Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mei 2009

Melayu tak minat IT?


Oleh Suliati Asri



BIDANG teknologi maklumat (IT) bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya anda boleh berjaya jika rajin berusaha.

BIDANG teknologi maklumat (IT) bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya anda boleh berjaya jika rajin berusaha.

Hakikatnya, bidang ini dipelopori bangsa Cina dan India. Di mana kelibat anak-anak Melayu?


Anak Melayu berkebolehan, cuma kurang pendedahan menyebabkan mereka gagal menunjukkan bakat.

Kita dapati kebanyakan anak Melayu berkecimpung dalam bidang pengurusan berbanding sains komputer. Mereka menganggap bidang ini sukar dipelajari.

Ada juga segelintir pelajar Melayu terlalu mengambil mudah dalam memilih sesuatu jurusan. Mereka hanya memilih bidang yang mudah lulus atau program popular. Sejauh manakah kebenarannya?

Persoalan sukar tidak perlu timbul di kalangan pelajar Melayu kerana mereka perlu sedar setiap perkara yang baru dipelajari akan diperkenalkan daripada akar umbi dahulu dan bukannya terus ke puncak.

Ini bermakna, bidang sains komputer itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipelajari jika bermula dari peringkat asas.

Pakar dalam bidang ini juga perlu mempunyai idea untuk menarik minat masyarakat dalam mendalami bidang ini terutama dalam bidang pengaturcaraan.

Mereka perlu didedahkan betapa pentingnya bidang ini untuk bersaing dalam dunia yang semakin maju seiring teknologi global.

Masyarakat perlu didedahkan dengan skop kerjaya dalam bidang ini supaya mereka dapat berpandangan lebih jauh.

Mereka juga mesti mengambil kira aspek kehendak semasa dan skop kerjaya yang luas dan mampu membantu mengubah corak hidup mereka jika menguasai bidang berkenaan.

Kepentingan dan permintaan dalam industri ini yang sangat ketara malah mudah menjadi perhatian majikan, cuma mereka perlu diberi penerangan jelas untuk mendekatkan diri mempelajari bidang pengaturcaraan.

Selain itu, ada berpendapat, anak Melayu kurang berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat kerana faktor kewangan.

Keupayaan memiliki komputer menjadi satu perkara yang amat sukar. Namun, fakta mendapati kebanyakan pengunjung setia pusat siber adalah remaja Melayu.

Mereka sanggup membayar untuk tujuan 'chatting' dan permainan interaktif. Ini membuktikan mereka bukanlah golongan naif mengenai teknologi, cuma kurang usaha mempelajari dan mendalami bidang IT.

Mereka takut meneroka perkara yang lebih berfaedah sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan hingga ke tahap penyelidikan dan penghasilan teknologi itu sendiri.

Kita boleh mencontohi India. Walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mereka mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport negara maju.

Hakikatnya, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengaturcara di kalangan anak Melayu.

Penerangan perlu diberi terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang dan tidak hanya dalam bidang sains komputer sahaja.

Masyarakat juga perlu diberi penerangan mengenai pengaturcaraan dan potensinya. Tidak mustahil suatu hari nanti peratus bilangan anak Melayu dalam bidang ini berada pada tahap membanggakan jika masalah ini dipandang serius dan diberi pendedahan meluas.

Pengaturcara Institut Generasi, Basok Aizan, berkata pihaknya menyedari hakikat itu dan terpanggil untuk membantu membimbing anak Melayu dalam bidang IT.

Malah, Institut Generasi merangka program bersesuaian untuk menarik minat pelajar Melayu mengikuti kursus ditawarkan.

Beliau berkata, setakat ini, program yang ditawarkan ialah Pengurusan Sistem Maklumat, ASP.Net, Teknologi Maklumat, Internet Marketing, VB.Net, SQL Database dan Rangkaian Komputer.

"Kami memberi jaminan kualiti terhadap program yang ditawarkan, malah di pantau NOSS (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan) iaitu badan yang menyelia kualiti mutu mata pelajaran.

"Kemudahan makmal kami dilengkapi teknologi terkini iaitu menggunakan 'Prosessor Dual Core' dengan keupayaan hardisk yang tinggi.

"Ini membolehkan pembelajaran dijalankan dengan lancar," katanya.

Menurutnya, antara lain kelebihan di institut itu ialah memberi ilmu kepada pelajar dalam latihan kemahiran yang mirip amalan kerja sebenar.

"Kami menyediakan jadual waktu kepada pelajar mengikut kesesuaian masing-masing sama ada secara sepenuh masa, separuh masa dan pendidikan jarak jauh (PJJ).

"Ini membolehkan pelajar dapat menguruskan jadual tanpa mengganggu aktiviti kerja mereka," katanya.



>Info

Institut Generasi mempelawa individu yang ingin memperoleh kemahiran dan berdaya maju dalam bidang pengaturcaraan, menceburi bidang profesional di institut itu.

Pengambilan hanya dibuat setahun sekali dan pendaftaran dibuka sekarang. Maklumat lanjut mengenai kursus di Institut Generasi, hubungi 03-20704081 atau datang terus ke Institut Pendidikan Generasi di alamat, 51-53 Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur (berhampiran LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur).