Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Mei 2009

Dilema pelancongan Artik


Setiap kapal persiaran yang berlabuh di Ny-Aalesund, Norway menyebabkan pertambahan pengeluaran karbon dioksida.


PADA hari-hari tertentu dalam musim panas, antara 2,000 hingga 3,000 pelawat berkunjung ke Artik sambil menggalas peralatan kamera di bahu masing-masing.


BERDEPAN dengan ribut salji dan beruang polar merupakan sebahagian daripada rutin harian dalam kalangan penyelidik di Artik. Tiada apa yang dibimbangkan mengenainya.

Namun, apa yang menjengkelkan penyelidik-penyelidik tersebut ialah kehadiran segerombolan pelancong yang tiba dengan kapal persiaran yang memancutkan diesel walaupun mereka membawa wang yang banyak.

Di Ny-Aalesund, sebuah stesen penyelidikan antarabangsa yang terletak di kepulauan terpencil Svalbard, utara Norway, terma menuju persamaan memang terkenal tetapi ia tidak bermakna saintis mudah melanggarnya.

"Lebih ramai pelancong bermakna lebih banyak wang diperoleh dan juga lebih banyak pencemaran," kata Bendiks Eithun Halgunset, penasihat penyelidik untuk syarikat Kings Bay yang menguruskan tapak tersebut.

Pada hari-hari tertentu dalam musim panas, antara 2,000 hingga 3,000 pelawat datang ke sana sambil menggalas peralatan kamera di bahu masing-masing.

Kebanjiran pelancong seperti itu mengganggu ketenangan kawasan tersebut dengan satu-satunya bunyi yang biasa didengar ialah enjin kereta salji yang menderum melalui kawasan berkenaan.

Ia memberi sedikit masalah kepada 180 penyelidik yang bekerja di bahagian paling utara di planet Bumi.

"Situasi tersebut agak di luar realiti. Secara tiba-tiba anda mempunyai masa yang sama banyak seperti pelancong dan saintis di sini," kata Dorothea Schulze, seorang jurutera Jerman di Institut Polar Norway.

Setiap kapal persiaran yang berlabuh di Ny-Aalesund menyebabkan pertambahan pengeluaran karbon dioksida sekali gus menjadikan peralatan mengukur atmosfera di stesen tersebut tidak menentu.

Dalam sehari, kapal-kapal boleh membebaskan lebih banyak pencemaran berbanding pengeluaran diesel yang dijalankan oleh stesen kuasa di bandar tersebut dalam tempoh setahun.


KEBANJIRAN pelancong di Artik mengganggu ketenangan kawasan itu. Satu-satunya bunyi yang biasa didengar di Artik ialah enjin kereta salji.


"Pelawat itu memang tidak menjejaskan penyiasatan saintifik secara langsung tetapi kapal mereka agak mencemarkan," ujar Marchus Schumacher, ketua institut penyelidikan Perancis-Jerman, Avipev yang menjalankan kajian atmosfera.

"Ini membuatkan kami sukar untuk mentafsirkan data," tambahnya.

Selain itu, agak sukar untuk memerhatikan dan mengawasi pelancong walaupun mereka dibatasi dengan had peraturan bandar tersebut.

Pelancong, biasanya pesara dari Amerika Syarikat atau Eropah, kadangkala meninggalkan perasaan yang berbeza. Ada yang mempunyai tanggapan yang salah mengenai dunia di Ny-Aalesund.

"Ada pelancong memberikan kami beberapa biji buah epal," ujar Halgunset sambil menerangkan bahawa pelancong tersilap memikirkan bahawa bandar ini benar-benar terputus dari dunia luar.

"Atau mereka memberi makan serigala polar atau menyentuh peralatan yang bernilai jutaan dolar. Mereka juga akan mengambil atau menyembunyikan beberapa barangan lama untuk dibawa pulang," tambahnya.

Di Ny-Aalesund, semua orang tahu bahawa tiada seorang pun yang mengunci pintu depan kabin mereka yang mana selalunya ia bukan satu idea yang baik.

"Pernah terjadi, kami terpaksa membawa pelancong ke bilik tidur dan mengambil gambar atas permintaan mereka," imbas Halgunset mengenai pengalaman yang dilalui.

Bagaimanapun, wang yang dibelanjakan oleh pelancong amat diperlukan. Ia mewakili 4.0 juta kroner daripada bajet operasi tahunan sekitar 37 juta kroner (4.3 juta euro atau RM20.6 juta).

"Satu jalan penyelesaian yang mungkin boleh dilakukan adalah mengharamkan kapal-kapal besar berlabuh di sini dan hanya menerima kapal ekspedisi yang lebih kecil tetapi dipenuhi orang yang dahagakan pengetahuan.

"Tetapi, risikonya sekali lagi mungkin kapal-kapal besar ini akan berlabuh di mana-mana tempat lain di Svalbard. Mungkin lebih buruk, kami tidak berada di sana untuk memerhatikan dan mengawal mereka," tambahnya. - AFP