Pagi-pagi lagi saya ternampak lirikan senyuman riang seorang rakan yang memberitahu bahawa beliau kini boleh menarik nafas lega dengan adanya galakan mengadakan pusat asuhan di tempat kerja. Malah ramai wanita berkerjaya yang mempunyai anak, sudah lama tertunggu-tunggu berita gembira yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu.
Pusat asuhan untuk si kecil sebenarnya bukan satu usaha yang kecil, kerana ia mempunyai kesan yang besar ke atas ketenangan minda ibu bapa, kebahagiaan pasangan suami isteri, sikap terhadap wanita, masalah sosial anak-anak dan produktiviti organisasi.
Manakan tidak, kini ramai wanita boleh terus ke tempat kerja bersama anak. Mereka tidak perlu kelam-kabut berkejar ke tempat penjaga dan kemudian ke tempat kerja. Lagipun kalau tidak ada penjaga anak yang datang pada hari itu atau pembantu perlukan cuti, kini sudah ada tempat untuk meninggalkan anak mereka dalam keadaan yang selamat.
Masalah kerisauan mengenai pembantu yang memberikan pelbagai "berita tergempar" seperti "saya ada kecemasan", "saya sakit", "saya nak berhenti" di pagi hari kini sudah mungkin dapat di atasi. Malah ibu bapa juga tidak perlu memberikan alasan "tergempar" yang sama kepada majikan kerana terpaksa mengambil cuti kecemasan.
Oleh itu dengan adanya pusat asuhan yang di tempat kerja akan memberikan ketenangan jiwa bagi semua pihak yang terlibat. Yang paling penting anak-anak tidak menjadi mangsa keadaan.
Dari satu aspek lain pula, dengan adanya pusat penjagaan anak maka para suami juga boleh sama-sama membahagikan tanggungjawab menjaga anak. Dalam kajian saya, di kalangan hampir 1,000 orang wanita dwi kerja, kurang daripada tujuh peratus sahaja suami mereka yang dikatakan membantu.
Mungkin dengan adanya pusat asuhan, anak-anak boleh di tempatkan di tempat kerja ibu dan di tempat kerja bapa. Secara tidak langsung tanggungjawab menjaga anak boleh dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita dan dasar mesra keluarga juga akan tercapai dengan sendirinya.
Sehubungan itu, para suami yang sebelum ini mungkin tidak membantu dalam penjagaan anak, sudah boleh membahagi tugas bersama isteri.
Kajian saya juga mendapati sebahagian besar kerja rumah dilakukan oleh wanita (82.4 peratus) dan antara tanggungjawab yang menjadi "hak" wanita secara automatik adalah mengendalikan dan menguruskan penjagaan anak. Jenis kerja rumah yang dilakukan oleh lelaki adalah berhubung bantuan "bila perlu" atau "kerja berkala" yang berkaitan dengan fizikal. Umpamanya mengangkat sampah, basuh kereta, menukar mentol, menghantar anak ke sekolah atau tusyen.
Oleh itu pusat asuhan secara tidak langsung dapat memupuk semangat saling menolong antara satu sama lain. Malah banyak kajian lain menunjukkan sekiranya suami membantu kerja rumah isteri maka keluarga itu akan cenderung lebih bahagia. Ini kerana api kemarahan isteri akan terpadam dengan bantuan yang dicurahkan oleh suami.
Ia disokong dengan luahan rasa oleh responden kajian saya mahupun oleh beberapa kajian di Barat, bahawa sebahagian besar wanita berpendapat bantuan suami adalah salah satu cara mempamerkan kasih sayang kepada isteri. Maka satu lagi hasrat "rumahku syurgaku" akan turut tercapai dengan adanya pusat jagaan anak-anak.
Pusat penjagaan anak-anak juga dapat mengelakkan pelbagai gejala sosial yang berpotensi besar berlaku kepada anak-anak yang balik ke rumah yang "kosong" tanpa ibu bapa. Pelbagai kes telah dilaporkan mengenai bala yang menimpa anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga.
Ini kerana dalam usia muda mereka begitu kreatif dan akan mudah terpengaruh dengan pelbagai bisikan rakan sebaya yang mungkin terlibat dengan budaya lepak, ponteng sekolah, merokok, dadah, seks bebas, gengsterisme, lumba haram dan lain-lain kes juvenil yang cukup menggerunkan.
