Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 April 2009

Restoran terbesar di Asia


Bubba Gump Shrimp Co. diiktiraf sebagai restoran terbesar di Asia dengan keluasan 9,000 kaki persegi dan mampu memuatkan 300 pengunjung dalam satu-satu masa.


NZ Diners yakin restoran BGSC mempunyai prospek cerah di Malaysia.


MESKIPUN kegawatan ekonomi global masih terasa kesannya, namun ia tidak menghalang Naza Diners Sdn. Bhd. (NZ Diners) mengeluarkan pelaburan sebanyak RM3.5 juta untuk membuka cawangan kedua restoran Bubba Gump Shrimp Co. (BGSC) di Malaysia.

Bertempat di pusat beli-belah Sunway Pyramid, restoran francais dari Amerika Syarikat (AS) itu telah diiktiraf sebagai yang terbesar di Asia dengan keluasan 9,000 kaki persegi dan mampu memuatkan 300 pengunjung dalam satu-satu masa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, kos pelaburan sebanyak RM3.5 juta itu merangkumi proses francaisi, membaik pulih ruang restoran, sesi latihan dan tenaga kerja.

"Walaupun berdepan dengan krisis ekonomi yang melanda di seluruh dunia, namun melalui pembukaan restoran BGSC cawangan kedua ini, kami turut menawarkan 100 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan," kata SM Nasarudin sewaktu sidang media pada majlis perasmian BGSC di Sunway Pyramid baru-baru ini.

Selain itu, SM Nasarudin menjelaskan, pihaknya ada menawarkan lima menu tambahan bagi menarik perhatian pelanggan BGSC seperti Ayam Texas Cajun, Sandwic Udang Po'Boy dan Pai Alabama Mud.


DARI kiri: Scott Barnett, Sarena Cheah, wakil Sunway dan Nasarudin turut hadir pada majlis pelancaran restoran itu.


Ditanya mengenai perancangan untuk mengembangkan perniagaan NZ Diners, SM Nasarudin berkata: "Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami bercadang untuk membuka tiga lagi cawangan BGSC di Malaysia."

Dalam pada itu, CEO dan Presiden BGSC, Scott Barnett yang turut hadir pada majlis perasmian itu berkata, sebanyak 80 peratus cawangan restoran BGSC di Asia terletak di Jepun dan Indonesia.

Tambahnya, beliau yakin kerjasama francais dengan NZ Diners akan memberi potensi yang baik dan menguntungkan BGSC kerana syarikat tersebut mempunyai kriteria yang diperlukan.

NZ Diners merupakan anak syarikat Kumpulan Naza yang beroperasi dalam industri makanan dan minuman di mana ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Restoran BGSC pertama dibuka di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara pada pertengahan tahun lalu. BGSC diasaskan pada tahun 1996 yang diilhamkan daripada filem hebat Forrest Gump lakonan mantap Tom Hanks.

Kini, ia mempunyai 34 cawangan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Mexico, Hong Kong, Filipina dan Jepun. Setiap outlet BGSC akan menampilkan koleksi memorabilia filem Forrest Gump seperti skrip, kostum, kasut dan gambar.

Bagi peminat setia filem Forrest Gump, restoran itu juga menyediakan pelbagai barangan dan cenderahati untuk dijual termasuklah kemeja-t, rantai kunci, topi, baju panas dan lain-lain lagi.

Restoran ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, mulai pukul 11 pagi hingga 12.30 malam pada hari biasa dan 11 pagi hingga 1 pagi pada hujung minggu. Bagaimanapun, bermula bulan Mei 2009, waktu operasinya akan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.