SAYA tertarik dengan kajian yang menyatakan bahawa sistem pengajian tinggi di Malaysia yang agak ‘tenat’ ketika ini mengikut kajian Bank Dunia, seperti yang dinyatakan dalam laporan berjudul Malaysia dan ekonomi berasaskan pengetahuan membina sistem pendidikan bertaraf dunia.
Sebagai orang yang pernah berada di institusi pengajian tinggi, saya dapat merasakan satu anjakan besar perlu dilakukan oleh pihak-pihak terbabit demi memartabatkan sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Sistem pendidikan tinggi adalah platform kepada pelapis pemimpin negara pada masa akan datang. Jatuh bangun dan utuhnya sesebuah negara bergantung kepada sistem pendidikan yang ada di negara itu.
Cuba kita tanya adakah sistem pendidikan yang ada di universiti tempatan awam mahupun swasta di Malaysia kini bersifat kompetitif atau berdaya maju. Kita lihat sahaja mahasiswa yang keluar dari institusi pengajian tinggi masih gagal menguasai bahasa Inggeris.
Ia sepatutnya tidak berlaku. Ini kerana universiti merupakan gelanggang terakhir dalam mengkhatam segala ilmu yang dipelajari sejak prasekolah sehingga peringkat universiti.
Ada juga antara mereka yang hanya tahu bercerita mengenai teori-teori yang mereka hafal yang telah disampaikan oleh pensyarah mereka. Apabila mereka masuk ke alam pekerjaan, mereka seolah-olah kaku seperti ‘budak’ yang baru memasuki alam persekolahan.
Saya juga hairan mengapa jurusan yang tidak lagi relevan dalam pasaran kerja masih lagi disediakan atau ditawarkan pihak universiti. Yang malangnya jurusan tersebut kebanyakannya dipenuhi oleh pelajar Melayu.
Memang benar menuntut ilmu bukan untuk menjamin peluang kerjaya, tetapi secara matematiknya, seseorang yang bekerja gigih dan berusaha kuat perlu mendapat sesuatu yang baik kepadanya kemudian hari.
Apa guna mendapat segulung ijazah, tetapi hanya untuk hiasan termasuk gambar-gambar kenangan konvokesyen yang dilekatkan di dalam rumah.
Apabila hal ini berlaku, pihak yang menjadi mangsa adalah pelajar itu sendiri kononnya mereka tidak proaktif dan kreatif, terlalu memilih kerja dan kurang bijak menyusun strategi mereka dalam menjadi mahasiswa yang berjaya.
Adakah kita pernah bertanya berapa ramai pelajar yang mempunyai ijazah bekerja di syarikat makanan segera, di tempat pembinaan, sebagai pemandu lori dan sebagainya. Adakah kita mendalami apa yang mereka rasa.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan sistem pendidikan kini seperti business oriented. Tawaran membuat pinjaman pendidikan melimpah-ruah, apabila pelajar gagal membuat pembayaran balik, sekali lagi pelajar itu dipersalahkan.
Syarat membayar pinjaman balik sekarang amat dahsyat, iaitu perlu menjelaskan pinjaman selepas enam bulan menamatkan pengajian di universiti.
Bukankah ia satu yang amat melucukan? Boleh dikatakan dalam tempoh tersebut kalau 100 pelajar yang menerima ijazah, mungkin 10 orang sahaja yang bernasib baik mendapat pekerjaan.
Sekarang dengan pengkorporatan universiti tempatan telah timbul kesangsian oleh sesetengah universiti itu sendiri kerana nilai tradisinya telah dicemari di mana ia mendahulukan kedudukannya memperdagangkan ilmu. Universiti semakin dilihat sebagai institusi perniagaan yang memburu pendapatan dengan memperdagangkan ilmu sebagai komoditi.
Oleh itu kedudukan universiti sebagai institusi berwibawa dalam masyarakat apabila ia mengorbankan nilai akademik yang luhur tidak akan berkekalan dari kaca mata masyarakat.
Saya masih ingat 15 tahun dahulu, kalau ada pelajar dari kampung masuk universiti, satu kampung akan merayakan kegembiraan pelajar tersebut yang berjaya dalam pelajarannya kerana ia adalah satu perkara yang luar biasa, seorang budak kampung berjaya ke universiti.
Tetapi kini jika ada pelajar yang tidak dapat masuk universiti, ia boleh dikategorikan satu yang luar biasa. Memang benar, perkembangan teknologi dan masa menyebabkan pelajar kini lebih advance berbanding pelajar dahulu.
Tetapi sistem pendidikan itu sendiri perlu advance untuk mengimbangi keadaan tersebut. Kita terpaksa menerima hakikat kebanyakan firma atau badan korporat agak demand untuk menerima pelajar lepasan universiti tempatan terutamanya universiti awam yang amat daif dari segi kemahiran yang diperlukan untuk menjana keuntungan mereka.
Bagi saya universiti harus pragmatis iaitu memainkan dua peranan serentak. Pe-
nyesuaian tahun belajar di universiti akan lebih mudah ditetapkan, mungkin dua tahun mempelajari ilmu teknikal supaya bersesuaian dengan pasaran kerja dan selebihnya aspek falsafah atau sebaliknya.
Yang menjadi masalah ialah apabila perkara ini dibiarkan mengikut arus perubahan masa dan citra universiti diwarnai oleh elemen luaran semata-mata.
Negara memerlukan usahawan, jutawan, ahli sains dan teknokrat. Tetapi pada masa yang sama negara memerlukan pemikir dan pengkritik sosial, ahli psikologi, ahli falsafah dan sebagainya.
Universiti berperanan melahirkan pemikir masyarakat, pengkritik sosial dan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berilmu, tetapi berjiwa masyarakat, berhemah tinggi, mempunyai prinsip perjuangan yang tulen, bijaksana dan berani.
Malah menurut Sufean Hussin (1996) dalam bukunya, Pendidikan di Malaysia, bahawa pendidikan tinggi yang merupakan sumber yang harus memainkan peranan yang relevan dan signifikan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat atau badan politik.
Masalah pentadbiran kerajaan, industri, pertanian, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya pada masa kini memerlukan khidmat nasihat tenaga pakar dan terlatih di menara gading bagi membuat rumusan prosedur untuk menyelesaikan masalah sosioekonomi dan politik.
Kesimpulannya, menuding jari bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Sama ada benar atau tidak laporan oleh Bank Dunia tersebut adalah tidak penting tetapi ia mungkin boleh membuka mata kita semua dan mengejutkan ‘tidur’ kita selama ini.
Kita sudah tidak mempunyai banyak masa lagi. Kita hanya ada 13 tahun lagi untuk misi 2020 menjadi Malaysia sebuah negara maju. Dengan Dasar Pembangunan Modal Insan yang dibawa oleh Perdana Menteri dalam RMK-9, saya yakin dan percaya ia boleh melakukan sesuatu yang positif kepada sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
– MOHD. RIZAL HASHIM,
Taman Desa,
Kuala Lumpur.