Hasil kesusasteraan Melayu yang dianggap terawal ditulis oleh orang Melayu, mengisahkan masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu (tulisan Jawi) ialah Hikayat Raja Pasai. Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja Pasai yang berikut ini:
Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga.
R.O. Winstedt menjangka Hikayat Raja Pasai selesai ditulis pada abad ke-15, Amin Sweeney berpendapat abad ke-14, dan A.H. Hill mengatakan di antara tahun 1383 M hingga 1390 M manakala Hooykaas mendakwa bahawa Hikayat ini seawal-awalnya dikarang sekitar tahun 1350 M.
Pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai yang diusahakan oleh R. Jones (1987) tercatat:
Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.
Tamat hari Isnin, kepada hari
dua puluh sa, kepada bulan
Muharam, sanat za
Hijratul Nabi
1230
Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapu (pu) nagari Demak nagari Bagor, warsa 1742.
Tarikh yang tercatat pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai ini bukanlah bermakna penulisan pertama cerita tersebut, melainkan merupakan salinan daripada beberapa salinan cerita yang terdahulu. Penyalinan ini juga memperlihatkan bahawa ketika itu kesusasteraan Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara.