DALAM Mingguan Malaysia (17 Mei 2009) Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa sedihnya akan apa yang sedang berlaku dengan umat Melayu dan agama Islam yang sering difitnah, dimomokkan dan dihina kerana bangsa Melayu kini lemah.
Kesedihan Tun Mahathir ini dirasai juga oleh kebanyakan golongan profesional Melayu. Penghinaan dan fitnah yang berleluasa mengenai Melayu dan agama Islam berlaku kerana umat Melayu sudah hilang identiti bangsanya sendiri dan menjadi satu bangsa yang lupa kepada asal usul dan kedudukan mereka di bumi sendiri.
Bangsa Melayu mudah lupa dan sudah menjadi umat yang tidak tahu bersyukur akan nikmat yang Allah kurniakan. Sudah tidak tahu mengiktiraf sesama insan yang seagama. Sudah terlalu angkuh dengan diri sendiri serta terlalu bangga dengan pencapaian dulu.
Ini ditambah pula apabila Melayu sebagai umat Islam yang terbesar di negara ini berpecah-belah.
Bangsa Melayu berpecah kerana perbezaan ideologi politik. Orang Melayu sudah tidak percaya pada diri sendiri bahawa mereka mempunyai kiblat yang sama yang boleh menggabungkan mereka iaitu Islam.
Islam adalah agama suci; agama penyatuan, agama yang adil dan saksama untuk semua umat manusia.
Apa yang berlaku adalah Melayu sibuk mencari kekuasaan dan pengaruh sehingga apabila ada isu besar mengenai bangsa dan agama, maka ada Melayu sudah tidak berani lagi tampil ke hadapan untuk mempertahankan kedudukannya sebagai bangsa induk negara ini dan umat yang menganuti Islam sebagai agamanya.
Melayu sanggup berkompromi dan mengalah serta sanggup melonggarkan kepentingan bangsa dan agama Islam hanya untuk memenuhi hasrat dan cita-cita golongan tertentu kerana mereka adalah penentu kepada sesebuah pemerintahan.
Mencapai cita-cita ideologi parti politik masing-masing lebih utama daripada mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam.
Sebab itu apabila Melayu sudah boleh dipecah-belahkan dan dicipta perbalahan antara mereka, maka ada kumpulan akan menangguk di air keruh dan memastikan perbalahan itu dan berterusan.
Melayu harus sedar mengenai apa yang lebih penting dan menjadi keutamaan. Mereka harus memilih sama ada penyatuan umat Islam atau mengejar cita-cita dan kepentingan politik masing-masing.
Selagi Melayu tidak boleh membuat satu pilihan tepat, selagi itulah Melayu akan lemah dan penghinaan ke atas umat Islam akan berterusan.
Keadaan bertambah parah apabila orang Melayu sendiri sanggup mengkhianati bangsa kerana kerakusan mendapatkan kuasa. Maka kepentingan rakyat digunakan dan dijadikan slogan demi cita-cita peribadi.
Dalam keadaan yang kelam-kabut ini, maka ada golongan yang akan mengambil kesempatan. Suara-suara lantang akan kedengaran demi golongan mereka; demi kesamarataan dan kesamaan.
Penulis percaya 1Ummah adalah satu proses yang digeruni oleh sesetengah golongan kerana jika ini berlaku maka mereka akan kehilangan kuasa dan pengaruh.
Proses pembohongan mereka tidak lagi dimamah oleh umat Islam dan ini akan membuatkan mereka tidak relevan lagi.
Apa pun, majoriti umat Islam di negara ini yang tidak mempunyai kepentingan politik mahukan 1Ummah menjadi realiti. Islam menjadi asas perpaduan dan hapuskan perbezaan ideologi politik yang merugikan umat Islam secara keseluruhannya di negara ini. Oleh itu buatlah pilihan yang tepat wahai pemimpin umat Islam.
PENULIS ialah penganalisis politik.