Daripada perspektif organisasi pula, pusat asuhan bukan sahaja mendapat potongan cukai sebanyak 10 peratus tetapi juga akan mengurangkan masalah berhenti kerja. Menurut kajian di Barat, mereka telah dapat mengesan masalah ini apabila tahap ponteng kerja wanita menurun ketika anak-anak mereka dalam peringkat umur remaja.
Ini kerana kajian menunjukkan bahawa kebanyakan wanita dalam peringkat umur 30-an akan berhenti kerja buat sementara untuk memberikan tumpuan kepada anak-anak. Malah hampir separuh wanita dalam kajian saya juga menyatakan kesanggupan untuk berhenti kerja kerana perasaan bersalah membelakangkan keluarga dan tidak ada masa santai atau bermesra untuk anak-anak, suami ataupun diri sendiri.
Ada kajian di negara Barat mendapati wanita kerja mengalami "sindrom pukul tiga". Ia digelar sedemikian kerana pada ketika itu ramai wanita tidak dapat memberikan perhatian kepada kerja kerana teringat keselamatan anak mereka yang pulang dari sekolah. Mereka juga bimbang akan penjagaan anak sekembalinya ke rumah.
Oleh yang demikian kesedaran terhadap pusat jagaan anak-anak di tempat kerja akan dapat meleraikan masalah kehilangan modal insan wanita yang berharga di samping mengurangkan masalah ponteng kerja.
Masalah ponteng kerja ini adalah seperti virus, kerana jikalau si isteri tidak dapat mencari jalan keluar untuk menguruskan penjagaan anak, maka si suami yang harus berkorban. Hal seumpama ini telah banyak menjadi punca perbalahan kepada ramai pasangan suami isteri. Isu ini akan menjadi lebih parah sekiranya "berita tergempar" daripada pembantu rumah melanda di waktu pagi hari kerja.
Malah seramai 35.2 peratus daripada responden bersetuju bahawa mereka akan meninggalkan kerjaya mereka sekiranya ada pilihan untuk berbuat demikian.
Ini bermakna mereka masih bekerja kerana terpaksa atas pelbagai sebab ekonomi. Maka tidak hairanlah jika ada yang datang ke tempat kerja dengan muka yang masam, hati yang bengkak dan rasa bengkeng yang menular kepada orang lain di tempat kerja.
Bayangkanlah betapa cepat kesan stress yang akan menjejaskan kepada keharmonian orang lain di tempat kerja, yang semuanya bermula kerana tidak ada pusat asuhan.
Perkara lain yang akan berubah dengan adanya pusat asuhan ialah sikap masyarakat terhadap wanita yang sering dipersendakan kerana kurang komitmen di tempat kerja kerana selalu mendahulukan hal rumah.
Pandangan ini adalah berat sebelah, kerana seringkali golongan wanitalah yang diharapkan membuat pengorbanan dengan mengutamakan peranan keluarga berbanding dengan kerja di pejabat.
Umpamanya dalam kajian saya, 53 peratus wanita menyatakan memegang tanggungjawab termasuk menguruskan anak kecil ke pusat asuhan kanak-kanak atau rumah pengasuh. Mereka juga menguruskan penjagaan harian seperti membantu anak mandi, memakai baju, serta mendisiplinkan anak.
Maka dengan adanya pusat asuhan, sebahagian daripada tugas ini dapat diatasi. Lebih-lebih lagi 90 peratus daripada wanita dalam kajian saya menyatakan mereka tidak ada pembantu rumah.
Oleh demikian, keperluan bantuan pusat asuhan akan lebih dirasakan kerana peratusan wanita berkahwin yang berkerja pada tahun 2002 sudah mencecah 62.5 peratus . Di tambah 60 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi adalah wanita.
Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa kehadiran wanita di tempat kerja akan meningkat. Walaupun penjagaan anak adalah tanggungjawab suami isteri, kadang kala naluri keibuan itu sendiri membuat wanita lebih rela menggalas tanggungjawab dalam membesarkan anak.
Oleh itu kewujudan pusat penjagaan anak bukan sahaja akan membantu wanita dwi kerjaya, tetapi juga produktiviti organisasi akan terjaga di samping memastikan perkembangan anak yang positif yang merupakan aset dan permata negara yang tidak ternilai.
Pendek kata memetik ucapan Perdana Menteri, anak-anak inilah yang akan menjadi pemimpin, pereka, usahawan, penyelidik atau ahli profesional negara kita.
Prof. Madya Dr. Sabitha Marican,
Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,
Universiti Malaya