Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 April 2009

Bundle Chow Kit pilihan ramai


Sehingga kini, kawasan sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur tidak putus-putus dikunjungi ramai meskipun ia pernah dilabel sebagai kawasan hitam.




SEJAK memulakan perniagaan barangan bundle di Chow Kit hampir 20 tahun lalu, lokasi strategik itu masih menjadi lubuk rezeki bagi Taharuddin Abd. Rahman, 50. Walaupun tanggapan masyarakat terhadap Chow Kit tidak pernah positif tetapi ia tidak mematahkan semangat peniaga gigih itu untuk terus kekal di lokasi tersebut.

Malah kerjaya sebagai peniaga barangan bundle sejak dua dekad lalu tidak pernah membuahkan perasaan kesal di dalam jiwa Taharuddin. Beliau bersyukur dengan rezeki yang diraihnya itu.

Apa yang menariknya membuka perniagaan di kawasan Chow Kit? Menurut Taharuddin, beliau berasa selesa berniaga di situ kerana lokasi itu mempunyai daya tarikan tersendiri meskipun sesetengah golongan memandang rendah terhadapnya.

"Sejak dahulu, Chow Kit sentiasa dikunjungi ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan sama ada barangan basah seperti ikan dan sayur di pasar atau periuk belanga, barangan runcit dan pakaian bundle.




"Begitu juga, sejak dahulu sehingga sekarang, Chow Kit begitu terkenal dengan jualan barangan yang murah harganya. Sudahlah murah, pengunjung yang bijak masih boleh tawar menawar harga barangan yang mahu dibeli," katanya kepada Kosmo!. Beliau menjalankan perniagaan jaket kulit terpakai yang diimport khas dari luar negara seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.

Tinjauan Kosmo! di kawasan Chow Kit tidaklah semudah yang disangka. Ini kerana kebanyakan peniaga enggan 'membuka mulut' bagi berkongsi cerita mengenai pengalaman pahit dan manis sepanjang mereka berniaga di situ.

Alasan yang diberi adalah kedai yang menjadi tempat mereka meraih rezeki bukan milik sendiri, sebaliknya disewa daripada orang tempatan. Malah, kebanyakan yang ditemui Kosmo! juga mengakui mereka adalah pekerja yang 'makan gaji' daripada tuan punya kedai.

Namun begitu, masih ada peniaga yang sudi berkongsi cerita termasuklah Taharuddin dan beberapa rakannya. Menurutnya, persaingan peniaga di Chow Kit boleh dikatakan begitu mencabar.

"Tempat ini besar dan ada banyak kedai yang menawarkan barangan serupa. Misalnya, saya terpaksa berhadapan dengan kira-kira 20 gerai yang menjual jaket kulit terpakai seperti yang saya usahakan ini.

"Namun begitu, saya tidak berasa tertekan. Ini kerana setiap peniaga mempunyai gaya dan kelebihan sendiri untuk memujuk pengunjung agar singgah dan membeli sehelai dua barangan yang dijual," ceritanya panjang lebar.

Konsep yang digunakan oleh Taharuddin yang juga merupakan antara peniaga bundle paling lama di Chow Kit begitu mudah iaitu tidak berlagak sombong dengan pengunjung.


TAHARUDDIN (kanan) bersama seorang rakannya menunjukkan antara jaket kulit yang dijual di kedainya di Chow Kit.


"Layanan saya terhadap semua pengunjung adalah sama. Walaupun pengunjung kelihatan selekeh dan tidak terurus, saya tetap layan mereka seperti pengunjung biasa. Ini yang seronoknya berniaga di Chow Kit kerana saya boleh lihat pelbagai ragam manusia," katanya.

Ditanya adakah jaket kulit yang dijualnya mampu memberi pulangan yang besar serta menyara kehidupannya?

Taharuddin berkata, beliau mempunyai pelanggan tetap dan kebanyakannya adalah pelancong dan pekerja asing yang makan gaji di Malaysia.

Menurutnya, pakaian yang dijualnya mempunyai peminat sendiri dan mereka mampu menilai kualiti dengan harga yang ditawarkan.

"Memang benar, mereka boleh mendapatkan barangan yang sama pada harga yang lebih murah. Namun disebabkan mereka bijak menilai harga dan kualiti, mereka tidak keberatan untuk berbelanja lebih bagi mendapatkannya di kedai saya.

