PENERBITAN ilmiah adalah satu bentuk pakej ilmu yang disebarkan secara tersusun dan sistematik. Terdapat pelbagai bentuk terbitan ilmiah yang diterbitkan seperti buku, monograf, kertas kerja, jurnal, rencana ilmiah, dan juga bentuk-bentuk terbitan lain yang sudah pasti mengikut piawaian yang ditetapkan bagi menjaga standard yang diidamkan.
Tunjang yang mendasari setiap penerbitan ilmiah adalah nilai-nilai keaslian dan pengupasan idea yang menyeluruh. Inilah yang memantapkan dan meletakkan karya ilmiah dalam kedudukan yang berbeza berbanding karya-karya penulisan yang lain.
Para pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai pendidik di universiti tetapi juga sebagai jambatan bagi merapatkan jurang di luar ruang lingkupnya terutamanya dalam bidang ilmu yang seharusnya dikongsi bersama. Berpandukan idea yang digarap sempurna membolehkan lahirnya hasil nukilan asli yang dapat menerajui dan memartabatkan falsafah pendidikan negara.
Adalah suatu yang tidak dapat disangkal apabila ada pendapat yang mengatakan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada kejayaan dalam menghasilkan produk penyelidikan, perundingan dan juga penerbitan.
Penerbitan adalah tunjang bagi para pensyarah berkongsi tahap keintelektualan di landasan yang sepatutnya. Tak kira ia adalah penulisan/penerbitan akademik (dalam ruang lingkup ilmu) ataupun popular (dengan bahasa mudah difahami masyarakat). Dengan ini ilmu yang ada dapat disalurkan dengan betul dan lebih bermanfaat.
Begitu juga halnya apabila kita membincangkan mengenai penerbitan ilmiah yang seharusnya berfungsi di semua universiti tempatan iaitu penerbitan jurnal. Walaupun pada peringkat awalnya, jurnal adalah sekadar platform untuk melatih para kakitangan akademik untuk menulis rencana berbentuk ilmiah yang kebanyakan adalah hasil penyelidikan yang dijalankan tetapi kini jurnal telah berperanan besar dalam menentukan tahap kecemerlangan universiti di mata umum.
Tetapi apa yang dicita-citakan tidak akan menjadi kenyataan jika tidak ada susulan tindakan daripada pensyarah dan ahli akademik. Ia merupakan tanggungjawab para akademik agar penerbitan ilmiah yang dihasilkan berupaya mewarnai, memenuhi, menyumbang dan membantu industri perbukuan akademik mencapai sasaran kejayaan keseluruhannya dan seterusnya membawa dimensi baru yang boleh dibanggakan. Ini amat bersesuaian dengan kata-kata yang sering didengari yang melabelkan universiti sebagai tempat pengembangan ilmu.