatkan di negara ini, khususnya membabitkan kegiatan menarik penyertaan pekebun kecil, bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan, sekali gus mengurangkan bilangan penduduk miskin di negara ini.

Dari segi guna tenaga di Malaysia, beliau yang kagum dengan kerja keras masyarakat Indonesia mengusahakan setiap inci tanah, yakin masalah itu boleh diisi dengan memberi latihan dan penggunaan kemudahan berteknologi, selain kemudahan pembiayaan bagi menggerakkan operasi.