"Lagipun, saya begitu menitikberatkan kualiti pakaian. Setiap kali saya menerima jaket atau pakaian dari luar negara, saya akan membersihkan dan menggilap barangan tersebut terlebih dahulu," katanya sambil menjelaskan kesemua pakaian bundle yang diterimanya itu diisi di dalam guni dan setiap guni mengandungi jenis pakaian tertentu.

"Sebab itulah, pakaian ini dinamakanan pakaian bundle," ujarnya.

Menyentuh tentang pengunjung, Taharuddin memberitahu, kedainya didatangi oleh pelbagai lapisan dan kelas masyarakat.

"Kedai saya pernah dikunjungi oleh selebriti terkenal seperti Rosyam Nor.

"Kebanyakan jaket yang digunakan oleh Rosyam Nor dalam filem Castello dibeli di kedai saya. Malah pelakon itu sendiri yang datang mencuba dan memilih jaket yang sesuai," dakwanya.


KEBANYAKAN kasut yang dijual oleh Suhaimi diimport khas dari Jepun dan Korea.


Mengulas lanjut tentang minat masyarakat terhadap pakaian bundle, Taharuddin berkata, ia tidak lagi dikaitkan dengan faktor kewangan semata-mata.

Ini kerana selain harga murah yang menjadi keutamaan pembeli untuk memilih pakaian bundle, faktor lain yang mendorong masyarakat menggemarinya adalah jenama yang ditawarkan.

"Minat masyarakat terhadap pakaian bundle semakin meningkat. Ini kerana barangan bundle yang dijual mempunyai jenama mahal yang tidak mampu dibeli mereka pada harga asal," ujarnya.

Sementara itu, seorang peminat barangan bundle yang mahu dikenali sebagai Din, 27, memberitahu, ada juga pakaian bundle yang dijual tidak mempunyai kualiti, misalnya warna yang luntur.

"Walaupun pakaian yang dijual sudah agak lusuh, namun masih ada pihak mahu membelinya kerana harga yang ditawarkan sesuai dengan kualiti.

"Faktor inilah yang mendorong ramai remaja membeli pakaian bundle," katanya sambil memilih sehelai baju-t.

Tambahnya lagi, keseronokan membeli pakaian bundle juga disebabkan oleh keasyikan ketika memilih. Jika pengunjung teliti membuat pilihan, pasti mereka akan menemui pakaian berjenama yang masih kelihatan baru.

"Kadangkala, saya menghubungi peniaga bundle yang biasa dengan saya untuk mendapatkan pakaian bundle yang baru dibawa masuk dari luar negara. Sebaik sahaja saya tahu perkara itu, saya akan 'serbu' ke kedai mereka," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung kedai bundle di Chow Kit, Mohd. Yusof Ismail, 51, berkata, beliau sering berkunjung ke Chow Kit, sekurang-kurangnya seminggu sekali.


PELANCONG asing turut tertarik dengan pelbagai barangan yang dijual pada harga yang murah di Bundle Chow Kit, Kuala Lumpur.


"Dari muda lagi, saya suka beli barangan bundle dan saya tak kisah apa tanggapan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kasut terpakai, Suhaimi Abd. Hamid, 31, pula menyifatkan, setiap peniaga bundle mempunyai risiko apabila menerima guni-guni berisi barangan terpakai yang baru tiba dari luar negara.

Katanya, guni-guni itu belum tentu dipenuhi dengan pakaian terpakai yang baik dan berkualiti.

"Itu semua nasib. Di dalam satu guni, pasti terselit beberapa helai pakaian yang kurang bermutu. Terpaksalah kami menjualnya pada harga yang rendah," ujarnya.

Menceritakan pengalaman lain pula, katanya, ada juga pengunjung yang berpura-pura mencuba kasut yang dijual tetapi setelah dicuba, mereka cabut lari.

"Perkara ini lumrah bagi para peniaga di Chow Kit. Sebab itulah, saya akan susun dan pamer barangan berharga di bahagian belakang kedai untuk mengelakkan kecurian," jelasnya.

Bundle Chow Kit dibuka dari pukul 4 petang sehingga 1 pagi, setiap hari di Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur.