Bersama: AZMAN ISMAIL
TAHUN baru. Secara rutin, ia bermula selepas tempoh 365 hari (kadang-kadang 366) ketika jarum jam mencecah pukul 12 malam di sebahagian besar belahan bumi ini.
Individu, kelompok mahupun sebuah negara bangsa akan menyebutkannya sebagai Tahun Baru dan menobatkan tarikh 1 Januari sebagai permulaannya.
Banyak cara untuk merayakan ritual ini. Seluruh dunia mempunyai cara dan pendekatan tersendiri untuk menyambutnya. Paling umum ialah tembakan bunga api serta mercun. Ada yang meniup terompet kertas atau plastik.
Malah ada yang lebih ekstrem yang melepaskan tembakan senjata api ke udara serta berarak di jalan-jalan raya - sebuah ritual untuk menyambut pertukaran detik dan pusingan jarum jam!
Sambutan tahun baru sebenarnya tanpa disedari telah membawa kita memasuki perangkap komersial golongan pemodal yang memanfaatkan hedonisme masyarakat. Kita menjadi objek konsumerisme untuk meraya sebuah perubahan detik.
Percaya atau tidak, tahun baru hanyalah sebuah gagasan oleh individu atau kelompok yang berjaya mengkategorisasi waktu kepada tahun sebelum dan selepas (baru).
Pada hal, waktu sebenarnya tidak mengenal perbezaan rupa dan bentuk. Kalau sekalipun ada, ia hanya merupakan sebuah penafsiran terhadap tempoh putaran selepas 365 hari berakhir.
Menjelang sambutan tahun baru, kelompok pemodal mengiklankan produk-produk atau perkhidmatan mereka melalui pelbagai saluran. Kononnya bertujuan memastikan perayaan itu lebih menarik dan menggembirakan.
Stesen-stesen televisyen juga turut menayangkan program-program sambutan tahun baru. Ini kerana sambutan tersebut telah melangkah menjadi sebuah ritual yang mampu memanfaatkan hedonisme khalayak.
Bagaimanapun, tidak semua program yang ditawarkan semata-mata berbentuk komersial. Ada rancangan pendidikan dan kesedaran moral turut ditawarkan.
‘‘Saluran televisyen sebenarnya membawa manusia memasuki budaya malas dan kelambatan tetapi perkembangan global membolehkan ia diberi makna baru.
‘‘Manusia kini justeru memuja kelambatan sebagai tandingan hidup untuk sebuah proses ekonomi dan kewangan dengan menawarkan produk-produk tertentu,’’ kata aktivis dan pengarah filem Perancis, Jean-Claude Carriere.
Cuba tanyakan berapa ramai masyarakat kita yang tahu atau sedar perkara ini. Keseronokan menyambut tahun baru telah menjadi bahan manipulasi untuk kepentingan produk dan pengiklanan pihak pemodal.
Di samping aspek manipulasi, ada makna lain yang lebih penting. Berapa ramaikah antara masyarakat kita yang cuba menoleh ke belakang tentang sejarah sambutan tahun baru.
Kalender Masehi sebenarnya dibuat oleh Julius Ceasar. Ia dibuat berdasarkan putaran bumi menggelilingi matahari.
Konon kalender ini dihitung sejak kelahiran Kristus. Walaupun Kristus dipercayai oleh umat Kristian lahir pada tanggal 25 Disember, tapi mereka baru merayakan tahun baru enam hari selepasnya.
Dalam erti kata lain, jika pendapat itu benar, sambutan 31 Disember tersebut merupakan sebahagian daripada proses ritual Kristian yang turut disambut oleh kita yang beragama Islam.
Kita dalam hal ini (jika meminjam pandangan Emmanuel Levinas dalam bukunya Existence and Existents) adalah makna daripada sebuah abstrak.
Levinas berpendapat, manusia mempunyai perbezaan tertentu. Meskipun, ia dapat ditembusi oleh komunikasi dan persefahaman, masih ada aspek-aspek lain yang dianggap kebal untuk dimasuki.
Antaranya perbezaan tentang falsafah teologi dan nilai-nilai sistem sosial warisan (adat resam) sesuatu kaum. Ia tidak mungkin diamalkan oleh individu daripada masyarakat lain.
Pada setiap 31 Disember menjelang pukul 12 malam, generasi muda kita berkumpul di tempat-tempat tertentu untuk merayakan sebuah perubahan angka tanpa mengetahui makna sebenar di sebalik sambutan itu.
‘‘Semakin maraknya penguasaan modal dan kepentingan ekonomi oleh kelompok kapitalis, manusia semakin didedahkan dengan kesamaran etnik, agama dan sistem sosial,’’ tulis Peter L. Bernstein dalam bukunya Against the God, The Remarkble Story of Risk.