Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 September 2009

Kebun sayur dalam hote

l




MUNGKIN ramai yang bersetuju jika dikatakan kegiatan bercucuk tanam merupakan aktiviti yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika ia membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Tidak kira sama ada ruang yang disediakan itu tidak luas atau sebaliknya, namun disebabkan minat dan menyahut seruan bumi hijau akhirnya ia terlaksana jua.

Begitulah inisiatif Pengurus Besar Hotel Eastin, Anthony Ang yang cukup bersemangat menggunakan ruang bersebelahan kolam renang hotel tersebut untuk dijadikan Taman Mini Botani.

Taman mini

"Taman mini ini dilaksanakan ketika awal tahun 2008. Memandangkan kita sudah biasa melihat pokok-pokok bunga, jadi apa salahnya kita mencari kelainan dengan menanam sayur-sayuran.


BELIMBING buluh antara pokok yang ditanam di Taman Mini Botani Hotel Eastin.


"Lagipun kebanyakan generasi masa kini tidak berpeluang melihat hasil tanaman seperti sayur-sayuran serta buah-buahan yang lazimnya di tanam di kampung-kampung," katanya ketika di temui di Hotel Eastin, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketika meninjau seluruh tanaman itu, apa yang dapat disimpulkan ialah idea yang dicetuskan itu sebenarnya memberi impak positif kepada bidang perhotelan. Ia mungkin boleh diibaratkan lain daripada yang lain.

Ini kerana kewujudan taman itu telah menambat hati para penghuninya untuk singgah sebentar. Rimbunan pokok kacang buncis yang mula menjalar di sulur pagar membuatkan anda seolah-olah berada di kebun sayur-sayuran.

Menariknya, sesiapa saja berpeluang memetik hasil tanaman yang terdapat di situ.

Kebun tersebut juga diwujudkan untuk para penghuni hotel yang berminat untuk mengutip hasilnya.

"Kita memang tidak hadkan sesiapa yang ingin mengambil hasilnya. Malah kita juga ada memetik cili di kebun ini untuk kegunaan bahagian dapur hotel," jelasnya.

Dalam pada itu Anthony memberitahu, tidak sukar untuk memupuk sikap gemarkan tumbuhan hijau kepada orang ramai. Menurutnya, alasan seperti tidak mempunyai ruang yang sempurna sememangnya salah.

Bercucuk tanam

Baginya, bercucuk tanam boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pelbagai cara boleh digunakan sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.

Sekalipun seseorang itu tinggal di pangsapuri atau rumah yang tidak mempunyai kawasan tanah yang luas, sayuran boleh ditanam sama ada di dalam pasu, polibag atau di dalam bekas plastik kitar semula.

"Selain dapat mengekalkan kesegaran sayur-sayuran, ia juga dapat membantu memelihara nutrien dan mewujudkan persekitaran yang menari," tambahnya.


NUIKG WIN menyiram tanaman di Hotel Eastin.


Menurut Ang, tidak sukar melakukan kerja-kerja penanaman kerana jenis tanaman sebegitu tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Cukup sekadar menyiramnya setiap hari dan membaja dua minggu atau sebulan sekali, itu sudah memadai untuk mendapatkan tanaman hijau yang subur di kediaman anda.

Antara sayur-sayuran yang boleh anda lihat di Taman Mini Botani Hotel Eastin ialah cili, kacang buncis, jagung, limau kasturi, pisang, kacang botor, kedondong, petola, timun dan daun kari.

"Kami hanya menyediakan dua orang pembantu bagi menjaga seluruh tumbuhan di kawasan ini termasuk sayur-sayuran yang di tanam. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan pokok-pokok di sini tumbuh segar," ulasnya.

Perancangan

Apakah perancangan akan datang beliau?

"Buat masa ini tanaman tersebut akan dikekalkan begitu sahaja dan hanya pertambahan dari segi jenis sayuran yang ditanam," kata Ang.

Beliau juga tidak berhasrat untuk menjadikan ruang hotel itu sebagai kebun yang besar, memadai sekadar mempelbagaikan tanaman.

"Hasrat saya cuma ingin menanam lebih banyak pokok buah-buahan yang bersaiz sederhana sesuai dengan keluasan tanah yang terhad di Hotel Eastin.

"Ia bertujuan memberi pendidikan dan mengenang semula kenangan silam yang telah dilupakan oleh generasi masa kini," katanya.

Iklim

Disebabkan iklim negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun menyebabkan ia amat sesuai untuk menanam sayur-sayuran, buah-buahan dan pokok ulam-ulaman.


HOTEL EASTIN menyemai minat bercucuk tanam dalam kalangan orang ramai.


Apakah tanaman yang sesuai ditanam di kawasan yang sempit? Jelas Ang, aktiviti seperti Kempen Bumi Hijau dilaksanakan berlandaskan konsep edible landscape dankitchen garden.

Katanya, edible landscapeialah penggunaan bahan tanaman makanan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan herba yang ditanam secara serentak dan dijadikan sebagai landskap.

Sementara itu, tanaman berkonsepkan kitchen garden melibatkan bahan tanaman makanan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan herba di dapur rumah.

Tujuan penanamannya pula dikhususkan untuk kegunaan harian iaitu sebagai bahan masakan atau digunakan terus oleh surirumah.

Jenis sayuran lain yang digalakkan dan mudah ditanam ialah bendi, sawi, bayam, terung dan kangkong serta ulam-ulaman dan rempah ratus seperti ulam raja, pegaga, daun kari, kunyit, pokok pandan dan lain-lain.