Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mei 2009

Menggilai sukan permotoran


Walaupun masih diancam beberapa siri keganasan, namun sukan permotoran di Baghdad kembali menunjukkan taringnya.


SUKAN permotoran kembali menghangatkan kota Baghdad.


WALAUPUN helikopter pemantau milik tentera Amerika Syarikat (AS) sedang berlegar-legar di ruang angkasa, namun peminat motor di Baghdad tetap setia menumpukan perhatian mereka.

Mata terus difokus pada enjin kereta yang semakin kuat derumannya dalam satu perhimpunan yang mungkin tidak pernah terfikir diadakan beberapa bulan lalu.

"Mereka menggelar saya Special Hunter," kata Essam Khamtan dengan bangga sambil menunjukkan gelarannya yang dipamerkan di bahagian belakang tayar keretanya.

Kesemua yang mengelilinginya pada pertemuan anjuran persatuan sukan permotoran Iraq yang kembali dihidupkan itu adalah berdozen-dozen kereta yang siap berbaris.

Segala-galanya daripada Bimmers hitam hinggalah kereta Honda Civic berwarna merah dengan pelekat yang memaparkan lambang Ferrari iaitu kuda hitam yang gah.

Meskipun beberapa siri letupan kereta baru saja berlaku di Baghdad, peringatan terhadap keganasan yang diikuti operasi ketenteraan oleh AS ke atas Iraq enam tahun lalu, pertemuan tersebut merupakan petanda baik mengenai peningkatan kawalan keselamatan.

Malah, ramai penduduk mengatakan mereka telah melihat perkembangan positif itu baru-baru ini.

Ratusan lelaki muda memenuhi kawasan pertemuan tersebut dengan gaya tersendiri untuk menyaksikan pertunjukan sukan permotoran yang diketuai oleh Khamtan.


SALAH satu kenderaan yang telah diubahsuai turut mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan.


Khamtan pula mengambil masa dua tahun untuk melakukan persediaan keretanya yang digelar Lion of Baghdad. Dia menekan pedal minyak kereta BMW miliknya di sebuah garaj di kota Baghdad.

Kebanggaan dan keseronokannya kini ditumpahkan di tempat duduk kenderaan tersebut yang diimport dari Jordan.

Sejak mengubahsuai kenderaan tersebut, Khamtan telah menyertai beberapa rakyat tempatan untuk mempamerkan rekaan mereka di tempat meletak kenderaan di tebing Sungai Tigris.

"Saya merupakan pelarian di Jordan sejak tahun 2005 hingga 2007," ujar Khamtan mengimbas kembali apabila rumahnya yang terletak di daerah Dora, barat daya Baghdad diasak dari semua arah oleh keganasan akibat perbezaan, militan, tentera AS, Al-Qaeda di Iraq dan pemberontak.

"Apabila merasakan diri terancam, saya dan isteri mengambil keputusan melarikan diri," kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Dalam perjalanan pulang ke Baghdad apabila keganasan dan persengketaan mula berakhir, Khamtan memulakan kerja mengubahsuai keretanya.

"Saya telah membelanjakan AS$1,000 (RM3,580) dua minggu lalu untuk membetulkan beberapa bahagian kereta itu dan inilah hasilnya," tutur Khamtan sambil tersenyum bangga lantas menunjukkan cermin belakangnya yang memaparkan bendera Iraq dalam bentuk seekor singa.

Ahli-ahli persatuan itu kini mengadakan pertemuan pada setiap hari Jumaat minggu pertama untuk berlumba dan sebagainya.

"Kami terpaksa berhenti pada tahun 2004 kerana situasi ketika itu terlalu bahaya. Malah tentera militan juga menentang aktiviti sebegini," jelas Messar yang merupakan salah seorang wakil penganjur.


KREW Kelab Autosport Iraq siap sedia melepaskan kenderaan untuk diambil kira catatan masanya.


Messar datang dengan kereta Porsche Carrera berwarna ungu, walaupun tidak mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan.

Menurutnya, di bawah pemerintahan Saddam Hussein, terdapat sekitar 20 buah kereta Porsche Carrera di Iraq.

"Sepuluh daripada jumlah tersebut dimiliki oleh anak beliau, Uday," tambahnya.

Pemandangan sedemikian di jalanan kota Baghdad amat jarang tetapi peperangan dan akibatnya menunjukkan pertambahan besar terhadap penggunaan kenderaan pacuan empat roda berkuasa tinggi. Jentera empat roda banyak digunakan firma-firma keselamatan untuk membersihkan jalan yang musnah akibat letupan.

Walaupun penduduk di Baghdad sering memandu laju dan mengubah lorong secara tiba-tiba, tetapi mereka tahu mereka perlu memandu dengan baik di hadapan konvoi tentera AS dan masih bimbang terhadap serangan.

Insiden terbaru paling teruk melibatkan enam buah kereta yang dibom dan membunuh sekurang-kurangnya 34 orang dan mencederakan hampir 140 yang lain pada tarikh 6 April lalu.

Bagaimanapun, situasi tersebut langsung tidak dihiraukan oleh Ali Mohamed, seorang lelaki puak Kurdis berusia 41 tahun yang baru saja siap mengubahsuai Nissan ZX keluaran tahun 1991 dan dipamerkan dalam pertemuan itu.

"Kami telah berjumpa kementerian sukan dan kementerian pelancongan. Mereka memberi keizinan untuk kami berkumpul di sini. Kini, kami hanya memerlukan wang dan pihak penaja untuk meneruskan aktiviti ini," tambahnya