Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 Mei 2009

Nostalgia mesin jahit antik


DALAM banyak-banyak koleksi barangan antik yang dimiliki oleh Lim Cheng Hoe, mesin jahit Singer adalah barangan yang paling disayanginya. Mengapa?




SINGER, satu jenama yang sudah lama dekat di hati ramai suri rumah sejak tahun 1906. Seteguh batu di lautan, Singer tetap menonjol dalam kelas tersendiri sejak berdekad lamanya, biarpun pada zaman milenium ini muncul pelbagai jenama baru di pasaran.

Menyebut jenama Singer kepada nenek atau ibu-ibu kita, gambaran pertama yang menjenguk di fikiran adalah sebuah mesin jahit tua yang berfungsi dengan menggunakan pedal.


MESIN jahit antik berusia 132 tahun ini masih berfungsi dengan baik.


Ramai daripada kita mungkin pernah mengenakan sehelai pakaian yang dijahit oleh ibu menggunakan mesin jahit Singer. Ingat lagi pada lagu korporatnya yang berbunyi '...Singer, Menawan Keluarga Bahagia.'.

Cukup nostalgik, bukan? Bagi Lim Cheng Hoe, 50, apresiasinya terhadap mesin jahit Singer melampaui kata-kata. Dia merupakan pemilik kepada lima buah mesin jahit antik Singer dengan tiga daripadanya dihasilkan sekitar tahun 1870-an.


LIM CHENG HOE


Antara tiga mesin jahit tersebut, salah satu daripadanya telah mengharumkan nama beliau pada tahun 2006 apabila dipilih sebagai mesin jahit antik Singer yang tertua dan masih berfungsi di Malaysia. Diperbuat pada tahun 1877, mesin jahit antik Singer yang cukup bernilai ini berwarna hitam dengan kemasan hiasan emas yang signifikan pada ketika itu.

Berusia 132 tahun pada tahun ini, mesin jahit antik Singer itu tidak mempunyai nombor siri tetapi memiliki kod yang berhuruf ringkas. Keunikan itu hanya ada pada mesin jahit Singer yang dikeluarkan lama dahulu termasuk mesin kelas 15 seperti yang dimiliki oleh Cheng Hoe.

Menurutnya, beliau memperoleh mesin jahit itu dari sebuah kedai antik di Pulau Pinang kira-kira 15 tahun lalu. Dibeli dalam lingkungan harga RM2,000, Cheng Hoe dengan serta-merta mampu menghargai nilainya sebaik sahaja matanya 'melekat' pada objek kecil itu.

"Manakan tidak, Singer adalah jenama mesin jahit yang terawal bertapak di negara ini. Malah, kemungkinan besar mesin jahit yang berusia lebih seabad ini dibawa masuk oleh orang British.


PENGURUS Besar Singer (M) Sdn. Bhd., Ng John Kit menunjukkan potret kegemilangan mesin jahit Singer.


"Jika terlepas, pasti menyesal kemudian hari," ujarnya yang menambah ia datang dengan bekas membulat yang diperbuat daripada kayu dan merupakan satu lagi ciri utama yang menjadi kebanggaan sulung di seluruh dunia.

Dahulu, mesin jahit Singer juga adalah satu-satunya jenama pengeluar yang dijual dengan bekas membulat yang mempunyai logo tertera di ruang hadapan. Hari ini, aspek-aspek itu dianggap sebagai penambah nilai kepada kualiti dan mutunya yang tiada tandingan.

Percaya atau tidak, kesemua mesin jahit antik Singer yang dimiliki oleh Cheng Hoe masih berfungsi dengan baik. Tidak kira sama ada untuk memperbaiki seluar yang terlucut benangnya atau menjahit sehelai langsir. Isteri Cheng Hoe, Wong Yin masih menggemari mesin jahit tersebut.

Bagaimanapun, setelah memenangi mesin jahit Quantum Futura daripada unit rangkaian terbaru Singer bersempena dengan kemenangan suaminya dalam pertandingan yang disertai pada tahun 2006, Wong Yin buat pertama kali 'berpindah' tangan.


DAHULU, roda ini dipusing dengan tangan untuk menjahit.


Namun, menurut Cheng Hoe, isterinya mendapati mesin jahit tua itu lebih mudah dikawal, tidak mengelirukan dengan butang dan teknologi yang canggih dan yang paling penting, ia mengimbau kembali seribu satu kenangan manis buat seisi keluarga.

"Bagi saya, mesin jahit antik Singer adalah sebuah model yang sangat cantik. Ramai yang cuba tawar-menawar dengan nilai yang dianggap berpatutan tetapi saya menolak dengan baik.

"Bayangkan, jika saya setuju dan sebaik sahaja terima bayaran, model berusia 132 tahun ini akan lenyap dari pandangan saya untuk selama-lamanya. Saya tidak sanggup kehilangannya!" ujar Cheng Hoe dengan penuh sentimental.

Mesin jahit antik Singer ini begitu utuh sehinggakan ia tidak pernah mengalami kerosakan atau baik pulih yang menelan belanja besar. Jika adapun, hanya jarum penjahit yang patah.

Bagi memastikan keluarganya mengetahui nilai sebenar mesin-mesin jahit antik Singer, Cheng Hoe tidak pernah menyembunyikan harga yang dibayar ketika membelinya dan harga pasaran semasa. Malah, beliau tidak keberatan memberinya kepada anak-anak jika mereka berkongsi keghairahan yang sama.


WALAUPUN telah berusia, namun mesin jahit ini masih tahan lasak dan berfungsi seperti biasa.


Selain itu, minat Cheng Hoe mengumpul barangan antik sejak 20 tahun lalu, membolehkan beliau memiliki pelbagai jenis barangan mekanikal yang disimpan di rumah abang dan bapanya, selain di rumahnya sendiri di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Mesin taip, telefon, jam dinding, radio, dan pemain piring hitam adalah sebahagian daripada koleksi berharga yang disamakannya dengan nilai sebuah banglo.


ANTARA hasil yang diperoleh daripada mesin jahit Singer.


"Biasanya, saya suka mengunjungi kedai antik semasa bercuti di dalam atau luar negara. Setiap kunjungan menemukan saya dengan barangan antik yang baru berbeza dengan tempat-tempat pelancongan yang serupa selepas beberapa tahun.

"Secara peribadi, saya cepat tertarik kepada sesuatu barangan yang masih bergerak atau berfungsi walaupun telah berusia ratusan tahun. Sudah tentu bahan dan alat ganti yang diguna pakai ketika itu sangat lasak dan tahan lama," ujarnya yang sanggup menabung sekiranya tertarik pada sesuatu barangan antik.


STRUKTUR mesin jahit Singer yang terawal.


Lagipun, apa sahaja yang berkaitan dengan antik akan mengungkapkan aktiviti pelaburan yang berbaloi.

Cheng Hoe yang telah bersara sebagai pengurus dalam sektor kargo dan pengangkutan enam tahun lalu, berkata, beliau akan meneruskan hobi itu.

"Ramai yang mengumpul mesin jahit antik Singer kerana ia ringan, mudah diangkut dan disimpan dengan selamat."

Satu lagi mesin jahit antik Singer yang dibawa bersama pada sesi fotografi adalah mesin jahit yang bertatahkan Mother of Pearl atau mutiara mewah. Mesin jahit ini dibeli dari Munich, Jerman.

Ditanya apakah nasihatnya kepada pengumpul yang berpotensi mencari barangan antik seperti mesin jahit, Cheng Hoe berkata: "Baca sejarah pembuatan dan selok-belok keunikannya dan bandingkannya dengan unit atau jenama lain."