Material kain yang diperoleh dari Singapura katanya, adalah lebih kreatif dan pelbagai coraknya. Begitu juga dengan kain kapas import dari Jepun.
SELAIN perlu memerah otak bagi mendapatkan ilham, pensyarah Yue Jun Mei, 24, harus sentiasa peka. Peka bukan pada kecenderungan orang meniru hasil karyanya tetapi sensitif mengesan tempat menjual aneka tekstil.
Tabiat peliknya ini bermula sejak dia berjinak-jinak dengan hobi unik membuat bantal pada Oktober lalu. Bantal buatan tangannya itu hadir dalam pelbagai warna dan tekstur kain.
Cukup serius dengan hobi tersebut, gadis berbintang Aquarius ini sanggup melanjutkan aktiviti 'mencari kain' sehingga ke kota Singa.
"Dulu, kalau membeli-belah saya cari pakaian. Sekarang, sasaran saya ialah kain. Sebabnya, hampir setiap rekaan bantal saya guna sekurang-kurangnya dua kain berwarna.
"Jika nak tonjolkan karakter bantal haiwan itu, dua atau tiga warna dan rekaan kain lebih relevan," katanya kepada Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.
Pada kebiasaannya, kain kanvas putih akan digunakan sebagai tekstil asas rekaannya. Selebihnya, Jun Mei lebih cenderung memilih kain berwarna lembut atau pastel. Warna-warna ini jelasnya, lebih sesuai dengan 'jiwa' bantal yang bersifat feminin dan selesa dipandang.
Biarpun selesa membuat pilihan kain mengikut warna dan motif, realitinya, dia tidak mengenali jenis material.
"Kalau kain kapas, saya tak ada masalah. Tetapi, jika awak minta saya mengecam jenis kain, saya memang tak reti. Itu kenyataan. Saya tak rasa malu pun.
"Cuma, saya agak bernasib baik. Sebabnya sebagai pelukis, saya ada sense of colour and design. Jadi, tak timbul isu dari aspek kombinasi warna dan rekaan," jelasnya bersungguh-sungguh.
Material kain yang diperoleh dari Singapura katanya, adalah lebih kreatif dan pelbagai coraknya. Begitu juga dengan kain kapas import dari Jepun.
Setiap kali mendapatkan stok kain baru, Jun Mei bagaimanapun hanya membeli tidak lebih daripada semeter atau dua meter. Lebihan kain yang digunakan akan dihantar ke sebuah kedai butang khas. Di situ, butang-butang custom-made akan dihasilkan.
Selain kain, material kedua penting dalam hasil kerja Jun Mei sudah tentu adalah butang. Butang-butang besar dan kecil inilah yang berfungsi mencorakkan jiwa dan ekspresi kesemua rekaan bantalnya.
"Saya hanya guna butang kayu atau berkain kapas dan berona ala-ala tanah. Ini (sambil menunjukkan sebiji butang plastik) nampak pula sangat artifisial. Tidak sesuai dengan produk saya," katanya yang hanya menggelarkan diri sebagai penjahit amatur.
Setiap produk bantal berjenama Beanipet Jun Mei didatangkan dengan surat arahan cara penjagaannya. Tidak boleh direndam tetapi dibenarkan bersidai di bawah cahaya terik sekali seminggu.
Cuma pesannya, jangan sesekali mencampak Beanipet yang sepatutnya ditatang bagaikan minyak penuh. Sebabnya, setiap bantal buatan tangannya lahir daripada perasaan kasih dan sayang terhadap hobinya itu.
Koleksi produk sulung Jun Mei pernah dipamerkan di bazar Art for Grab di Galeri Annexe, Pasar Seni pada Disember lalu. Biarpun hanya mempertontonkan sekitar 10 produk kepada umum, tujuh daripadanya berjaya menemui 'pemilik' baru.
Kejayaan awal ini secara tidak langsung telah menyuntik semangat untuknya meneruskan hobi kecil tersebut. Ia juga petanda Beanipet bakal menjadi lebih popular selepas ini.