SEBAGAI destinasi pelancongan global, Malaysia menerima limpahan kemasukan warga asing melalui proses mudah seperti ‘visa sewaktu ketibaan’ (VOA). Limpahan ini ternyata kemudian mengundang padah kerana ramai rakyat asing ini mengambil kesempatan di atas ‘keterbukaan pintu’ oleh kerajaan kita.
Sebahagian daripada mereka ingin terus berada lama di negara ini, mungkin kerana seronok dengan budaya ‘tidak kisah’ rakyat kita atau kerana Malaysia sememangnya lubuk yang menjanjikan banyak ikan. Memang, telah ramai rakyat Malaysia dijadikan ikan oleh mereka yang berkepentingan jenayah ini.
Tinggal lebih masa (over stay) bukan lagi dilihat sebagai kesalahan serius bagi warga asing yang berkunjung ke negara ini untuk tujuan selain melancong. Jabatan Imigresen pula terpaksa berhempas pulas menjalankan tugas yang tidak sepatutnya. Maka terjadilah episod kejar-mengejar dan sembunyi-intai dalam permainan ‘kucing dan tikus’ ini, dan tikus selalunya terlepas.
Saya utarakan perkara ini kerana bimbang akan berlaku lebih banyak fenomena sosial melibatkan rakyat negara ini. Kebimbangan ini berasaskan kepada lebih 30 kes gadis tempatan diperdaya dan dipergunakan oleh warga asing untuk melakukan aktiviti jenayah, di dalam dan luar negara. Ratusan kes lagi melibatkan jenayah perdagangan oleh warga asing ini.
Di Australia, New Zealand, Jepun dan China misalnya nama Malaysia memang cukup popular, bukan atas nama Destinasi Pelancongan Global tetapi kerana gadis-gadis dari negara ini sedang meringkuk di penjara atas kesalahan jenayah, terutama menyeludup dadah.
Jenayah
Banyak lagi jenayah lain melibatkan warga Arab dan warga Afrika ini, menggunakan gadis-gadis tempatan sebagai umpan dan perantara mereka.
Warga asing Arab dan Afrika ini agak tinggi profil perlakuan jenayah mereka. Menggunakan ‘pangkalan lepak’ mereka di lokasi kunjungan ramai seperti Bukit Bintang, Leisure Mall Cheras dan Sunway Subang. Mereka juga memperdayakan gadis-gadis ini di premis hiburan seperti disko, kelab malam dan tidak kurang juga melalui Internet.
Pelbagai janji manis ditabur sehingga ramailah gadis tempatan terperangkap dan akhirnya dilibatkan sama dalam aktiviti jenayah mereka.
Paling ramai terperangkap ialah gadis Melayu dan beragama Islam. Ini kerana gadis kampungan dan kurang pendedahan sosial ini merasakan amat bangga untuk mendampingi jejaka asing, yang pada pandangan mereka lebih gentle berbanding jejaka tempatan.
Berkomunikasi menggunakan bahasa ayam-itik atau broken English gadis-gadis ini dengan mudahnya masuk perangkap, sama ada perangkap ‘cinta’ oleh lelaki Arab dan perangkap ‘wang’ oleh lelaki Afrika. Dua komuniti asing ini walaupun kecil bilangannya tetapi sangat berbahaya kerana kelicikan mereka.
Menyedihkan sekali apabila warga asing yang kita anggap sebagai pelancong yang menjana ekonomi negara ini rupa-rupanya pemangkin keruntuhan moral rakyat tempatan.
Oleh kerana ramai mangsa adalah dari kalangan orang Islam, maka Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melihat perkembangan ini sebagai sangat serius.
Modus operandi warga Arab memerangkap gadis tempatan untuk dijadikan courier dadah dan warga Afrika yang popular dengan kegiatan black money, ‘jongkong emas’, ‘vaksin lembu’ dan bank guarantee ini perlu diawasi.
Mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada industri pelancongan negara, sebaliknya akan membawa pulang hasil kegiatan jenayah mereka di sini pada jumlah yang jauh lebih besar.
Difahamkan sesetengah daripada mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk menipu warganegara asing lain berurus niaga dengan mereka di sini. Ini sudah tentu mencalarkan imej Malaysia di luar negara.
Apa pun jua senarionya, anggota masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membantu pihak penguatkuasaan undang-undang seperti polis dan Jabatan Imigresen mengesan pergerakan dan kegiatan mereka.
Jika dibiarkan berlarutan, kita bimbang akan kesannya ke atas institusi keluarga negara. Lagipun apalah ertinya kita mencari keuntungan dari poket warga asing kalau maruah bangsa turut tergadai.
– JOHARI YA,
Penyelaras Program, PPIM.