Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Januari 2008

Tradisionalisme ke modenisme anjakan puisi Melayu


SEBUAH kebudayaan atau peradaban memiliki sejarahnya masing-masing untuk bangkit dan berkembang. Namun, ia tidak mungkin lahir dan hidup tanpa dipengaruhi oleh kebudayaan bangsa lain.

Pada umumnya sejarah peradaban Barat juga bermula daripada tamadun-tamadun asing yang pada dasarnya dapat dibahagikan kepada zaman kuno, zaman pertengahan dan zaman moden.

Zaman kuno dibahagikan kepada Yunani dan Rom manakala Zaman Pertengahan dikelompokkan menjadi era Kristian awal, peralihan dari kuno ke Pertengahan dan Pencerahan.

Ini bererti bahawa asas peradaban moden Barat dipercayai dengan kukuh bahawa ia berasal daripada ketamadunan yang lahir di Rom dan Yunani walaupun mendapat bantahan segelintir sarjana.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, Yunani dan Rom adalah faktor penting bagi kebangkitan kebudayaan Barat, meskipun mereka masih berselisih pendapat tentang bagaimana faktor tersebut berperanan dalam kebudayaan itu.

Jones dalam bukunya A History of Western Thought, menganggap bahawa sejarah kebudayaan serta falsafah Barat bermula sejak abad ke 6 SM dengan tokohnya Thales yang digelar sebagai bapa falsafah Yunani dan juga dunia Barat.

Moderat

Pendapat senada turut dilontarkan oleh William R. Cook dalam bukunya The Medieval Worldview bahawa Yunani kuno dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada peradaban dan intelektual kebudayaan Barat dan Timur hari ini.

Aspek-aspek seni dan sastera, penulisan sejarah, demokrasi, cabang-cabang falsafah termasuk politik, etika dan ilmu-ilmu alam (natrual sciences) berasal dari Yunani.

Namun, sebenarnya Islam turut menjadi penyumbang terbesar kepada perkembangan tamadun dunia. Ia mengalami penyebaran yang cepat di bawah kekhalifahan bani Umayyah dan kemudian Abbasiyah dari abad ke 6 hingga 15 M.

Pada zaman inilah Abad Kegelapan dan Abad Pertengahan Barat berada. Pandangan hidup Islam secara perlahan-lahan diserap ke dalam kegiatan-kegiatan intelektual dan keilmuan.

Dalam konteks Malaysia, pengaruh tradisi keilmuan Islam moderat juga sangat besar terutama kepada segelintir penuntut Melayu yang mendapat pendidikan di Asia Barat.

Idea-idea serta gagasan reformisme tersebut turut menjadi titik mula kepada keilmuan Melayu moden dalam pelbagai disiplin termasuk aspek kesusasteraan.

Beberapa individu kelompok ini seperti Syed Syeikh Al-Hadi dan sebagainya membawa idea-idea moderat hingga menimbulkan polemik pendapat dengan ulama-ulama tempatan yang mendapat pendidikan tradisional (agama).

Bagaimanapun, kepulangan golongan muda yang mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar dan terpengaruh dengan idea-idea reformis Islam oleh pelopornya, Syeikh Muhamad Abduh memberi impak besar kepada pelbagai aspek.

Impak yang turut menonjol ialah dalam bidang penulisan kreatif terutama novel dan puisi. Idea-idea reformis tersebut menjadi asas kepada sastera nasionalisme pada era prakemerdekaan.

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, pengaruh tradisonalisme dalam sastera lama seperti seloka, syair dan gurindam turut memperkasakan sastera Melayu.

Beliau berkata, situasi politik di negara ini serta kemunculan semangat nasionalisme untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan telah mengubah fungsi sastera termasuk puisi.

Penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjong Malim pada 1920 menjadikan sastera Melayu semakin kukuh terutama dengan kemasukan pengaruh penulis-penulis Indonesia.

``Penyair dan pengarang kita telah memberi reaksi positif dalam masyarakat bagi memperkatakan kebebasan melalui tulisan-tulisan yang dimuatkan dalam pelbagai penerbiatan pada waktu itu.

