Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

19 Mei 2009

Fikirkan kedudukan Melayu sewaktu gubal dasar negara


TULISAN Awang Selamat bertemakan "Jagalah Hati Melayu" dalam Mingguan Malaysia kelmarin sepatutnya direnung bukan sahaja oleh pemimpin UMNO tetapi seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Bagi Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), tulisan itu merupakan satu anjuran yang berani dan ditunggu-tunggu oleh orang Melayu. Harapan kami terlalu menggunung agar pemimpin UMNO tidak melupakan saraf tunjang politik BN dan Malaysia iaitu kaum Melayu.

KPPM bersetuju bahawa kebimbangan Awang Selamat itu amat berasas. Pernah diberitakan pada suatu ketika, Allahyarham Tun Razak membuat penegasan bahawa "tidak semua yang baik untuk Melayu itu baik untuk negara, dan tidak semua yang baik untuk negara itu baik untuk Melayu".

Dalam memahami pengertian yang cuba dibawakan oleh Tun Razak tersebut ke dalam situasi politik negara hari ini, KPPM senada dengan Awang Selamat. Orang Melayu perlu dirundingi secara tersurat dan tersirat dalam apa-apa penentuan dasar dan hala tuju yang ingin dibawakan oleh kepimpinan baru UMNO.

Sudah pastilah kenyataan Awang Selamat itu perlu difahami sebagai tidak bertentangan dengan semangat perubahan semasa yang ingin dibawakan oleh saf kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti mana Awang Selamat yang berhujah mengenai berkurangnya sokongan bukan Melayu pada pilihan raya kecil, rekod penyelidikan KPPM juga menunjukkan hal yang sama. Keadaan ini bukan dicirikan oleh perkauman tetapi disebabkan manfaat ekonomi.

Untuk menjelaskan keadaan ini, eloklah sekiranya diberikan contoh peranan UMNO dan Pas di negeri Kelantan berbanding peranan parti-parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahu pun BN dalam tata permainan politik semasa.

Di Kelantan, ada pandangan mengatakan UMNO lebih selesa berada dalam keadaan tewas berbanding menang. Alasannya disebabkan "saluran ekonomi" kepada penggerak di peringkat bahagian dan cawangan akan lebih terfokus berbanding sekiranya UMNO menang di peringkat negeri.

Bagi Pas Kelantan pula, mereka tetap selesa dalam keadaan menang apabila bantuan dari kerajaan Pusat dalam bentuk kewangan tetap diteruskan dalam usaha memujuk rakyat negeri itu.

Itulah resipi kekalahan UMNO dan kemampuan Pas bertahan hampir 20 tahun di Kelantan. Jika dibandingkan, peranan berkenaan tiada bezanya dengan parti-parti dominasi Cina atau India pada masa ini.

Dalam apa pun keadaan, mereka mengandaikan mereka akan dilayan dengan istimewa oleh kerajaan BN atas dasar keperluan ekonomi mereka akan sentiasa dipenuhi. Siri pilihan raya kecil telah membuktikan fakta ini. Tanpa membezakan kedudukan parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahupun BN.

Pada pandangan KPPM, sudah sampai masanya UMNO memilih jalan tengah, iaitu kembali ke perjuangan asal.

Hentikan pujukan. Sesekali cuba kaedah 'tumbukan' pula. Atau tukar strategi, lebih pujukan kepada Melayu sebagai saraf tunjang dan sesekali beri 'tumbukan' kepada parti politik bukan Melayu. Lihat implikasinya dan bandingkan dengan keadaan UMNO semasa yang seolah-olah menghadapi dilema terlalu besar dalam menentukan arah tujunya.

Akhirnya elok sekali lagi direnung tulisan Awang Selamat, "UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan.

UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan. Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara. Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu."

UMAR ZAIN

AJK Kelab Penyelidikan Politik Malaysia