Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 September 2009

Tradisi balik kampung



HENTIAN bas seperti Puduraya di Kuala Lumpur dan terminal bas Inanam, dekat Kota Kinabalu sesak dengan orang ramai yang mahu balik ke kampung sempena Aidilfitri.


PADA minggu lalu, lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad terasa bagai dinyanyikan di dalam jiwa ramai penghuni di kota raya Kuala Lumpur.

Seperti tahun-tahun lalu, sehari dua sebelum Aidilfitri, jalan-jalan menghala keluar dari bandar-bandar utama di negara ini akan sesak dengan kenderaan yang membawa ribuan penghuni kota untuk 'balik kampung.'

"Balik kampung sudah menjadi satu budaya bagi rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja pada hari raya tetapi juga perayaan lain seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali dan melibatkan semua bangsa," kata bekas pendidik, Fatimah Mansur.

Kata beliau, balik kampung kini telah bertukar menjadi satu fenomena.

"Cakap saja balik kampung, satu transformasi akan menyelinap ke dalam jiwa anda," katanya lagi.

Hakikatnya, balik kampung adalah satu perkara yang memenatkan. Terdapat kesesakan jalan yang teruk, kemalangan termasuk kemalangan maut, selain kos yang tinggi dari segi pengangkutan.

Jadi, kenapa perlu balik kampung dan kenapa tidak menyambut hari raya di kota sahaja.

"Masyarakat kita memang gemar menziarahi kaum keluarga dan berjumpa mereka secara langsung, bukan hanya bercakap melalui telefon atau berkomunikasi melalui e-mel atau teknologi yang lain.

"Balik kampung adalah satu proses mengeratkan pertalian keluarga," kata Fatimah.

Bagi jururawat Elizabeth Choo, Aidilfitri adalah untuk semua.

"Hari raya merupakan cuti umum. Kalau boleh, kita semua baliklah ke kampung untuk berjumpa orang tua. Mereka agak sukar datang ke sini. Bila lagi, sebab pada hari lain, kita sibuk bekerja," kata Choo yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Penulis masih ingat pada tahun 1982, ketika masih seorang mahasiswa di sebuah universiti di Kuala Lumpur, penulis terpaksa duduk di lantai gerabak kereta api kelas tiga untuk 'balik kampung' kerana ingin menyambut hari raya bersama ibu di Pasir Mas, Kelantan.

Semuanya kerana tiket bas kehabisan. Untuk naik kapal terbang, jauh sekali kerana penulis tidak mampu. Ketika itu, perkhidmatan bas tidak banyak dan sebaik yang ada sekarang.

Kini, untuk balik kampung sahaja, beratus-ratus bas yang selesa serta berhawa dingin disediakan. Tak cukup lagi, beratus permit bas sementara juga disediakan oleh pihak berkuasa pengangkutan.

Naik kapal terbang untuk balik kampung juga kini menjadi satu kemudahan untuk semua.

"Naik kapal terbanglah pakcik, sekejap jer...,tambang pun tak mahal," kata seorang pelajar universiti, Nurul Huda, bila ditanya penulis bagaimana beliau hendak balik kampung.

"Dulu, kalau mahu pulang ke Sabah untuk sambut raya, kosnya cukup mahal dan susah. Tetapi tidak lagi sekarang," kata Surami Saimi dari Penampang, Kota Kinabalu.

Tiga dekad yang lalu, hanya syarikat penerbangan MAS yang beroperasi. Kini, telah wujud syarikat penerbangan tambang murah seperti Firefly dan AirAsia yang boleh menerbangkan anda ke mana-mana sahaja destinasi di dalam dan luar negara.

Bagi yang memilih untuk naik kereta api, perjalanan mereka juga selesa kerana semua koc KTMB mempunyai pendingin hawa serta kerusi yang bernombor.

Jadi, bukanlah satu kerumitan untuk balik kampung dan menemui sanak saudara di musim perayaan ini.