“Tradisi itu kemudiannya terus berkembang membentuk puisi-puisi moden yang ada di Malaysia hari ini,’’ katanya ketika menjadi panel pada Sidang Pleno 1: Puisi Nasional - Tradisi Menunjang Pemodenan sempena Hari Puisi Nasional Ke-17 di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata, penyerapan nilai tradisi (puisi tradisional) dan pengaruh-pengaruh moden tersebutlah yang membentuk akar kekuatan puisi-puisi Melayu.

Tradisi puisi-puisi Melayu turut dilihat oleh beliau sangat bernasib kerana berada dalam satu titik temu antara pengaruh Islam, Arab, Barat dan tradisi kesusasteraan alam Melayu sendiri.

“Ini menjadikan tradisi kepengarangan dan kepenyairan Melayu di Malaysia unik dan ia begitu kuat kerana akar yang sedia ada telah tertanam kukuh,’’ tambah beliau.

Pesan-pesan moral

Bagaimanapun, ketinggian nilai budi dan kesantunan masyarakat Melayu tidak pernah berubah. Setiap gagasan dan idealisme dilontarkan dengan beralas serta sarat dengan sindiran.

Pandangan tersebut turut dilontarkan oleh Pensyarah Tamu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Tenas Effendy yang merupakan panel kedua sidang tersebut.

“Orang Melayu masa silam dengan arif dan cermat memanfaatkan puisi tradisionalnya sebagai alat untuk menyampaikan pesan-pesan moral, menyebarluas serta mewariskan tunjuk ajar yang sarat dengan nilai murni.

“Puisi menjadi pilihan kerana memiliki citarasa keindahan yang tinggi, dapat disampaikan melalui irama atau gaya bahasa yang khas untuk menimbulkan minat pendengarnya.

Katanya, dengan keterbukaan menerima budaya luar yang serasi itu, dunia kepenyairan Melayu semakin berkembang dan kaya dengan nilai yang bermanfaat.

Oleh itu, Tenas melihat, puisi menjadi lambang kebijaksanaan dan intelektualiti masyarakat Melayu yang paling ringkas. Di sebalik keindahan bahasa mereka mengajar, menyindir dan mengkritik.

Bagaimanapun, puisi moden hari ini agak berbeza dengan syair, gurindam, seloka dan sebagainya dalam aspek bentuk. Puisi moden bebas dan tidak terikat kepada pola-pola tertentu.

Namun, ia tidak bermakna modenisme menafikan estetika bahasa. Cuma permaknaan mungkin berubah. Dengan kata lain puisi-puisi tradisional pada umumnya lebih kepada unsur pendidikan moral dan keagamaan.

Berbeza dengan kebanyakan puisi moden yang mengangkat tema mengenai masalah sosiopolitik, sosiobudaya, isu-isu pendidikan, bahasa dan sebagainya.

“Dari aspek pertumbuhan dan perkembangannya, puisi-puisi Melayu mengalami kemajuan yang sangat pesat. Puisi moden bukan hanya dikenali di kalangan penyair tetapi oleh seluruh peringkat.

“Melihat kedudukan modenisme dalam puisi hari ini, pengarang-pengarang perlu menjadikan karya mereka sebagai wadah pembentukan jati diri budaya bangsa,’’ tambah beliau.

Tetapi pada masa yang sama, kebijaksanaan dan idealisme masyarakat Melayu yang terkandung dalam puisi-puisi mereka tidak terhakis ketika keghairahan berkarya memuncak.

Sementara itu, penerima Anugerah Hadiah Sastera Asia Tenggara 2007, Prof. Rahman Shaari berkata, puisi adalah genre yang unik kerana proses permaknaannya.

Ia bermaksud, tanggapan dan penafsiran terhadap puisi oleh setiap pembaca adalah berbeza sama ada permaknaan yang hanya bersifat luaran atau penafsiran yang terperinci serta lengkap.

“Dalam puisi tradisional dan moden, ada puisi yang menuntut kos proses permaknaan yang tinggi. Ia bergantung kepada kedudukan sesebuah karya yang dihasilkan.

“Sesetengah orang beranggapan sajak lebih sukar difahami berbanding pantun. Anggapan itu hanya betul apabila sajak yang dimaksudkan itu sukar atau kabur. Tapi, memahami karya mengikut hukum anjakan makna sangat mengasyikkan,’’ ujarnya.